Monday, April 28, 2014

SERUMAH TAPI TAK SEKEPALA


Melanjutkan pengajian sebaik tamat alam persekolahan mungkin memerlukan remaja meninggalkan keluarga. Baik tinggal di kolej mahupun rumah sewa suasananya pasti tidak sama dengan tinggal di rumah sendiri. Masalah biasa yang dihadapi ketika ini adalah berhadapan dengan 'housemate' atau rakan serumah atau sebilik yang tidak sebulu dengan anda. Ada saja perkara yang dilakukan menjengkelkan anda. Bukan sahaja soal kebersihan malah kerajinan membantu di dapur juga sering anda persoalkan. Semua itu disebabkan sikapnya yang degil dan pemalas sepanjang tinggal bersama di rumah sewa. Anda berhadapan teman serumah begini, pasti anda tidak tahan. Justeru, apakah saranan terbaik yang boleh anda praktik untuk menanganinya? Ikuti panduan ini.

Komunikasi
Masalah pertelingkahan mahupun permusuhan dalam diam yang dialami rata-ratanya disebabkan masalah komunikasi. Kegagalan berkomunikasi dengan baik membuatkan anda tidak dapat meluahkan apa yang dirasai dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, anda perlu belajar untuk berkomunikasi dengan baik.

Teman anda barangkali tidak sedar bahawa dirinya diperhatikan dan menjadi musuh anda dalam diam. Baginya, apa yang dilakukan itu adalah yang terbaik dan betul untuk dirinya tanpa mengetahui bahawa perkara itu mengundang kebencian di hati anda. Justeru, berkomunikasilah dengan tepat, tegur dirinya dengan penuh hati-hati agar dia tidak merajuk dan menjauhi anda. Anda berdua adalah rakan serumah andai berlaku pertelingkahan pasti keharmonian tidak lagi wujud.

Teguran berhemah
Bukan semua orang mempunyai kebolehan untuk menegur secara berhemah. Paling penting, lapangkan dada dan banyakkan bersabar serta berfikirlah secara terbuka. Setiap orang mempunyai kelemahan dan kelebihan. Pastikan juga anda mengetahui apakah kelebihan teman serumah anda. Dahulukan ucapan teguran itu dengan memujinya terlebih dahulu. Kemudian barulah anda menegur bentuk kesilapan yang telah dilakukan sepanjang dia menjadi teman serumah anda.

Jangan pula anda senaraikan kesalahannya sekali gus. Tetapi terangkan satu persatu tanpa disedarinya. Misalnya semasa anda dan dia berada di dapur atau menonton televisyen. Sampaikanlah teguran itu dalam bentuk gurauan. Semoga teman anda memahami gurauan yang membawa maksud teguran itu.

Belajar menerima kekurangan teman
Bukan sahaja teman serumah, ada ketikanya anda juga ada kekurangan di pandangan mata teman. Sebaik-baiknya anda saling bertukar pandangan dan emosi mengenai apa yang anda dan teman anda lalui. Cara itu, hubungan menjadi lebih akrab. Anda belajar dan memahami kesukaran yang dihadapi dan pastinya teman anda juga akan berusaha untuk memahami anda.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...