MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Monday, February 25, 2013

6 Rahsia Besar Gajet Perlu Anda Tahu


Gajet anda mampu melakukan lebih daripada apa yang anda bayangkan. Sama ada anda seorang yang gila gajet, tech-junkie atau sekadar pengguna tahap satu, anda boleh meneroka rahsia gajet untuk mendapatkan lebih daripada apa yang diceritakan. Jangan terlalu percaya dengan kisah seram yang menyatakan susah untuk berbuat apa-apa dengan gajet lebih daripada apa yang ditawarkan.

Kreativiti, yakin dan bertujuan. Anda pasti akan menemui idea kreatif yang boleh dibuat dengannya. iPhone 5, Galaxy Note II atau tablet, begini caranya untuk memecah potensi gajet anda!

Sewaktu kita mula-mula diperkenalkan dengan tablet, soalan pertama yang bermain di minda, “Apa aku nak buat dengan benda ini?” Meski mendiang Steve Jobs atau pengeluar tablet lain tidak pernah pasti apa yang boleh dilakukan dengan tablet, kerana terlalu banyak yang boleh difikirkan dengan adanya teknologi. Kita membongkar 6 rahsia besar tablet yang sebelum ini mungkin tidak diketahui.

1.Pejabat Bergerak
Ini rahsia utama gajet yang anda ada, tetapi mungkin tidak menggunakan potensi ini sepenuhnya. Tablet boleh menggantikan keperluan laptop dan menjadikan ia pejabat bergerak yang berguna. Meskipun ada beberapa tugas kerja yang memerlukan saya berhubung dengan komputer, namun boleh dikatakan 80 peratus tugas kini dilakukan menggunakan tablet, terutama apabila tidak berada di pejabat.

Ramai orang sudah mengetahui perkara ini, tetapi keliru untuk memulakan dan mencari aplikasi yang sesuai bagi melakukan tugas-tugas penting kerja yang dibawa pulang ke rumah. Ada juga yang membeli tablet kerana diberitahu bahawa ia boleh digunakan untuk membuat kerja-kerja ofis, tetapi akhirnya menjual semula tablet kerana merasakan ia tidak banyak berfungsi. Cara yang disediakan ini bukan sahaja untuk mereka yang bekerja, malah bagi pelajar yang kini sebilangan besarnya memiliki tablet juga boleh memanfaatkan cara di bilik kuliah.

Kunci utama untuk perkara ini dicapai ialah menerusi sut aplikasi pejabat. Terdapat banyak aplikasi pejabat yang membolehkan anda meningkatkan produktiviti kerja tanpa sekatan masa dan tempat. Bagi pengguna iPad misalnya, aplikasi Notes yang disediakan dalam OS boleh digunakan untuk menaip dokumen. Anda kemudian boleh e-mel nota berkenaan untuk dibuka di pejabat atau di peranti lain. Namun cara ini kurang efisien. Anda masih memerlukan sut aplikasi pejabat fungsi penuh bagi menyunting beberapa bahagian dalam dokumen dan tidak sesuai untuk mereka ingin menyediakan kertas kerja pada masa terdesak.

Jadi, ini cara lebih baik melakukannya dan apa yang diperlukan untuk membongkar rahsia tablet sebagai pejabat bergerak:

01. Muat turun aplikasi
Ini perkara pertama anda perlu lakukan, muat turun aplikasi. Bagi pengguna iPad, anda boleh dapatkan aplikasi seperti Quickoffice HD, Pages dan Keynote serta aplikasi lain di App Store. Bagi pengguna Android pula, sut aplikasi pejabat boleh didapatkan di Play Store atau Market.
 
02. Dokumen
Pejabat bergerak anda tidak akan beroperasi jika anda tidak mempunyai aplikasi atau program yang sesuai untuknya. Jika di pejabat anda menggunakan Microsoft Office Word, ini pula dua alternatif aplikasi tablet yang akan membuatkan anda rasa tidak memerlukan laptop lagi.

