Ibu bapa pasti akan gembira apabila anak pulang dengan keputusan peperiksaan cemerlang dan rajin mengulang kaji pelajaran . Namun melahirkan anak yang bersikap begitu adalah sukar tapi tidak mustahil. Yang penting kita perlu tahu cara betul mendisiplinkan anak, tegas, dan mesra dalam pendekatan, sabar dalam membimbing dan istiqamah. Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita lihat sikap rajin belajar itu mula berputik dan menjadi tabiat mereka.
Berikut adalah perkara yang perlu kita lakukan:
- Sediakan keperluan anak belajar secukupnya. Sebagai ibu bapa keperluan seperti buku tulis, buku tambahan, soalan-soalan peperiksaan tahun lalu, pen, pensil dan pemadam perlu diperhatikan dan disediakan. Oleh itu sentiasa semak keperluan belajar anak dan pastikan ia lengkap.
- Semak beg anak-anak kita dari masa ke semasa. Kenapa perlu? Sebab apabila kita semak tahulah kita selama ini anak-anak siap kerja sekolahnya atau tidak. Mungkin juga ada surat-surat penting daripada pihak sekolah. Ada juga kita menemui sesuatu yang tidak kita sangka. Dengan menyemak beg anak kita memastikan anak-anak tidak hilang fokus terhadap pelajarannya.
- Sentiasa letak jangkaan bahawa anak boleh berjaya. Ramai ibu bapa yang memandang rendah kebolehan anak-anak mereka. Ada yang tidak membelikan buku –buku tambahan, ada yang menolak dari memasukkan anak ke program motivasi dan ada yang merasakan anak mereka bukan boleh cemerlang dalam pelajaran. Sikap ibu bapa begini pasti merugikan. Anak-anak yang cemerlang lahir daripada ibu bapa yang sentiasa mencari ruang dan peluang meningkat kan prestasi pelajaran mereka.
- Peraturan dibuat bersama. Apabila ibu bapa mahu menetapkan waktu belajar, bermain dan rehat cuba babitkan anak-anak. Minta pandangan dan persetujuan mereka. Peraturan yang dibuat bersama lebih mudah diikuti dan dipatuhi berbanding yang datang sepenuhnya dari ibu bapa sendiri.
- Nyatakan ganjaran dengan jelas. Memberikan ganjaran setiap kali anak-anak berjaya mendapat markah atau kedudukan yang baik dalam peperiksaan dapat mendorong mereka belajar. Ibu bapa perlu bijak memikirkan apakah bentuk ganjaran disukai anak dan mampu membuatkan mereka bersemangat.
- Cari peluang memuji anak. Cuba kita menjadi lebih sensitif dan prihatin terhadap tingkah laku anak. Apabila kita benar-benar memerhatikannya pasti ada banyak peluang bagi kita memuji secara positif. Puji anak ketika dia lakukan sesuatu yang betul. Puji juga anak apabila dia menunjukkan peningkatan dalam pencapaiannya. Dengan memuji maka anak tahu apa yang kita suka dan akan berusaha mengulangi tingkah laku atau perbuatan itu pada lain masa.
- Masukkan dia ke program motivasi . Ibu bapa usah terlalu berkira-kira mengeluarkan sedikit pelaburan bagi merangsang anak belajar. Ada ketikanya mereka mahu belajar tapi tidak tahu cara, tidak tahu di mana mahu bermula, merasakan terlalu banyak perlu dibaca, sukar untuk menghafal dan mengingat, kerap hilang fokus atau mengantuk . Semua masalah ini boleh diatasi apabila mereka hadir ke program Motivasi Pelajar.
- Berikan anak-anak pemakanan yang merangsang minda. Anak-anak perlukan pemakanan tambahan bagi menambah tenaga dan mencerdaskan otak.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...