ANTARA sifat seorang Mukmin sejati ialah
sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan
dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang
insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.
Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia
akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan
memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu
berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan
diperkenankan oleh Allah SWT.
Keyakinan ini berasaskan kepada
firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku
perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri
daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.
(al-Mukmin: 60)
Namun begitu, kita perlu berwaspada agar
doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT terhalang daripada
dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman
yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan
oleh Allah SWT. Antaranya ialah;
1) Menggunakan harta haram
Seseorang yang memperoleh pendapatan
yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian,
rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada
Allah SWT terhijab dan tidak diterima.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang
bermaksud: …Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh,
hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan
ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram,
minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan
makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (riwayat
Muslim)
Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.
Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh.
Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.
Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam
menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara
zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram
lighairihi).
Haram lizatihi boleh terjadi apabila
kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran
dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian
dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman
secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.
2) Gelojoh dan terburu-buru
Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di
mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku.
(diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan demikian ialah
mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah
SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita
berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.
Mungkin doa kita sudah dimakbulkan,
tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut
keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.
Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi
Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan
oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari
dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.
Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak
putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda
iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun
baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.
3) Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa
Sebagaimana sekiranya kita meminta
daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan
memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau
acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.
Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang
daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia
mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki,
sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau
kehendaki”. Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa.
Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada
yang memaksa-Nya. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
4) Lalai dan tidak khusyuk
Kita perlu fokus dan betul-betul
memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan
yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus
ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang
dikemukakan.
Sabda Nabi SAW: “Berdoalah kepada Allah
SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan
mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk.”
(diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim).
5) Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar
Allah SWT telah menjadikan amar makruf
dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang
terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad)
adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula
beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (ali-Imran: 110)
Apabila kita meninggalkan kewajipan ini,
maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi.
Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil
tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan
menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.
Nabi SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku
di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah
kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan
menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya,
tetapi tidak dikabulkan.” (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad)
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...