Kata-kata Aluan
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan taufik dan 'inayah-Nya, satu risalah kecil yang membicarakan tentang adab-adab dalam memelihara persaudaraan Islam dapat diterbitkan pada masanya yang sesuai dan bertepatan dengan kehendak semasa.
Sesungguhnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T. telah menetapkan peraturan-peraturan dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya. Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri manusia itu sendiri.
Oleh itu, peraturan-peraturan Ilahiah yang berlandaskan al-qur'an,hadith ijmak ulama' dan qias mestilah dipegang sekukuh-kukuhnya tanpa sebarang kompromi atau bersyarat. Segala dakwaan,pandangan dan sikap yang jelas bertentangan dengan nas-nas yang sarih mestilah ditolak kerana ia bukan bertunjangkan sumber yang muktabar tetapi bertopengkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi yang keji.
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan panel penulis JAKIM atas kegigihan menyiapkan risalah ini sehingga dapat diterbitkan tepat pada masa yang ditetapkan. Mudah-mudahan risalah ini menjadi panduan yang berguna kepada umat Islam seluruhnya terutama dalam membina perpaduan dan kekuatan ummah yang kini sedang hebat diserang oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.
BRIG.JEN.(B) DATO'ABDUL HAMID BIN HJ ZAINAL ABIDIN
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Pendahuluan
Allah S.W.T. menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah S.W.T.menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia.Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.
Firman Allah S.W.T.:Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)
Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara tersebut mendapat, keredhaan Allah.
Adab pergaulan
Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w.:Maksudnya:
Daripada kebaikan iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.'
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)
Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin.
Allah S.W.T. berfirman:Maksudnya:
'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.'
(Surah al-Mukminun : 1-3)
Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.
Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.
Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.
Ketiqa: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.
Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.
Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).
Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.
Pertuturan Dalam Pergaulan
Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.
Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.
Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.
Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.
Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah, 'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T.maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.
(Surah Ibrahim: 24-26)
Maksudnya:'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang
(Surah al-Hujurat:11)
Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12)
Allah Ta'ala berfirman lagi:Maksudnya:
Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'
(Surah al-Ahzab : 58)
Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)
Maksudnya:
'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)
Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:Maksudnya:
'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)
Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)
Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)
Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:Maksudnya: 'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)
Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)
Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)
Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)
Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)
Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'
Penulisan
Pada zaman ini sikap saling mencela dan mempersalahkan orang lain melalui tulisan sudah menjadi perkara biasa. Tujuannya hanyalah untuk menuduh dan menjatuhkan air muka orang lain yang tidak sehaluan pendapat dengannya, disamping mungkin juga bertujuan untuk mencari populariti.Islam tidak melarang umatnya untuk memberikan pandangan dan kritikan yang bersifat membina apabila melihat sesuatu masalah atau tuduhan yang menyimpang daripada kebenaran. Sikap seperti ini telah ditunjukkan sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah kepada pemimpin- pemimpin seterusnya.Walau bagaimanapun,setiap tulisan yang dihasilkan hendaklah merupakan suatu karya yang membina yang dapat menegakkan peradaban masyarakat, sebaliknya bukan untuk meruntuhkannya dengan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan mencela atau menghina pihak tertentu. Menggunakan bahasa dan daya imaginasi yang tinggi untuk melahirkan sebuah karya sangat disanjung tinggi. Namun, biarlah imaginasi itu ada arah tuju yang baik dan bukan sebaliknya.
Firman Allah S.W.T: Maksudnya: 'Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali.'
(Surah Asy-Syuara': 224-227)
Ayat ini jelas menolak penulis atau pengkarya yang menggunakan imaginasi dan khayalan tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan masyarakat keliru dan timbul salah tanggapan terhadap tulisan tersebut:Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya:
Tidak harus bagi seorang muslim itu menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya.' (riwayat Abu Daud)
Hadith tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit, mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah:
Maksudnya:
Wahai orang yang beriman, takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.
(Surah al-Ahzab: 70-71)
Perdebatan
Dalam pergaulan seharian, kita sering berhadapan dengan perbincangan atau perdebatan tentang sesuatu isu. Islam menggariskan beberapa panduan yang patut diikuti ketika perbincangan atau perdebatan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Perdebatan tentang agama, politik, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang dilakukan tanpa berlandaskan adab-adab yang dibenarkan oleh syarak, akan mengakibatkan rosaknya agama, kehidupan dan ilmu pengetahuan.Barangkali perdebatan seperti yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya kesejahteraan ummat dan lahirnya golongan yang berpecah-belah.
