Hampir semua negara di dunia kini merasai kesan daripada harga
makanan yang meningkat secara mendadak serta kedudukan ekonomi yang
tidak menentu. Justeru, bagi membantu para pengguna di Malaysia
mengurangkan kesan ini ialah melalui amalan berkebun sendiri.
Tanah merupakan satu anugerah semula jadi yang banyak terdapat di
Malaysia. Kita sering mendapati banyak tanah yang terbiar di kawasan
bandar dan luar bandar yang dipenuhi dengan rumput rampai dan
tanaman-tanaman yang tidak mendatangkan hasil. Kini anda boleh menanam
sayur-sayuran dan buah-buahan yang anda sukai di halaman atau kebun di
rumah anda.
Penghuni rumah pangsa dan rumah teres yang tidak mempunyai kawasan
bertanah pula boleh menanam sayur-sayuran di dalam pasu atau beg poli di
rumah mereka. Negara kita amat bertuah kerana dikurniakan dengan cahaya
matahari dan hujan yang banyak. Kedua-dua sumber ini amat diperlukan
untuk bercucuk tanam di rumah. Dengan melakukan kerja yang sedikit
sahaja ia boleh memberikan pulangan yang lumayan.
KENAPA PERLUNYA BERKEBUN DI RUMAH?
- Ia dapat mengurangkan perbelanjaan seharian untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang harganya semakin meningkat pada masa ini.
- Anda boleh mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar daripada taman anda sendiri.
- Anda boleh mendapatkan makanan seperti cili, daun kari dan ulam dengan mudah sekali.
- Anda mengambil makanan yang sihat kerana ia bebas daripada racun perosak atau racun serangga.
- Ia boleh dijadikan sebagai hobi yang boleh membawa keseronokan kepada ahli keluarga anda.
- Anak-anak anda sendiri mengetahui dari mana datangnya sumber untuk makanan mereka.
- Anda akan lebih menghargai nilai makanan dan tidak akan mensia-siakannya kerana ia hasil titik peluh anda sendiri.
- Memberikan kepuasan kerana dapat makan buah-buah dan sayur-sayuran dari dalam taman anda sendiri.
- Menggunakan tanah yang kosong untuk berkebun dapat mengelakkan daripada pembaziran kepada sumber tanah.
- Hasil tanaman dapat menghijaukan kawasan halaman dan memberikan pemandangan rumah yang indah.
- Jika menanam dalam kuantiti yang banyak, hasil tanaman boleh dikongsi bersama-sama dengan jiran atau menjualnya untuk mendapatkan wang tambahan.
- Anda dapat menikmati makanan organik yang dihasilkan sendiri dengan kos yang rendah kerana harga hasil pertanian secara organik amat tinggi di pasaran.
APA BOLEH ANDA LAKUKAN?
- Anda boleh menggunakan sama ada baja organic atau baja kimia. Bagi baja organik. Campurkan sebahagian sisa organik (daun-daun kering, kulitkulit kerang telur, kulit-kulit buah, beg-beg teh) dengan tanah dan biarkan ia selama beberapa minggu. Ia akan menjadi baja asli yang amat baik untuk tanaman anda.
- Bukan semua serangga adalah perosak. Cacing yang terdapat dalam tanah boleh membantu menjadikan tanah lembut dan amat sesuai untuk bercucuk tanam.
- Selalulah bertukar-tukar maklumat dengan rakan-rakan atau tetamu tentang cara untuk menghapuskan rumpai dan perosak tanaman serta cara menghasilkan tanaman yang lebih baik.
- Bercucuk tanam sebagai landskap, seperti di halaman rumah atau pasu bunga di balkoni
- Jaga keadaan tanah anda. Lebih banyak perlindungan dibuat, ia akan mengurangkan penggalian dan pengairan. Adalah baik jika anda belajar cara membuat kompos kerana ia dapat menghasilkan tanaman yang segar dan menjimatkan masa.
- Menuai dan menggunakan air hujan untuk menyiram halaman rumah. Ini bukan sahaja mengurangkan bil air, tetapi juga menggunakan air dengan lebih berkesan.
- Bercucuk tanam mengikut kesesuaian taman. Jika anda mempunyai kebun yang besar, anda boleh menanam apa jua tanaman yang disukai, termasuk tanaman yang memerlukan ruang yang luas untuk membesar. Sekiranya anda mempunyai kawasan tanah yang kecil, lebih baik jika menanam beberapa batang cili dalam pasu, atau beberapa jenis sayur-sayuran dalam beg poli.
Langkah Keselamatan semasa berkebun !!
- Perhatikan jika sesuatu tumbuh-tumbuhan itu jenis yang beracun sebelum menanamnya di kawasan rumah.
- Selalu memakai sarung tangan dan kasut atau but yang bersesuaian semasa berkebun.
- Semasa membuang batu-batu, tin, kayu api dan sebagainya, lakukan secara perlahan-lahan agar sesuatu benda yang tersembunyi di sebaliknya dapat ditanggalkan dengan baik.
- Sentiasa memeriksa but, sarung tangan dan pakaian sebelum memakainya. Jika ia telah terbiar dalam tempoh tertentu, goncangkan ia dengan kuat. Anda mungkin tidak mengetahui apa yang terdapat di dalamnya!
- Jangan sekali-kali memasukkan jari ke dalam lubang-lubang di dalam tanah.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...