BIASAKAN PEGANG BUKU
Biasakan diri mereka memegang buku dan bermain dengannya sejak kecil. Luangkan masa untuk bercerita tentang buku tersebut kepada anak kita dalam beberapa minit sehari. Gunakan bahasa yang mudah dan bahasa tubuh yang menarik.
Baca buku tersebut di hadapannya. Mungkin anak yang berusia setahun dan ke bawah tidak memahami apa yang kita bacakan tetapi dengan bahasa tubuh yang ditunjukkan dan senyuman yang diberikan menggalakkan anak ini untuk terus mendengar dan sekali gus berminat dengan cerita dan kemudian buku tersebut.
Disini kanak-kanak membina persepsi bahawa melalui buku dia mendapat keceriaan. Lakukan aktiviti ini bersama anak-anak kita setiap hari ataupun sekurang-kurangnya setiap minggu.
GAMBAR BESAR DAN MENARIK
Pemilihan buku amat penting untuk menggalakkan anak-anak gemar membaca. Kanak-kanak sukakan ilustrasi-ilustrasi yang besar dan menarik. Ilustrasi seperti gambar manusia, binatang, acara yang biasa dilihat akan menambat hatinya untuk terus bersama buku tersebut.
Jadi, pilihlah buku yang mempunyai gambar yang besar, menarik, biasa dilihat dengan penerangan yang ringkas. Selain itu, penggunaan bahasanya biarlah yang mudah dan dekat dengan hati dan pemikiran anak-anak kita. Penumpuan kanak-kanak tidak lama, jadi memadai dengan memilih buku yang sedikit halamannya.
TUNJUKKAN KESERONOKAN
Titip keseronokan dalam penceritaan buku tersebut. Membaca bersama mereka. Anak-anak amat suka mendengar cerita. Jadi gunakan minat ini untuk menggalakkan mereka minat kepada membaca. Tunjukkan apa yang dibaca dan pastikan mereka sedar apa yang sedang berlaku dengan menunjukkan gambar dan melibatkan mereka dalam penceritaan.
Minta pendapat mereka atau minta mereka meneka apa yang mungkin berlaku selepas ini. Jangan lupa untuk memberikan mereka pujian setelah tepat meneka. Galakkan dalam bentuk pujian amat digemari kanak-kanak (reinforcement). Aktiviti seringkas ini akan mendorong minat mereka untuk terus membaca.
Apabila mereka merasai keseronokan membaca, mereka pasti akan menanti-nantikan saat ini. Jadikan aktiviti ini sebagai rutin keluarga. Rutin yang dilakukan ini akan membentuk persepsi positif dan minat anak-anak terhadap membaca.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...