Wednesday, April 2, 2014

HILANG SEMANGAT KERJA ROSAKKAN KERJAYA


 

Tiada orang lain boleh menjaga semangat kerja, selain diri sendiri. Oleh itu, anda harus berjuang menjaganya supaya tidak patah semangat. Akan tetapi, anda harus mencari penyebab semangat kerja atau motivasi anda merudum. Setelah mengenali faktor tersebut maka hindarinya atau elak dari terjadi. Berikut mungkin faktor yang boleh menghancurkan semangat juang anda :-

1. Hidup dan kerja tanpa tujuan
Ramai yang mengeluh tidak bermotivasi melakukan sesuatu. Perasaan ini timbul kerana mereka tidak memiliki tujuan hidup jelas yang akan menaikkan semangat mereka. Tanpa tujuan hidup yang jelas, hidup kita hambar, mudah patah semangat dan mudah kalah dalam menghadapi pelbagai soalan.
Cara mengatasi : Fikirkan matlamat, tuliskan di atas kertas dan tampal di ruang peribadi anda. Lembaran ini akan menjadi pemnadu langkah-langkah anda.

2. Terpengaruh dengan kata-kata orang
Sebagai contoh, ketika mahu membangun komunikasi yang baik dengan atasan, lalu orang lain berkata, “Kamu ini membodek ya.” Apa respon anda? Adakah anda akan berhenti membuat hubungan baik dengan atasan, dan mendengar komentar orang sekitar, atau sebaliknya? Apabila kita sering mendengar komen negatif dari orang lain ini, ia akan membunuh semangat hidup anda. Semakin kita merenungkan kata-kata negatif dari orang lain, semakin kita tidak punya daya juang apabila berhadapan dengan kesulitan.
Cara mengatasi : Ganti prinsip hidup, “Apa kata orang lain tentang saya”, dengan prinsip hidup anda “Apa kata Allah SWT tentang saya.”

3. Pedulikan hal-hal negatif di pejabat
Sudah menjadi sifat insan yang suka mencari kelemahan orang lain. Kebiasaan juga kita akan mendengar orang yang berbicara tentang keburukan majikan, kebajikan syarikat yang tidak disukai dan sebagainya. Jika anda terlalu fokus pada hal-hal buruk yang terjadi di tempat kerja, maka anda akan mudah sekali patah semangat. Anda tidak nampak kebaikan dan pelbagai peluang yang muncul. Anda harus ingat ketika anda memberi fokus pada aspek negatif, semangat juang ini akan hilang. Sebaliknya, bila anda fokus pada hal-hal positif sahaja, maka motivasi kerja akan bangkit.
Cara mengatasi : Latih diri melihat orang lain dan pelbagai situasi dari sisi positif. Selalu mengucap syukur mengenai apa saja yang dimiliki dan boleh dibuat. Jangan terjebak fokus pada kekurangan diri sendiri.

4. Tidak berani capai apa yang diingini
Bila anda hanya bermimpi atau merancang saja, tanpa tindakan konkrit, anda hanya akan berada di tempat yang sama. Membosankan. Tidak ada perkara baru dibuat. Tidak terjadi perubahan apa-apa. Akhirnya semangat hidup akan padam. Jadi, apabila anda sudah memiliki perancangan dan tujuan yang jelas, mulakanlah dengan langkah pertama iaitu bertindak.
Cara mengatasi : Dapatkan bantuan orang lain atau mentor. Minta mentor anda memberikan semangat untuk bertindak. Mentor anda akan berfungsi sebagai pengingat sekali gus menjadi pendorong.

5. Takut pertaruhkan hasil kerja
Perasaan takut menunjukkan hasil kerja kepada umum tidak membawa anda ke mana-mana. Anda bimbang apa yang dihasilkan tidak diterima atau gagal sedangkan anda belum mencuba.
Cara mengatasi : Jangan terlampau memikirkan perkara negatif sebelum anda mencuba terlebih dahulu. Mana tahu apa yang anda hasilkan adalah sesuatu yang bernilai dan dinanti-nantikan oleh syarikat selama ini.


APAKAH ANDA SERING FOKUS HAL-HAL DI BAWAH INI?

  • Sering memikirkan kelemahan dan kejelikan pihak atasan.
  • Sentiasa fikir pekerjaan anda tidak pernah tamat dan sering menyusahkan.
  • Rakan kerja sukar memberi kerjasama dan ego.
  • Kakitangan bawahan perilakunya menyebalkan dan sering membuatkan anda naik darah.
  • Pihak atasan tidak memberikan semangat ketika anda berhadapan dengan kesukaran.
  • Anda merasa gaji yang diterima tidak sesuai dengan keinginan atau kerja yang dibuat.
  • Anda merasa tidak dihargai dan dipandang rendah oleh majikan.
  • Anda fikir pihak atasan sering tidak adil terhadap anda.

Jika majoritinya adalah YA, bererti anda senang patah semangat, tidak bermotivasi, cepat putus asa dan tidak semangat ketika membuat kerja. Jalan keluarnya, ubah sudut pandang anda secara positif, dan sentiasa mengucap syukur dengan apa pun yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...