Tentu ramai yang pernah mendengar istilah ‘PJJ’ iaitu singkatan bagi perkahwinan jarak jauh. Malah mungkin ramai di kalangan kita sedang melalui fasa tersebut. Inilah salah satu cabaran alam rumah tangga.
Bagi anda yang pernah melalui fasa PJJ ini, mungkin istilah ini tidak
pelik namun bagi yang tidak pernah mengalaminya, mungkin akan terasa
sedikit janggal dan lucu. Istilah lain iaitu weekend wife atau weekend
husband tidak dinafikan sedikit sebanyak menguji emosi pasangan
seterusnya mampu menggegarkan rumah tangga anda ia tidak mampu
dikendalikan dengan baik. Namun demi tugas atau pelajaran, pasangan
terlibat terpaksa akur dan mengharapkan akan ada pengakhiran buat
mereka.
Jarak yang jauh dengan adalah satu cabaran kerana masa untuk bertemu
dan melunaskan pelbagai tanggungjawab adalah amat terhad. Ya, bukan
mudah untuk menghadapi situasi ini. Kedua-dua pihak perlu berkorban dan
bertolak ansur. Biasanya jika berjauhan, anak-anak akan bersama si ibu.
Dengan kata lain, si ibu harus kental berdikari menguruskan perihal
anak-anak termasuk sakit demam.
Masih teringat kisah seorang teman yang sanggup berkorban jiwa raganya
demi suami tercinta yang menyambung pelajaran di luar negara setelah
beranak tiga! Beban rindu sukar diungkap dengan kata-kata, namun dia
mengakui teknologi komunikasi moden kini banyak membantunya tidak terasa
begitu jauh dengan suaminya.
“Mujurlah saya tinggal dengan mak ayah kak. Kalau tak saya sendiri tak
pasti apa akan berlaku pada saya dan anak-anak. Inilah pengorbanan saya
paling besar untuk masa depan rumah tangga kami”, Ujar Anne.
Cari jalan bahagia
Ingatlah kebahagiaan perkahwinan tidak terletak pada kesempurnaan
semata-mata tetapi terletak pada hati yang sentiasa reda dan positif
melalui kehidupan ini. Usah fokus kepada masalah-masalah yang timbul
tetapi carilah jalan bagaimana untuk mencipta bahagia sedangkan diri dan
pasangan terpisah jauh beribu-ribu batu. Moga tip yang dipaparkan akan
memberikan panduan dan kebahagiaan kepada pasangan yang melayari bahtera
pernikahan secara jarak jauh.
Terima kenyataan dan komited
Terima kenyataan bahawa anda memiliki pasangan yang berada jauh. Set
kan pada minda bahawa anda perlu melalui kehidupan tanpa si dia berada
di sisi sepanjang masa. Hanya dengan menerima kenyataan ini anda akan
menjadi kuat untuk menempuh cabaran kehidupan berumah tangga jarak jauh
ini terutama sekali ketika melalui saat-saat genting. Jangan sesekali
membanding-bandingkan rumah tangga anda dengan perkahwinan orang lain
yang tinggal sebumbung kerana halnya tidak akan sama. Sentiasalah
bersikap positif dan bersabar. Jika anda mempunyai anak dan ia tinggal
bersama anda, terangkan kepadanya kenapa ayah atau ibunya tidak selalu
bersama seperti keluarga orang lain.
Jaga kehormatan diri
Apabila pasangan tiada di sisi, jangan pula kita berlagak bujang dan
bebas bergaul dengan insan bukan muhrim. Ingatlah anda adalah suami atau
isteri orang yang wajib menjaga kehormatan diri. Benar anda mungkin
sepi dan rasa sunyi. Oleh sebab itu, semasa ketiadaan suami atau isteri,
cuba penuhi masa anda yang terluang dengan perkara yang berfaedah
seperti menumpukan perhatian kepada anak, menyambung pengajian ke
peringkat yang lebih tinggi, mengambil kursus secara sambilan atau
melakukan kerja sambilan. Usah membuka ruang pada diri anda untuk
terdedah kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti pergaulan bebas
dengan bukan muhrim.
Kerapkan berhubung
Hubungi pasangan anda dengan kerap. Anda pasti rindu padanya dan
luahkan cinta anda menerusi panggilan telefon, sistem pesanan ringkas,
e-mel atau saluran media sosial seperti Facebook. Teknologi terkini
seperti Skype dan panggilan video membolehkan anda boleh berkomunikasi
dengan pasangan anda dengan lebih mudah dan berkesan. Sekiranya ada hal
mengenai anak atau keluarga, segera maklumkan kepadanya kerana hal ini
akan menyebabkan pasangan anda berasa dekat, diperlukan, sebahagian
daripada keluarga dan disayangi anda.
