MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Thursday, August 6, 2015

Elakkan Tragedi Penculikan



Image result for children safety
Sejak kebelakangan ini terlalu banyak berita mengenai kanak-kanak hilang, diculik atau lebih malang lagi, diperkosa dan dibunuh. Sebagai ibu bapa, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Elakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga yang patut dipatuhi oleh anda sendiri, anak-anak anda serta pengasuh atau penjaga anak-anak.
 
1. Beri perhatian kepada anak anda
Pastikan anda tahu di mana dia berada di setiap masa. Jika keluar berjalan dengan anak-anak, seeloknya anda memegang tangan anak-anak yang kecil sementara yang besar sedikit berada berdekatan dengan anda. Jika dia sudah cukup tua untuk berjalan-jalan sendiri, tetapkan waktu tertentu untuk berjumpa semula dengannya atau untuk dia pulang ke rumah dan pastikan dia faham betapa pentingnya untuk dia patuhi had waktu ini. Jika anda hantar anak ke rumah pengasuh atau ada pengasuh menjaga mereka, pastikan dia juga mematuhi langkah-langkah ini. Selain itu, berikannya nombor-nombor telefon penting untuk dihubungi sekiranya apa-apa berlaku.
 
2. Pastikan anak anda sentiasa berjaga-jaga
Walau ia isu yang sensitif, anda patut beritahu anak anda tentang apa yang boleh berlaku jika dia diculik. Bukan mahu menakut-nakutkannya tetapi dia perlu sedar mengapa ibu dan ayah menerapkan undang-undang keselamatan keluarga.
 
3. Pastikan dia faham bahaya-bahaya berikut:
  • Mengikuti orang yang tidak dikenali, terutamanya jika orang itu mempelawanya menaiki kereta. Dia tidak patut mengikuti seseorang yang tidak anda kenali, walaupun anak anda mengenalinya.
  • Menerima sebarang pemberian daripada orang yang tidak dikenali.
  • Berjalan seorang diri, terutama di tempat awam, atau di luar kawasan rumah, walaupun untuk ke taman permainan.
  • Menerima pelawaan orang asing untuk memasuki rumah mereka •Memberitahu orang asing nama, alamat tempat tinggal serta nombor telefon penjaga, sama ada di telefon atau bersemuka dengan orang ini.
  • Membenarkan orang yang tidak dikenali masuk ke dalam rumah.

Terapkan satu sistem tetap untuk mengambil anak dari sekolah, rumah penjaga atau rumah kawan-kawan. Sistem ini patut dipatuhi semua yang terlibat, termasuk anda, anak anda, pengasuh atau penjaga, serta sesiapa yang ditugaskan untuk mengambil anak anda dari sesuatu tempat.

4. Rahsiakan butiran anak anda
Jika boleh, jangan tulis nama anak anda di mana-mana barang kepunyaannya yang boleh dilihat orang, contohnya di beg sekolah, bekas makanan dan botol minuman, dan sebagainya. Seorang bakal penculik boleh menggunakan maklumat ini untuk berpura-pura mengakui yang dia kenal anak anda kerana dia tahu namanya.

5. Ajar anak anda teknik pertahan diri
Terdapat beberapa perkara yang boleh anak anda lakukan jika dia dihampiri seseorang yang mencurigakan termasuk menjerit sekuat hati, memeluk erat orang lain atau objek tidak bergerak seperti pokok atau tiang, menggigit tangan penyerang atau mana-mana bahagian lain untuk melepaskan diri serta menendang mana-mana bahagian badan penyerang sekuat hati. Tindakan-tindakan yang paling efektif ke atas penyerang termasuk menggigit telinga dan tengkuknya sehingga koyak, menggenggam dan menarik sekuat hati telinga, tengkuk dan bibir bawah penyerang, menendang celah kangkang, dada, tengkuk, mata dan hidungnya dan menghayun tangan bagai kayu besbol ke mana-mana bahagian tadi. Sekali-sekala, ingatkan anak anda langkah-langkah ini agar ia sentiasa segar di mindanya dan dapat bertindak dengan betul sekiranya sesuatu terjadi. Kemudian, sejurus melepaskan diri, anak anda mesti berlari sepantas mungkin ke tempat di mana terdapat ramai orang awam.

6. Ajarnya cara melepaskan diri dari kereta
Andai kata anak anda berjaya diculik dan dibawa masuk ke dalam kereta, ajar anak anda agar tidak panik dan cuba cari cara terbaik untuk melepaskan diri. Apabila penculik lalai, dia boleh membuka pintu kereta dan lompat keluar ketika kenderaan tidak bergerak terlalu laju. Jika dicampak ke dalam but kereta, cari satu panel yang mudah ditanggalkan dan tendang keluar lampu belakang kereta dari dalam. Pemandu kereta belakang pasti dapat melihat tangan atau kaki anak anda melambai-lambai dari dalam but.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia