Tuesday, April 15, 2014

ADAB SEBAGAI TETAMU ELAK 7 PERKARA INI!

Abaikan tuan rumah dan tetamu lain
Bergaul dan berbual mesralah dengan tuan rumah serta tetamu lain. Jangan membawa diri kerana ia mencerminkan sikap negatif.

Berbisik dengan tetamu lain
Ini adalah satu tingkah laku kurang sopan kerana tidak hormati perbualan di antara tuan rumah atau tetamu-tetamu lain yang hadir. Pada tanggapan tetamu lain yang hadir, anda sedang bergosip walaupun sebenarnya anda menyampaikan sesuatu yang baik.

Menkritik atau memburukkan anak-anak tuan rumah
Sebagai seorang ibu atau bapa, anda pastinya akan berasa kecewa dan marah apabila anak-anak anda dikritik tentang perangai atau perilaku oleh tetamu yang hadir di rumah anda. Sebaliknya apabila anda sebagai seorang tetamu yang hadir di rumah seseorang, anda perlulah menjaga sensitiviti dengan tidak menyentuh soal yang berkaitan dengan hal-hal yang sememangnya negatif dari pandangan mata kasar anda terhadap anak-anak tuan rumah.

Menkritik masakan
Walaupun juadah yang dihidangkan oleh tuan rumah kepada anda kurang enak untuk dinikmati, jangan sekali-kali menkritik masakan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Perbuatan ini memang menyakitkan hati tuan rumah.

Tergesa-gesa meninggalkan rumah
Setelah selesai menjamah juadah yang telah disediakan oleh tuan rumah kepada anda, ambil masa untuk berbual dengan tuan rumah berkenaan beberapa topik. Sebaiknya berikan sedikit pujian tentang masakan yang telah dinikmati tersebut. Sikap tergesa-gesa untuk pulang ini menggambarkan anda hanya datang untuk makan.

Bertanya soalan sensitif
Anda haruslah sentiasa mengetahui tentang perkara-perkara yang tidak perlu untuk anda bertanyakan kepada tuan rumah. Hormatilah sensitiviti tuan rumah anda dengan tidak bertanyakan soalan di luar jangkaan atau tidak rasional untuk dijawab.

Tidak mengucapkan terima kasih
Terima kasih boleh dinyatakan dalam pelbagai bentuk iaitu lisan, bertulis, atau beberapa hadiah kecil semasa ketibaan di rumah seseorang. Menyatakan terima kasih adalah penting bagi memaparkan penghargaan kerana anda telah dilayan dengan baik oleh tuan rumah. Setiap jemputan untuk menghadirkan diri ke rumah atau setelah selesai menjamah juadah yang telah disediakan perlulah diselitkan dengan ucapan terima kasih. Tidak ketinggalan juga apabila meninggalkan rumah seseorang. Ini menunjukkan anda berasa gembira dan sangat berterima kasih dengan layanan yang telah diberikan kepada anda.
Semestinya juga perkara di atas boleh diadaptasikan di dalam persekitaran pekerjaan. Contohnya apabila anda datang ke premis seseorang anda juga perlu menjaga adab dan tutur kata. Selain itu, adab ini juga perlu diterapkan kepada anak-anak, rakan-rakan serta ahli keluarga anda.

*SUMBER : PAKAR WENDY LEE, PRESIDEN MABIC (MALAYSIAN ASSOC. OF BRAND & IMAGE

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...