Apa perasaan anda apabila menyandang status muflis pada usia yang masih terlalu muda? Baru-baru ini didedahkan di dada akhbar betapa kroniknya fenomena muflis di negara kita dan yang paling memeranjatkan ialah ia melibatkan golongan muda bawah 40 tahun. Tidak terkecuali pelajar dan artis juga menjadi mangsa!
Di mana silapnya dan bagaimana muflis ini boleh terjadi? Mungkin ada yang tertanya-tanya punca sehingga boleh menyebabkan seseorang itu disenaraikan hitamkan sebagai muflis. Diakui, keinginan dan desakan hidup untuk bergaya sehinggakan sanggup berhutang menjadi penyebab utama masyarakat tidak mampu untuk melangsaikan hutang. Tidak salah memenuhi keperluan asas, namun salah langkah dan tanpa perancangan kewangan yang teliti bahana menanti. Akhirnya, diri sendiri juga yang mendapat susah. Apa yang mengejutkan, laporan yang dikeluarkan baru-baru ini mengatakan hampir 45,000 individu yang berumur di bawah 35 tahun di negara ini diisytiharkan muflis sejak tiga tahun lalu. Statistik itu berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Dek kerana fenomena luar biasa itu juga, Dara.com cuba mencungkil apa yang menjadi punca dan penyebab kepada timbulnya isu ini. Oleh itu, untuk mendapatkan ulasan yang lebih lanjut, kita tanya pakar motivasi yang tidak asing iaitu Dr. Robiah Hamzah.
Kuasa Beli
“Pertama kali, ingin saya jelaskan di sini ‘muflis’ bermaksud apabila berlaku situasi ketidakupayaan membayar kembali hutang, liabiliti, entiti, aset atau apa jua kaedah dalam urusniaga mata wang kertas kepada pemberi hutang melebihi tempoh yang dibenarkan. Jadi apabila seseorang itu tidak dapat melangsaikan hutangnya mengikut tempoh yang ditetapkan, maka dia akan diisytiharkan muflis. Muflis boleh berlaku atas sebab hutang kad kredit, sewa beli kereta, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan, menjadi penjamin dan seumpamanya,” katanya. Menurut Dr. Robiah, mungkin apa yang berlaku hari ini tidak sama seperti 20 hingga 30 tahun dulu. Berbeza dengan dahulu, kuasa beli terlalu rendah berbanding dengan sekarang. Kini, apabila dengar ada jualan mega atau penghabisan stok, semuanya ingin tukar baru. Itu belum termasuk dengan promosi hebat yang bertambah-tambah galak terutamanya apabila majikan mengumumkan kenaikan gaji dan bonus. Serentak itu berpusu-pusulah juga bank dan membuat promosi menarik dengan janji-janji serba indah. “Jangan leka dengan harta kebendaan. Amalkan sikap berjimat dan elakkan dari terpengaruh dengan keseronokan untuk bergaya, kerana salah langkah buruk padahnya. Boleh buat tidur malam tidak lena, tekanan sini sana. Lebih memburukkan keadaan, dalam usia yang masih boleh dikategorikan muda anda sudah disenaraihitamkan oleh institusi perbankan atau lebih teruk bergelar muflis,” katanya.
Statistik Membimbangkan
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan, secara purata 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang ah long. Malah perkara tersebut diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj.Menurut beliau, kajian awal yang dilakukan oleh FOMCA terhadap 100 individu mendapati golongan tersebut menghabiskan 30 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak setiap bulan. Ditanya situasi ini kepada Dr. Rubiah, jelas beliau statistik yang dilaporkan itu sangat membimbangkan apatah lagi ia merujuk kepada golongan muda. Justeru katanya, bagi mereka yang baru bekerja, kira ke mana duit itu dibelanjakan. Jangan terlalu boros sehinggakan melebihi had keperluan yang ada. Sebaiknya gunakan duit atau berbelanja mengikut keperluan. Fikir risiko sebelum buat tindakan. “Jangan fikir hendak cantik semata-mata sehingga sanggup berhutang. Bak kata pepatah, ‘biar papa asal bergaya’. Jangan biarkan diri anda terjerumus dalam kancah hutang. Tidak perlu memakai pakaian berjenama atau memandu kereta mewah untuk bergaya. Pakaian atau kereta biasa juga boleh membuatkan anda tampil bergaya asalkan kena dengan caranya. Cukuplah sekadar bersederhana dan kalau ada rezeki lebih, naikkan elaun bulanan ibu bapa, itu lebih berkat,” jelasnya.
Rancang Kewangan
Dalam satu kenyataan akhbar oleh Penolong Setiausaha Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Ismail Aziz yang mana beliau berkata, perbelanjaan tidak berhemah dan di luar kemampuan menyebabkan golongan eksekutif muda lingkungan umur 25 hingga 35 tahun berisiko muflis. Disebabkan naluri ingin hidup bergaya, mereka menganggap ia sebagai lambang status dan akhirnya mudah terpengaruh dengan tawaran yang diberi. Malah ada yang sanggup berhutang dengan ceti haram atau along. Mengulas akan hal ini dari sudut pandangan Dr. Rubiah, beliau berpandangan, hakikatnya banyak perkara yang mengundang kepada isu muflis. Selain daripada kehendak nafsu atau naluri, persekitaran juga memainkan peranan. Apabila melihat orang terdekat atau jiran tetangga membeli kereta baru, terasa diri seakan tercabar dan ingin dapat lebih dari itu. “Pada saya, perancangan kewangan merupakan elemen penting dalam pengurusan wang dan golongan muda perlu mempunyai kemahiran tersebut. Tanya pada diri sendiri, dalam sebulan berapa kali kita berbelanja dan mengeluarkan duit? Berapa kali anda membeli barang keperluan? Adakah anda tahu berapa jumlah hutang anda? Dan yang penting, adakah anda tahu yang anda sudah berbelanja lebih daripada kemampuan? “Tanpa perancangan kewangan yang teratur dan bijak, pasti akan dibelenggu dengan masalah kesempitan duit. Oleh itu, rancanglah kewangan anda dengan berhemah kerana ia melibatkan masa depan. Kerana pada masa hadapan, segala kemungkinan boleh berlaku sama ada yang baik atau buruk, yang perlukan duit keluar atau masuk dan macammacam lagi,” ujarnya.
Cari Ilmu Kewangan
Hakikatnya, kebanyakan yang muflis tidak mengetahui ilmu kewangan, justeru digalakkan mereka menghadiri kelas, seminar atau bengkel kewangan serta bahan bacaan berkaitan kewangan. Selain itu, boleh juga dapatkan khidmat perancang kewangan yang bertauliah untuk membantu anda merancang kewangan dengan bijak. Antara ilmu asas yang perlu ada pada diri anda ialah mengenai aliran wang tunai dan perbelanjaan. Seperti juga kesihatan diri, aliran tunai akan menentukan tahap kesihatan kewangan anda. Jika anda mempunyai aliran tunai negatif, maka kuranglah kebolehupayaan anda untuk berbelanja.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...