Friday, April 11, 2014

TIP ELAK KAKI BERBAU

 


Kaki berbau antara masalah yang sering membelenggu bukan sahaja wanita malah lelaki. Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia menyebabkan rasa kurang senang kepada orang di sekeliling. Lebih memburukkan keadaan, kaki berbau juga antara penyebab seseorang dipinggirkan. Apa tidaknya, ia memberi persepsi negatif kepada orang yang berada di sekitar. Golongan yang berdepan masalah ini sering dilabel sebagai pengotor dan dijauhi kerana dianggap jijik serta boleh mendatangkan penyakit.

Akibatnya individu yang mengalami masalah tersebut menjadi seorang yang pasif, rendah diri, rimas dan dihukum dengan rasa malu. Malah aktiviti seharian mereka juga terjejas dan ia mempengaruhi kerjaya seseorang. Jika bau boleh dihidu dan menyebabkan orang berasa loya, bagaimana individu ini mahu bergaul dan meningkatkan prestasi kerjayanya? Biasanya golongan yang berdepan masalah bau kaki tidak serius mencari penyelesaian. Mereka lebih cenderung menggunakan produk seperti bedak khas atau pencuci. Hakikatnya bukan itu penyelesaian jangka panjang, ia berkait rapat dengan displin menjaga kebersihan diri dan mengamalkan gaya hidup serta pemakanan seimbang. Usah malu bertemu dengan doktor, lebih baik anda mendapatkan nasihat daripada tenaga pakar bukannya jurujual yang hanya mahu melariskan produk. Selain itu, terdapat tips asas penjagaan diri yang dapat membantu mengatasi masalah ini. Anda mesti displin dan bersikap terbuka untuk menerima serta mempraktikkan tip ini. Semoga panduan tersebut mengubah hidup anda!

Jaga kebersihan kaki
Ketika mandi, bersihkan kaki dengan sempurna. Gosok kaki agar sel kulit mati dapat ditanggalkan. Paling penting, gunakan sabun anti bakteria untuk menghilangkan kotoran di bahagian ini. Selesai mandi, lap kaki sehingga kering.

Potong kuku
Potong kuku secara tetap agar kebersihan terjaga. Ia juga dapat mengelakkan kuman berkumpul di bahagian kaki. Kuman tersebut antara faktor yang menyebabkan kaki berbau.

Elakkan guna losen
Jangan sesekali menyapu pelembap pada kaki sebelum memakai kasut. Kaki yang lembap adalah punca bakteria membiak. Gunakan bedak antiseptik untuk membuatkan bahagian kaki kering dan selesa.

Gunakan sandal ketika berjalan di luar rumah
Walaupun hanya berjalan di garaj kereta, pastikan anda memakai sandal atau selipar. Jangan berkaki ayam kerana ia menyebabkan kuman membiak dan menyebabkan bau yang busuk.

Kerap tukar stoking
Tukar stoking setiap hari agar kaki berada dalam keadaan bersih. Stoking yang digunakan kembali berbau peluh dan menyebabkan kaki berbau busuk. Gunakan stoking diperbuat daripada material berkualiti yang dapat menyerap peluh dengan baik.

Rehatkan kaki
Jika pekerjaan memerlukan anda memakai kasut bertutup dalam jangka masa yang lama, ketika waktu rehat 'bebaskan' kaki anda dengan memakai sandal. Ia memberi ruang kepada kaki untuk mendapat udara dan berehat. Cara ini juga dapat mengelakkan kaki berbau. 
 
Tukar kasut
Usah gunakan kasut yang sama setiap hari. Gantikan dengan kasut lain agar kasut yang dipakai sebelum ini dapat 'direhatkan'. Ia cara mudah untuk mengelakkan kasut menjadi busuk. Selain itu, pilih kasut mengikut kesesuaian aktiviti.

Mencuci kasut
Usah malas menjaga kebersihan kasut. Bersihkan kasut secara tetap dan basuh bahagian dalam untuk memastikan bakteria dan menghilangkan bau busuk.

Pilih kasut yang berkualiti
Kasut yang dibuat daripada plastik akan membuatkan kaki menjadi cepat panas dan berpeluh. Elakkan membeli kasut jenis ini sebaliknya pilihlah kasut yang mempunyai bahagian dalaman berasas kain. Ia dapat menyerap peluh dan membuatkan kaki anda selesa. Semasa membeli, pastikan saiz kasut sesuai. Jangan terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit sukar bernafas dan kuman mudah membiak.

Gunakan pelapik
Bagi yang kuat berpeluh, anda boleh membeli pelapik bahagian dalaman kasut. Ia bukan sahaja dapat melindungi kaki dan mengelakkan bau malah pelapik kasut mudah dicuci dan cepat kering.

Penyimpanan yang bijak
Koleksi kasut anda mesti disimpan di tempat yang redup dan udaranya lancar. Letakkan gel silica di dalam kasut, ia dapat mengelakkan bau busuk kerana gel ini menyerap peluh dan kelembapan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...