Wednesday, April 30, 2014

CEGAH ALAHAN KETIKA DI RUMAH

 
Rumah adalah tempat yang paling selesa untuk beristirehat, apatah lagi setelah penat bekerja di pejabat. Sungguhpun begitu, ia bukanlah lokasi yang paling selamat sama ada dari segi kesihatan mahupun keselamatan.

Banyak penyakit boleh singgah ke tubuh ketika berada di rumah sekiranya faktor kebersihan diabaikan. Sebagai contoh, habuk yang menyebabkan anda bersin, gigitan nyamuk, alahan daripada binatang peliharaan dan pelbagai lagi. Bagi menghindari masalah tersebut, ikuti beberapa tip ini.

Proses detoksifikasi rumah
Sebenarnya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlaku alahan di dalam rumah. Masalah batuk, selesema dan sebagainya silih berganti setiap bulan walaupun telah dipastikan kawasan persekitaran bersih dan selamat. Setelah diteliti rupa-rupanya ada yang terlepas pandang pada si perokok. Asap rokok yang dihembus keluar mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya sekaligus memburukkan penyakit alahan. Oleh itu, sekiranya ada ahli keluarga anda yang merokok sebaiknya sediakan ruangan khas di luar rumah buat mereka agar keadaan di dalam rumah bersih dan terpelihara.

Bersihkan rumah secara rutin
Adakah anda tahu, bahawa habuk adalah penyumbang utama kepada alahan. Akibat habuk juga kita mudah berhadapan masalah kesihatan seperti pernafasan. Bagi menghilangkannya, lakukan kerja-kerja pembersihan debu secara rutin. Beri lebih perhatian kepada bantal, selimut dan permaidani kerana inilah kawasan tumpuan habuk.

Pasang perangkap
Nyamuk, lalat dan beberapa jenis serangga lain mampu mencetuskan alahan kepada penghuninya. Bagi mengelakkan hal ini dari terus 'menguasai' maka segeralah pasang perangkap sama ada dengan menggunakan ubat nyamuk atau apa sahaja alat yang mampu menghalangnya daripada masuk ke dalam rumah.

Pastikan aliran udara lancar
Terdapat kajian menunjukkan bahawa ada individu yang bermasalah apabila terhidu bau-bau yang kuat seperti tempoyak, petai, pewangi dan lain-lain lagi. Bagi mengelakkan masalah seumpama ini maka sentiasalah menjaga pengaliran udara di dalam kediaman. Setiap pagi, buka tingkap rumah agar udara dari luar bebas masuk ke segenap ruang di rumah.

Jaga kebersihan binatang peliharaan
Haiwan peliharaan juga boleh menyumbang terjadinya masalah alahan. Seperti kucing, arnab dan burung, bulu-bulu yang gugur menyebabkan anda mudah bersin sekali gus membuatkan penyakit mudah merebak. Salah satu cara yang dicadangkan adalah dengan cara memastikan binatang tersebut bersih. Mungkin dengan memandikan atau memeliharanya dari terkena penyakit kulit, kutu dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...