Monday, April 7, 2014

BISA RACUN SEMUT KAYAP

Di kalangan masyarakat tempatan ia dikenali sebagai semut kayap atau semut semai. Hakikatnya, haiwan kecil ini bukanlah sejenis semut sebaliknya kumbang atau Paederus littoralis. Secara morfologi, serangga ini mempunyai badan yang sempit dengan kepala hitam dan sekurang-kurangnya dua segmen abdomen iaitu protaks dan lima segmen abdomen yang berwarna kemerah-merahan. Bersaiz dari 10 hingga 15 mm panjang, kumbang ini boleh terbang, tetapi lazimnya ia berjalan.

Hasil penelitian dan kajian yang dijalankan menunjukkan, kumbang ini amat tertarik kepada sumber cahaya buatan seperti lampu neon. Aktiviti maksimum kumbang ini adalah di antara bulan Mei dan September. Ia menggemari kawasan lembap dengan iklim panas tropika dan banyak terdapat di kawasan sawah padi dan berhampiran ladang kelapa sawit. Semut kayap atau semut semai tidak menggigit atau menyengat, tetapi apabila dihancurkan dan terkena kulit atau mata, cecair hemolimfa di dalam badannya yang mengandungi pederin boleh mengakibatkan kerengsaan dan kesan lepuh yang teruk pada kulit. Dalam tempoh 24 jam sahaja, pederin boleh menyebabkan kerengsaan dermatitis akut, dicirikan oleh rasa terbakar, yang boleh dikaitkan dengan kehadiran vesikel, bula atau pustul pada kawasan yang terkena dengannya.

Luka ini biasanya sangat gatal dan menyakitkan dengan pembentukan kuping mati yang akan tanggal dalam tempoh sepuluh hingga dua belas hari selepas terkena pederin. Kawasan kulit tersebut akan menjadi gelap, berpigmen yang mungkin berterusan untuk beberapa minggu atau bulan

Tiada rawatan khusus

Tiada rawatan khusus boleh diberikan kepada pesakit yang terkena pederin daripada kumbang ini. Rawatan adalah berdasarkan gejala dan bersifat sokongan sahaja. Penggunaan ubat tahan sakit dan krim antihistamin dan steroid didapati tidak begitu berguna dalam merawatnya. Walau bagaimanapun, luka-luka yang disebabkan oleh cecair ini perlu dilindungi untuk mengelakkan luka tersebut terkena jangkitan kuman yang boleh menyebabkan kompilasi lain.

Kesan pederin hanyalah pada kawasan yang bersentuhan dengannya sahaja dan sehingga ke hari ini, TIADA sebarang kesan sistemik telah dilaporkan. Namun demikian, pernah dilaporkan pederin boleh menyebabkan kebutaan setelah digosok pada mata. Oleh itu, jika cecair ini terkena mata atau mana-mana bahagian badan, mangsa hendaklah segera membilasnya dengan air yang banyak dan jangan sesekali menggosoknya pada bahagian badan yang lain.

Bagi mengurangkan kontak dengan serangga ini, jejaring kalis serangga boleh diletakkan di bahagian tingkap dan pintu rumah. Penggunaan racun serangga seperti 2-isopropoxyphenyl N-methylcarbamate, malation dan d-tetramethrin boleh disembur di sekitar sawah padi untuk mengurangkan populasinya.

*Nota : Pederin adalah sejenis alkaloid dengan ketoksidan yang lebih tinggi daripada venom Latrodectus (labah-labah) dan / atau parathion (pestisid paling toksik yang didaftarkan di bawah Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA)(Pavan, 1959)

Sumber : Sazaroni Md Rashid, Pegawai Farmasi, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...