Quickoffice Pro HD
Sut produktiviti pejabat kegemaran saya yang serasi iOS dan Android. Mungkin ia kekurangan beberapa fungsi jika hendak dibandingkan dengan sut program Microsoft Office yang sering anda gunakan di komputer, namun QuickOffice HD sudah cukup untuk saya menyelesaikan tugas kerja, menyiapkan tesis, menaip skrip dan banyak lagi. Malah artikel ini juga ditaip menggunakan program Document 2007-2010 di iPad menerusi Quickoffice HD.

Aplikasi berharga $19.99 ini membenarkan anda melakukan beberapa suntingan mudah dokumen seperti menukar font, menyusun perenggan, menukar warna dan menetapkan format teks seperti Bold, Italik dan Garis. Fungsi cetakan dan Save to PDF sangat berguna dan boleh dilakukan terus dari tablet dengan pantas.

Pages
Aplikasi dokumen khas untuk iPad ini adalah jauh lebih baik, cuma bezanya ia dijual secara berasingan berbanding Quickoffice yang menawarkan program dokumen, spreadsheet dan presentation dalam satu sut aplikasi yang sama. Pages boleh dikatakan aplikasi lengkap untuk dokumen anda pada harga $9.99. Ia menyediakan pembaris (ruler) untuk anda menetapkan margin dokumen, lebih banyak formating boleh dibuat pada teks seperti menukar style teks, memasukan bullet dan numbering serta mengubah layout teks kepada dua kolum atau lebih. Jika bertanyakan pada saya, ini aplikasi yang patut anda dapatkan bagi produktiviti di iPad.

Kita juga boleh masukkan gambar, jadual, carta dan bentuk ke dalam dokumen, malah templat dokumen juga disediakan bagi mereka yang tidak tahu hendak mula di mana, sama seperti program Microsoft Office yang kita ada. Anda boleh betulkan saiz gambar berkenaan, susun mengikut keperluan, memasukkan carta dan jadual dalam kertas kerja, apa sahaja yang boleh menjadikan dokumen anda lebih mantap. Dalam Document Setup, anda boleh masukkan Header dan Footer pada, sekali gus membolehkan anda menghantar dokumen tanpa perlu menyuntingnya di laptop atau komputer lagi.

03. Penayang Dokumen
Kadangkala anda tidak melakukan kerja di tablet tetapi perlu untuk membaca atau menyemak dokumen. Menerusi aplikasi pejabat seperti yang disyorkan di atas, anda tidak perlu bergegas masuk ke pejabat tetapi boleh melakukan semakan di mana sahaja anda berada.

04. Papan Kekunci
Potensi tablet anda sebagai pejabat bergerak juga lebih baik jika anda memiliki papan kekunci Bluetooth. Semua tablet mempunyai fungsi papan kekunci terbina, namun menggunakan papan kekunci Bluetooth, anda lebih selesa menaip dan sekali gus menukar tablet anda menjadi sebuah netbook berkuasa. Banyak papan kekunci yang berharga RM200 ke bawah di pasaran daripada jenama Apple, Logitech, ZaggKeys Flex. Terima kasih kepada teknologi Bluetooth, ia juga boleh digunakan untuk peranti lain seperti Smartphone. Tidak rugi jika anda ada satu.

05. Storan
Kerja-kerja yang anda lakukan di tablet kadangkala perlu dihantar, dikongsi, dibuka di pejabat. Cara paling mudah untuk melakukannya ialah secara e-mel. Namun ada juga alternatif lain seperti Dropbox yang membenarkan anda membuka dan berkongsi dokumen secara seret dan lepas. Anda boleh pasang klien ini di desktop komputer pejabat, muat turun aplikasi ke tablet dan kemudian boleh melihat dan bekerja dengan dokumen anda terus di kedua-dua platform. Bagi yang tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan Dropbox di komputer, hanya taipkan sahaja di Google.

Tablet anda juga boleh dijadikan storan gambar. Gambar projek bangunan, peralatan atau apa sahaja yang mungkin akan digunakan nanti boleh dimuatkan ke tablet dengan penyambung khas. Rahsia ini pernah diberitahu sebelum ini, jadi tidaklah begitu rahsia lagi. Namun begitu belum ramai yang memanfaatkannya. Menerusi Camera Connection Kit untuk iPad, anda boleh menukarkan tablet kepada storan foto berkuasa. Ia sungguh mudah tanpa perlu memasang apa-apa aplikasi lain. Pengguna Galaxy Tab juga boleh melakukan yang sama menggunakan Galaxy Tab USB&SD Connection Kit. Ada juga alternatif aplikasi pihak ketiga yang boleh digunakan untuk mengurus fail, namun kebanyakannya secara hack, jadi kami tidak begitu mengesyorkannya.