Perdebatan seumpama ini bukanlah pembahasan yang sihat dan bukan pula usaha memperolehi kebenaran dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini tergambar apabila para sahabat pernah berdebat antara satu dengan lain tentang sesuatu perkara. Apabila Rasulullah s.a.w. datang, baginda bersabda: Maksudnya :
Hai umat Muhammad, berhati-hatilah! Orang sebelum kamu dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkanlah perdebatan kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkanlah perdebatan kerana orang yang berdebat jelas akan memperolihi kerugian! Tinggalkanlah perdebatan kerana perdebatan mendatangkan dosa bagi orang selagi ia berdebat! Pada Hari Kiamat aku tidak akan memberi syafaat kepada orang yang suka berdebat! Tinggalkanlah perdebatan, kujamin tiga buah rumah di dalam syurga: di taman-tamannya,di tengahnya, dan yang di bahagian atasnya tersedia bagi orang yang menjauhkan diri daripada perdebatan dalam keadaan ia benar! Tinggalkanlah perdebatan kerana perkara pertama yang aku dilarang oleh Tuhanku sesudah melarang penyembahan berhala perdebatan.'
(Riwayat At-Tabarani)
Sepatutnya, dalam perbincangan tentang sesuatu isu yang timbul, kita hendaklah mengawal diri dan jangan sekali-kali menyanggah atau menyampuk kata-kata atau pandangan orang lain yang sedang memberikan pandangannya. Ini kerana setiap kata-kata yang kita dengar itu, jika benar, hendaklah kita mempercayainya atau menyetujuinya. Tetapi sekiranya kata-kata atau pandangan yang diutarakan itu salah, maka hendaklah perbetulkan. Itulah sebenarnya cara yang sepatutnya dilakukan ketika kita berdebat atau berbincang, Bukannya saling cabar-mencabar dan bertikam lidah hingga membawa pertengkaran yang tidak berkesudahan, serta tidak menghasilkan apa-apa keputusan.
Firman Allah S.W.T. Maksudnya:'...Dan berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang terbaik...
(Surah an-Nahl : 125)
Kaedah al-Qur'an Dalam Pertuturan
AI-Qur’an dengan tegas merumuskan bahawa umat Islam secara nyata memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan mereka daripada umat lain.
Firman Allah S.W.TMaksudnya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik
(Surah Ali-Imran : 110)
Antara ciri khusus mereka yang paling utama ialah menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kejahatan dan beriman kepada Allah S.W.T. Ciri tersebut sangat penting diambil ingatan oleh umat Islam kini khususnya dalam konteks jika mereka mahu membangunkan semula keyakinan diri dan menjadi'umatan wasatan'untuk masa kini dan masa depan.
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
Dan demikianlah (sebahagian Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.(Sebenarnya kiblat kamu ialah Ka'bah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat itu adalah amat berat (untuk diterima)kecuali kepada orang yang telah diberikan
(Surah aI-Baqarah : 143)
Walau bagaimanapun apabila ditinjau kepada potensi umat yang ada pada masa kini, kita dapati pertembungan fahaman telah menjadi salah satu halangan besar yang membelenggu mereka untuk hidup bersatu. Bersatu dalam erti kata saling tegur menegur dan menegakkan kebenaran secara berhikmah.
AI-Quran telah meletakkan beberapa kaedah tentang bagaimanakah cara terbaik untuk hidup saling tegur menegur dan bergaul dalam masyarakat. Bagaimanakah cara yang terbaik pula untuk mereka mengembalikan maruah ummah tanpa menjatuhkan orang lain sekaligus berperanan menjadi contoh kepada bangsa lain bahawa kita bukanlah umat yang suka kepada perbalahan dan saling bercakaran.
AI-Quran dalam banyak ayatnya menggesa supaya dibentuk fikiran umum yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Semua ini dilakukan demi menjaga kehormatan ummah dan ia perlu melalui kebebasan berfikir dan kebebasan bercakap asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan umum. Antaranya percakapan yang tidak sopan dan ungkapan-ungkapan yang tidak manis didengar.
Berhikmah
Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Allah S.W.T. memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad SAW supaya bercakap dengan cara yang paling lembut.
Firman Allah S.W.T: Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.'
(surah Ali-Imran : 159)
AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik.
Firman Allah S.W.T.:Maksudnya:
Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...(Surah Fussilat : 34)
Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah, berkarya malah dalam apa jua tindakan kita.
Allah S.W.T. berfirman:Maksudnya:
Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan…'
(Surah Muhammad : 19)
Firman Allah S.W.T. lagi:
Maksudnya:
'Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.' (Surah al-Muddaththir: 1-4)
Allah S.W.T. juga berfirman: Maksudnya:'...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya. (Surah Ali-Imran : 79)
Sejak kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa. Teguran itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih bermanfaat bagi umat Islam. AI-Quran sering menyindir golongan seperti ini lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur masyarakat.
Antaranya seperti firman Allah:
Maksudnya:
'Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'
(Surah al-Araf : 187)
Maksudnya:
'...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.'
(Surah Hud : 17)
Maksudnya:
'..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr: 176)
Maksudnya:
'...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr :21)
Oleh: Panel Penulis JAKIM
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...