DUNIA pekerjaan memberi pengaruh yang
cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya satu pertiga daripada
kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.
Keadaan ini, jika bijak dikawal
akan meningkatkan produktiviti dan motivasi kepada seseorang, tetapi
jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.
Pakar Psikiatris di Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari
menjelaskan, tekanan sebenar yang dihadapi di tempat kerja merupakan
tindak balas fizikal, emosi dan juga mental seseorang terhadap sebarang
perubahan atau tuntutan kerja.
Biarpun ia bukan satu penyakit
kronik, namun begitu, jika tekanan adalah tinggi dalam jangka masa yang
panjang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kreativiti.
''Banyak implikasi negatif
berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas
baran, murung, gelisah, kelesuan, resah, ketakutan dan hilang tumpuan
adalah antara kesannya.
"Keadaan ini jika dibiarkan akan memudaratkan diri sendiri serta kesihatan," katanya.
Ujarnya, kebiasaan pekerja yang
tertekan akan menunjukkan ciri-ciri negatif kepada dirinya, malah dari
sudut produktiviti kerja pula turut terjejas sehingga boleh menjejaskan
motivasi seseorang itu.
Dalam laporan yang dikeluarkan
oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan di pejabat dilabel
sebagai 'Penyakit' abad ke-20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
juga melaporkan bahawa tekanan ialah Epidemik Dunia.
Malah WHO juga menjangkakan
bahawa tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang
menyumbang kepada semua lima penyakit utama di dunia iaitu penyakit
jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalan raya, strok dan penyakit
paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.
Di Malaysia, Kajian Kesihatan
dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan
ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang
setahun dengan purata 7 orang sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia
khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental.
Ditanya apakah punca utama
sehinggakan berlaku tekanan di tempat kerja, Dr. Muhammad Muhsin
menjelaskan pelbagai faktor boleh mendorong seseorang itu menjadi
tertekan. Antaranya suasana kerja, persekitaran yang bising, interaksi
dan pelbagai lagi.
Selain itu, situasi tekanan dengan tugasan yang diberikan oleh majikan juga mendorong seseorang itu lebih tertekan.
''Keadaan ini menyebabkan
pekerja berasa bosan untuk datang bekerja sehingga menyebabkan dia suka
mengasingkan diri daripada pekerja-pekerja lain,'' ujarnya.
Situasi ini juga akan mendorong
untuk pekerja itu menjadi malas ke pejabat sehinggakan merasakan dirinya
tidak sesuai dengan tugasan yang diberikan kerana terlalu rendah taraf
atau terlalu terbeban.
Bagaimanapun ketika ditanya
mengenai strategi untuk mengurangkan tekanan di pejabat, beliau
menjelaskan, pelbagai cara boleh digunakan, bagaimanapun ia bergantung
kepada diri seseorang itu.
''Bagi sesetengah individu
bersukan boleh melegakan tekanan yang dihadapi namun bagi sesetengah
orang pula meluah atau berkongsi cerita kepada seseorang adalah cara
terbaik untuk melegakan tekanan yang di hadapi.
''Semua ini bergantung kepada diri seseorang bagaimana dirinya untuk melepaskan perasaan itu," jelasnya.
Katanya lagi, bercuti juga mampu memberikan kelegaan kepada pekerja itu kerana melupakan seketika masalah yang dihadapi.
Bagaimanapun dalam masa sama,
cubalah berkongsi cerita dengan orang yang paling rapat dengan kita
antaranya seperti suami, ibu bapa atau rakan.
Katanya, melalui perkongsian cerita itu ia mampu mengalihkan perasaan tertekan dan juga marah itu menjadi reda.
Bagaimanapun, bagi yang beragama
Islam digalakkan juga untuk bermunajat kepada Allah dengan berdoa atau
melakukan solat-solat sunat.
Selain itu, tegasnya, kehidupan yang sihat adalah sesuatu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah tekanan.
''Tidak salah kalau kita
bahagikan masa antara kerjaya dan juga diri sendiri kerana pengurusan
masa yang betul mampu memberikan ketenangan pada seseorang,'' ujarnya
serius.
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...