06. Aksesori
Bagi melengkapkan lagi konsep pejabat bergerak dan pernah kami siarkan dalam Majalah PC isu lepas, beberapa gajet lain diperlukan. Antaranya Seagate Backup Plus (RM289), pencetak Brother PocketJet A4 (RM1,099) dan pengimbas Magicscan Portable. Gabungan aksesori ini bersama tablet akan membolehkan anda memiliki pejabat bergerak tanpa kos tinggi. Bagi kami inilah rahsia terhebat gajet anda!

2. Robot Perjumpaan Semula!
Mungkin ada yang memikirkan, apakah kaitan antara tablet dengan perjumpaan semula atau gathering? Ia segala-galanya.

Menerusi aplikasi seperti Evite (percuma), Greetinvite ($1.99) atau aplikasi sosial yang biasa anda guna dan kami pasti anda ada Facebbok dan Twitter, anda boleh menghantar undangan kepada rakan tentang majlis perjumpaan yang akan diadakan. Mereka akan memaklumkan pengesahan kehadiran dan anda boleh sediakan senarai aktiviti yang akan dilakukan di Simplenote atau Reminder. Sewaktu majlis, rakam gambar menggunakan kamera pada tablet anda dan cetak terus kepada pencetak WiFi seperti Canon SELPHY CP900 untuk dibuat kenang-kenangan.

Berkongsi gambar terus ke tablet rakan lain menerusi penyambung kamera dan kemudian menayang suasana majlis perjumpaan dalam masa sebenar ke skrin besar menerusi penyambung VGA. Duduk bersembang sambil melihat gambar-gambar keluarga, gambar majlis dan mungkin gambar kenangan lama yang membuatkan anda tertawa secara persembahan slaid (slideshow) di tablet. Atau panggil pelukis karikatur untuk melukis gambar tetamu dan dicetak menggunakan pencetak mudah alih. Jadikan tablet sebagai robot yang akan melakukan tugas-tugas anda, perancang majlis, pengerat hubungan dan penyimpan kenangan. Fikirkan sesuatu yang besar dan unik!

3. Pemula Bisnes
Perkara baik boleh berlaku meskipun dengan hanya sebuah tablet. Tidak percaya? Cuba anda fikirkan kemampuan yang boleh dicapai oleh gajet anda termasuk tablet. Anda boleh memanipulasi alat ini untuk menjadi alat pemula bisnes dan penyedut wang. Mungkin anda kurang percaya, tetapi saya telah mencubanya. Saya sediakan sebuah tablet (iPad), muat turun aplikasi Papers daripada fifhtytree, sebatang stilus dan mengajak seorang rakan yang juga kartunis melukis di satu majlis tertutup yang diadakan baru-baru ini. Rakan saya melukis gambar karikatur tetamu yang hadir dan dia sememangnya mempunyai bakat. Kemudian kami cetak lukisan tersebut untuk diberikan kepada tetamu berkenaan yang dijual pada harga RM15. Hasilnya keseluruhannya, lumayan.

Ini mungkin idea yang sangat biasa, tetapi sekadar ingin menunjukkan bahawa banyak yang boleh anda lakukan dengan tablet, bukan sekadar melaburkan wang beribu ringgit membelinya. Anda boleh mendapat modal semula dengan cara berkreatif sedikit. Anda juga tidak perlu lagi membawa laptop yang berat semasa pembentangan. Ia boleh dilakukan menerusi tablet dan dipancarkan terus ke projektor menerusi kabel sambungan. Anda boleh berbincang dengan rakan bisnes di luar negara tanpa perlu membeli peralatan persidangan video yang mahal-mahal.

