Tarikh:
14 Februari 2013
“Ibu, dalam Asmaul Husna ada kata Allah SWT Al Hakim. Maknanya Maha
Bijaksana. Betul ke Allah Maha Bijaksana? Apa yang Allah dah buat? Adik
tak nampak pun."
Memang ada ketikanya soalan-soalan yang anak-anak kita utarakan
mencabar minda. Secara umumnya, kita semua pasti faham apa yang
anak-anak ini maksudkan dan boleh menjawabnya. Tetapi, bagaimanakah cara
terbaik untuk menjawab soalan-soalan itu agar mereka boleh faham dan
tidak perlu tanya berulang kali.
Misalnya soalan di atas tadi. Menerangkan tentang sesuatu yang benda
yang kita semua tidak nampak memang sukar. Apatah lagi apabila soalan
tersebut ada kaitannya dengan agama. Jawapan yang diberikan mesti tepat
dan tidak boleh direka sesedap rasa. Untuk itu, kita sendiri sebagai ibu
bapa mestilah berilmu.
Bagi persoalan tadi, anda boleh memberitahu anak bahawa semua yang ada
di dunia ini Allah SWT yang cipta. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan,
bulan, bintang, matahari, malah bumi sendiri Allah SWT yang buat. Hebat
bukan? Hanya yang bijaksana sahaja boleh mencipta.
Supaya anak lebih jelas, gunakan contoh yang dekat dengan kita.
Misalnya tubuh badan sendiri. Ajak anak melihat anggota tubuh mereka
sendiri. Beritahu mereka bahawa setiap yang ada pada tubuh kita Allah
SWT telah cipta dengan begitu sempurna. Kaki kita contohnya. Pada kaki
ada lutut. Lutut membolehkan kita membengkokkan kaki supaya kita dapat
berjalan. Bayangkan jika kita tidak ada lutut, bagaimanakah caranya kita
hendak berjalan? Anak-anak tentu boleh faham dan menerima jawapan yang
anda berikan ini tanpa mempertikaikannya kerana penerangan anda begitu
jelas dan dia sendiri dapat membayangkan kesukaran dia berjalan jika
tidak ada lutut.
Satu lagi contoh Allah SWT Maha Bijaksana ialah tentang ikan. Walaupun
ikan tinggal di laut, isinya tetap sedap dimakan dan tidak masin seperti
air laut. Begitu juga dengan buah durian, Allah SWT menciptakan kulit
yang berduri untuk menjaga isinya yang lembut dan enak.
Kesimpulannya, selain daripada perlu berilmu, ibu bapa mestilah kreatif
ketika menjawab setiap soalan anak dan gunakan contoh yang dekat dengan
mereka. Barulah mereka faham dan berpuas hati dengan jawapan anda.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...