Pengertian Nilai
Nilai diertikan sebagai satu konsep yang dijadikan asas oleh masyarakat untuk melihat, mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, darjat, mutu, kualiti dan taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok orang sebagai baik, berharga dan bernilai.
Budi bahasa
Lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia. Tegasnya setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Konsep-konsep lain termasuk mulia, adil, hormat, bijaksana, berani, malu, sabar, sopan dan lain-lain.
Kesopanan dan kesusilaan
Kedua konsep ini terangkum dalam prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Prinsip ini menekankan bahawa setiap warganegara harus menjaga tatasusila masing-masing dengan tidak menyinggung perasaan sesuatu golongan lain. Tingkah laku kesopanan juga mengandungi darjah kesusilaan yang tinggi dalam keperibadian dan kehidupan bermasyarakat.
Sifat dan amalan Nilai-nilai murni
Nilai-nilai murni yang diterima oleh masyarakat Malaysia adalah nilai-nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat resam dan kebudayaan. Antara sifat- nilai-nilai murni yang menyeluruh adalah seperti berikut:
Amanah
- Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
- Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi kepentingan tugas.
- Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang, peralatan serta tenaga kerja.
Tanggung Jawab
- Menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap Tuhan, di samping pekerjaan dan majikan.
- Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur.
- Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja diperlukan;
- Bersedia untuk menjaga maruah agama, bangsa dan negara.
- Tidak mengkhianati kepentingan organisasi/institusi/ awam dalam menjalankan tugas.
Ikhlas
- Berhati mulia dengan melaksanakan tugas tanpa mengharapkan balasan.
- Niat dalam melaksanakan tugas kerana Tuhan, kerana mencari rezeki yang halal serta mencari keredhaanNya.
- Mengikis sebarang unsur "kepentingan diri" dalam melaksanakan tugas sebagai asas pengisian amanah.
Benar
- Jujur dalam melaksanakan tanggung jawab.
- Bercakap benar dan menepati janji.
- Cermat dan berhemat dalam membuat keputusan.
- Bertindak berasaskan profesionalisme.
- Patuh dan setia dalam melaksanakan tugas.
- Sanggup terima teguran dan nasihat.
Sederhana
- Bersederhana dalam setiap amalan hidup, tindakan dan tingkah laku;
- Menjamin perseimbangan diri dan tugasan.
Tekun
- Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan tugas dan kehidupan.
- Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk membaiki taraf hidup.
- Berusaha gigih menghasilkan kerja yang memuaskan sehingga mencapai tahap cemerlang.
Bersih
- Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan kehidupan seharian.
- Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar sebagai satu cara hidup.
- Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas.
- Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan pemikiran dalam membuat keputusan.
- Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan pemikiran dalam membuat keputusan.
Berdisiplin
- Menepati masa dan janji.
- Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang.
- Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.
Bekerjasama
- Mengamalkan sikap tolong-menolong dalam melaksanakan tugas.
- Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi sebahagian daripada usaha mempertingkat semangat kerjasama.
- Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara kepentingan bersama.
- Mengelakkan konflik atau pertembungan kepentingan berdasarkan peribadi.
- Mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.
Berperibadi mulia
- Bertimbang rasa dan bertolak ansur.
- Menghormati sesama insan.
- Sentiasa memulakan 'pertanyaan" dengan tujuan untuk menolong.
Bersyukur
- Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk sebagai seorang anggota masyarakat.
- Bersikap positif dan ingin berusaha lebih gigih.
- Menghayati budaya kerja bersopan dan tidak bertentangan dengan kehendak agama.
- Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;
- Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia;
Berkhidmat sebagai ibadah.
- Memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan agama.
Bermuafakat
- Bermuafakat membawa berkat; slogan yang harus dipegang oleh rakyat Malaysia.
- Dengan muafakat sesama manusia akan mengeratkan lagi perpaduan yang telah lama terjalin.
Bertoleransi
- Sikap toleransi sesama kaum merupakan tunjang utama kepada keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.
Bertimbang rasa
- Perasaan bertimbang rasa adalah sebahagian daripada sikap terpuji tanpa mengira perbezaan latar belakang sesuatu kaum.
Bersatu padu
- Pengamalan berterusan budi bahasa dan nilai-nilai murni akan membawa kesepaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
Beretika
- Semangat beretika akan lahir kepada setiap individu sekiranya mempunyai nilai budi pekerti yang tinggi
Tidak mementingkan diri sendiri
- Seseorang yang kaya dengan budi pekerti dan teguh dengan amalan nila-nilai murninya tidak akan mementingkan diri sendiri
Tidak ada perasaan curiga dan prasangka
- Perasaan curiga dan syak wasangka tidak akan mudah wujud dalam setiap individu yang mempunyai nilai-nilai murni.
Dengan adanya budaya dan elemen di atas dalam kehidupan bermasyarakat maka perpaduan akan terus teguh dan negara akan terus aman.
Sumber: Petikan dari buku Nilai-Nilai Murni
Terbitan Bahagian Penerbaitan Dasar Negara
Jabatan Penerangan Malaydia
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...