Sedekah adalah satu kebajikan yang sangat dituntut dalam Islam.
Allah memberi amaran kepada mereka yang bakhil melaui firman-Nya, “
Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa
keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi
mereka. Mereka akan dikalungkan dengan (diseksa) apa yang mereka
bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. (Ali-Imraan : 180)
1. Apakah konsep sedekah dalam Islam?
Sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Wakaf pula ialah pembelian barangan untuk kegunaan masjid, surau, rumah anak yatim atau sebagainya.
Contohnya, kita membeli kipas angin, penghawa dingin, tikar atau al-Quran untuk digunakan oleh masyarakat umum di premis tersebut. Saranan bersedekah ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya,
“ Kalau kamu zahirkan sedekah itu, maka itu adalah baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan hapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahanmu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (al-Baqarah:271)
2. Kebanyakan umat Islam beranggapan bersedekah mesti melibatkan wang ringgit dan berbentuk material sahaja. Adakah tanggapan ini benar?
Itu adalah tanggapan yang silap. Sedekah tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja. Rasulullah pernah bersabda, kalau tidak boleh memberi sesuatu benda, senyumlah kerana senyuman adalah sedeka. Begitu juga membuang duri di jalanan adalah sedekah hatta berkata-kata perkara yang baik pun termasuk dalam sedekah. Ini terkandung dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Ternyata sedekah itu bukanlah perkara yang sukar dilakukan. Ini juga memberi semangat kepada golongan yang kurang berada bahawa pintu bersedekah ini terbuka luas bukan hanya kepada golongan kaya. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah, daripada Jabir bin Abdullah, katanya:
Rasulullah pernah bersabda, “ Tiap-tiap perkara yang maaruf menjadi sedekah. Antara perkara yang maaruf itu hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesame anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang di bawanya.” (Riwayat Imam Ahmad).
Orang kaya dan orang miskin masing-masing digalakkan bersedekah menurut kemampuannya. Tetapi orang miskin yang bermurah hati ingin bersedekah boleh bersedekah ala kadarnya asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang-orang yang menjadi tanggungannya. Sesudah itu kalau ada yang berlebih daripada yang diperlukannya, baharulah boleh disedekahkan sebahagian daripadanya kepada orang lain.
Hadis ini menerangkan satu dasar atau kaedah umum dalam Islam bahawa tiap-tiap perbuatan yang baik adalah menjadi sedekah dan sedekah itu pula membawa rahmat di dunia dan akhirat. Ia juga mendidik supaya setiap orang sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa semasa berhubung dengan orang lain. Selain itu, ia menegaskan bahawa segelas air sejuk sekalipun yang diberikan kepada orang yang memintanya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang baik dan berpahala.
3. Apakah maksud sedekah jariah?
Sedekah jariah ini adalah pemberian yang bermanfaat dan yang baik. Paling utama adalah memberi sesuatu yang menjadi kesayangan kita atau yang setaraf dengannya, Ini bertepatan dengan firman Allah, “ Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. (Ali-Imraan : 92)
Dalam satu hadis, Rasulullah bertanya kepada Saidina Ali, “Wahai Ali, apa yang engkau suka dalam dunia, Ali menjawab, memberi makan apa yang aku makan.” Oleh itu, jika berniat untuk bersedekah kepada jiran, elok memberi makanan yang sama dengan yang kita makan. Contohnya, kalau beli kepala ikan, pastikan yang sedekahkan itu juga kepala ikan bukan isi ikan. Dengan kata lain, jangan kita sedekah sesuatu yang kita sendiri tidak mahu dan ia pula tidak lagi boleh digunakan atau dipakai.
4. Apakah fadilat bersedekah?
Sedekah ini fadilat utamanya ada tiga iaitu rezeki murah, dapat menolak bala dan panjang umur. Sebabnya, apabila kita bersedekah, penerimanya akan mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda penghargaan kepada Allah dan juga kepada manusia yang memberikan sumbangan. Ini juga dijelaskan dalam hadis yang bermaksud, “ Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.”
Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.
5. Bolehkan kita bersedekah kepada orang kaya?
Sedekah kepada orang kaya tidak mencapai matlamat bersedekah unutk mereka yang memerlukan. Dalam hal ini, saya suka menyentuh dalam hal bab daging korban. Sepatutnya golongan kaya tidak perlu mengambil daging korban. Ia patut diberi kepada orang yang lebih memerlukan. Ada golongan fakir yang berada di luar bandar yang hidup mereka sangat daif . Golongan beginilah yang patut diutamakan.
Bagi orang berada pula, mereka yang berhajat menunaikan ibadat korban eloklah mencari kawasan yang mempunyai fakir miskin ataupun negara jiran yang memerlukan. Semua ini hanya boleh dicapai jika nafsu tunduk kepada agama dan akal. Ini kerana nafsu ini tidak pernah puas. Bagi mencapai tingkatan nafsu mutmainnah, nafsu perlu dididik dengan agama, ilmu, amal dan akal. Selagi ini berlaku, manusia akan selamat.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...