Maksimumkan masa bertemu
Berusahalah memaksimumkan tempoh pertemuan anda dan pasangan. Rancang
dan wujudkan jadual sepanjang tahun dan tentukan tarikh anda boleh
bersamanya. Adalah lebih baik jika pertemuan boleh dilakukan ketika cuti
hujung minggu dan ketika anda bercuti peristiwa atau public holiday.
Anda juga boleh merancang agar pasangan dan anda bergilir-gilir untuk
pergi ke lokasi tempat tinggal masing-masing supaya lebih adil dan
saksama. Selain itu gunakan masa bertemu sebaik mungkin untuk
melaksanakan pelbagai tanggungjawab dan melakukan aktiviti berfaedah
bersama.
Jujur dan setia pada pasangan
Bersikap jujur pada pasangan anda adalah kemestian dalam hubungan jarak
jauh. Letakkan kejujuran ini pada sudut hati yang paling dalam.
Justeru, murnikan hubungan anda dengan rasa jujur dan setia nescaya
pasangan anda juga akan berbuat demikian. Jangan sesekali menipu walau
pun mengenai hal-hal yang kecil kerana si dia berhak untuk mengetahui
perkara yang sebenar. Tepis godaan dari luar yang mungkin akan
mengeruhkan keadaan. Apabila kita komited, jujur, setia dan menghormati
ijab kabul anda dan pasangan, tidak mustahil segala perkara negatif
seperti perbuatan menduakan suami atau bermain kayu tiga dapat
ditangkis.
Tunai tanggungjawab masing-masing
Anda dan pasangan anda perlu tahu dan menunaikan tanggungjawab
masing-masing sebagai suami, isteri atau ibu dan bapa kepada anak-anak.
Meski pun berada jauh, tanggungjawab dan kewajipan terhadap mereka tetap
perlu dilunaskan. Sebagai contoh suami perlu menyediakan nafkah,
perlindungan, tempat tinggal semampunya ia walau pun tidak duduk
sebumbung. Berbincanglah dengan pasangan anda sekiranya anda tidak mampu
untuk menunaikannya kerana dengan kukuhnya sesebuah ikatan perkahwinan
itu terletak pada persefahaman, saling bertolak ansur dalam melaksanakan
tanggungjawab masing-masing.
Saling percaya
Berikanlah kepercayaan kepada pasangan anda saat anda berdua berjauhan.
Suami atau isteri yang patuh pada agama sudah tentu akan sentiasa
menjaga kesejahteraan rumah tangga. Yakinlah lelaki yang baik adalah
untuk perempuan yang baik manakala perempuan yang baik adalah untuk
lelaki yang baik. Oleh sebab itu, jagalah pekerti anda supaya suami juga
melakukan hal yang sama.
Sentiasa menghargai dan raikan pasangan
Hargailah pasangan anda dengan mengingati tarikh-tarikh penting dalam
hidupnya seperti hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan anda
berdua. Raikan juga saat-saat gembiranya seperti kenaikan pangkat,
kejayaannya menurunkan berat badan atau keputusan cemerlang dalam
peperiksaan anak-anak. Kirimkan jambangan bunga atau hadiah sebagai
tanda penghargaan anda. Apabila bertemu pula raikan ia dengan memasak
makanan kegemarannya atau membawanya ke tempat yang disukainya. Wujudkan
saat romantis anda dan dia berdua-duaan seperti keluar bersama atau dating yang pastinya akan menghangatkan ikatan kasih sayang yang terjalin.
Tulis surat cinta
Selain itu, menulis surat cinta adalah idea lama yang boleh
dipraktikkan kala berjauhan. Apa kata tulis surat cinta yang penuh
kata-kata romantis dan kasih sayang untuk kepada suami atau isteri.
Sebagai contoh anda dan suami terpisah selama sebulan maka tulislah 30
surat cinta yang berbeza isi kandungan buatnya dan suruhlah dia membuka
satu surat setiap sehari supaya kasih antara anda berdua sentiasa
membara dan segar setiap hari.
Tawakal dan berdoa
Di saat anda tidak berada di sisinya maka berdoalah kepada Allah SWT
agar dipelihara keselamatan pasangan anda dan kesejahteraan rumah tangga
yang terbina. Deria manusia amat terhad tetapi Allah SWT Maha
Mendengar dan Maha Melihat. Pohonlah pada Rabbul Izzati agar pasangan
sentiasa jujur dan setia dalam melayari bahtera perkahwinan walau pun
jarak yang jauh memisahkan. Pinta juga keredaan hati menempuh pelbagai
dugaan agar anda sentiasa pasrah dalam mencari syurga rumah tangga.
(Sumber: Majalah Pa&Ma Mac 2013)
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...