Malah dengan adanya teknologi seperti US-focused Square yang membolehkan bayaran selamat dilakukan menerusi alat seret kad kredit khas untuk iPad; PayWizard retail yang menggunakan sistem ‘bump’ NFC dan PayEverywhere yang boleh menguruskan resit dan pangkalan data pelanggan; serta Enders POS for Android yang membenarkan imbasan kod bar, memungkinkan kita membuka kedai talian sendiri, dan alatnya hanya tablet. Pelanggan boleh melihat barangan yang kita jual, dan membuat bayaran dengan seret sahaja kad menerusi alat khas iPad, seperti berjualan langsung. Sama ada tablet untuk pemula bisnes atau pengurus bisnes, ia boleh melakukannya. Bukan rahsia lagi.

4. Suara kepada yang tiada
E-mel, persidangan video dan Internet, tablet merupakan alat komunikasi yang baik dan praktikal, meskipun untuk mereka yang tidak boleh bercakap. Menerusi aplikasi Speak for Yourself, kanak-kanak autistik dan pengguna bisu boleh memanfaatkan tablet untuk bercakap bagi pihak mereka. Aplikasi itu memaparkan skrin yang mempunyai beberapa gambar simbol, yang apabila disusun boleh digunakan untuk menyampaikan ayat yang ingin diberitahu. Sayangnya aplikasi ini telah ditarik balik daripada App Store berikutan masalah paten.

Tetapi bayangkan apa yang boleh kita lakukan menerusi tablet. Gajet ini sudah pun banyak digunakan dalam industri kesihatan dan perkembangan dalam bidang seperti aplikasi Speak for Yourself tentu akan membuka inovasi baru buat tablet. Sebuah alat komunikasi hebat untuk setiap golongan manusia.

5. E Segalanya
Melihat kemampuan tablet sebagai pejabat bergerak membuatkan minda kita terus berkreatif dan memikirkan apa yang boleh dilakukan pada tablet selain daripada apa yang biasa kita lakukan. Cubalah e-Profail. Sebenarnya saya telah mencubanya beberapa kali. Saya hasilkan profail peribadi menerusi Pages, lengkap dengan keterangan diri, gambar dan beberapa elemen lain untuk menjadikan profail lebih menarik. Profil itu kemudiannya dieksport sebagai format PDF. Tidak perlu lagi membawa profail bercetak (melainkan diperlukan) untuk menghadiri sebarang temubual atau temuduga. Gunakan tablet sebagai e-kertas yang menayangkan e-profail anda.

Selain itu fungsi lazim tablet adalah membaca e-book. Tetapi rahsia besarnya pula ialah anda boleh menghasilkan sebuah menerusinya. Gunakan kemahiran dan bakat anda untuk menulis tentang sesuatu. Kemudian terbitkan ia menerusi tablet sama ada dengan sokongan aplikasi pihak ketiga yang menukar dokumen kepada PDF atau gunakan sahaja alternatif aplikasi pejabat yang dinyatakan tadi. Beberapa rahsia besar di atas, jika digabungkan dengan idea ini pasti akan membawakan hasil yang lumayan. Saya dengar ramai yang bercita-cita menghasilkan e-book sendiri. Jadi jangan lagi dengar dan fikir, jom terus buat!

6. Tablet Sebenarnya Komputer
Siapa yang saya hendak tipu, tablet sememangnya sebuah komputer, bukan samaran lagi. Tetapi bagi mereka yang ingin dapatkan mood bekerja dengan tablet sama seperti sebuah komputer, mungkin boleh lakukan beberapa pengubahsuaian pada desktop seperti menukar tema, icon dan sebagainya. Kemunculan Surface akan mengatasi hal ini bagi mereka yang tidak biasa dengan rekaan antara muka tablet. Jika anda ingin bekerja dengan rasa seperti sebuah komputer desktop, tukar ia. Tetapi ini rahsia besar tablet yang tidak seharusnya anda beritahu pada komputer :)

1 comment:

  1. Its like you read my mind! You seem to know so much about this, like
    you wrote the book in it or something. I think
    that you could do with a few pics to drive the message home a little bit, but instead of that, this is great blog.
    An excellent read. I'll certainly be back.

    ReplyDelete

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia