07/10/2012 |
“DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA”
Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang
bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan
Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi
memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi
kali kedua.
MUQADDIMAH
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.
Tuan Yang di-Pertua,
Seperti berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci
bahawa Allah SWT menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan
dalam suasana ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan
sebagai orang-orang budiman dan berbakti.
Seperti firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4:
“Maka
hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah, yang
telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan
mengamankan mereka dari ketakutan.”
1. Alhamdulillah, dipanjatkan
sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang
dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai warganegara yang
menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai sebab yang bukan sedikit
untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa.
2.
Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang
singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian
berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan
sederhana tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan
tidak terhidang di atas dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan
rakyat yang telah bersama memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan
dogma dengan bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan
berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada negara yang mempunyai kerajaan
bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang bukan menjanjikan
bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini adalah
sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan
melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan
kesejahteraan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Kisah
kejayaan seumpama ini, bukan satu kelaziman, ia sebenarnya satu
keluarbiasaan. Jika diimbau, terdapat banyak negara di dunia yang
mempunyai lebih banyak potensi untuk berjaya daripada Malaysia di awal
merdeka, namun, mereka telah rebah tersungkur di tengah jalan walaupun
mengendong sarat hasil bumi, malah, tidak terbeban pula oleh faktor
garis rekahan yang berpotensi memusnah, seperti, kemajmukan kompleks,
perbezaan sosioekonomi yang terikat dengan faktor etnik sekalipun
pemisahan fizikal wilayah negara.
4. Jelas termaktub dalam sisir
masa, cerita kejayaan pembangunan Malaysia bukan semata-mata kisah yang
dilakar di bilik-bilik Lembaga Pengarah bangunan-bangunan pencakar
langit. Ia adalah citra yang dinukil pak tani di sawah, nelayan di laut,
peneroka di ladang, penoreh getah di estet, penanam sayur di pinggir
bandar, pekerja industri di kilang-kilang, usahawan-usahawan bertatih di
juang niaga, barisan penjawat awam, guru dan pendidik di bilik-bilik
darjah, para pensyarah di kuliah, anggota keselamatan di medan-medan,
para profesional, budayawan, seniman, pendek kata seluruh rakyat
Malaysia tanpa mengira kaum, kepercayaan, gender mahupun status ekonomi.
5.
Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka
Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara
1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991
sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga
2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara
maju berpendapatan tinggi.
6. Seperti mana semua mengetahui, saya
telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah pemandu
1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah
disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7
NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru
Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik
yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan
Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi
yang berfungsi. Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan
segala-galanya, Kerajaan akan memetakan lagi beberapa program
transformasi sektoral. Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini
akan berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula
berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020.
Tuan Yang di-Pertua,
7.
Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan
trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang 6 kali
ganda kepada 29 bilion ringgit pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan
yang tertinggi di Asia. Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75
peratus kepada 21.2 bilion ringgit dalam tempoh 6 bulan pertama 2011
berbanding 12.1 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2010. Pada
tahun 2012, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh 15.9 peratus
disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan
domestik.
8. Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan
perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah
14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian
antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat 414.5 bilion
ringgit pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import
tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per
kapita dianggarkan meningkat kepada 28,725 ringgit pada tahun 2011
berbanding 26,175 ringgit pada tahun 2010.
9. Berikutan
pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana,
tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak,
pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat
4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik
yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh
kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih
rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar
berkembang 5 hingga 5.5 peratus.
10. Bagi tahun 2012 pula,
prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung Kewangan
Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4
peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan
kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan
inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah
serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan global ini
sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.
11.
Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi merancakkan
aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta
penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9
peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung
asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah
Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10). Penggunaan swasta di unjur
meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan
prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut penawaran, sektor
perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala sektor pembinaan
meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun
2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2012
Tuan Yang di-Pertua,
12.
Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi
melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan
program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan
kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion
ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion
ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
13. Di bawah peruntukan
mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 30.5 bilion ringgit
disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 96.5 bilion ringgit
diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1
bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion
ringgit untuk perbelanjaan lain.
14. Bagi peruntukan pembangunan
pula, 29.8 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung
keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan
luar bandar. Sejumlah 13.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor
sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan
serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit
diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit
bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
15.
Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya
dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit,
berbanding 183.4 bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil kira
anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun
2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK,
berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
16. Dalam menangani
persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan
bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan
ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas
dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah
terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan
projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan
rakyat. Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan
dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaiktaraf
hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf infrastruktur asas luar
bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan
nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun
2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah 6
bilion ringgit akan dilaksanakan.
FOKUS BAJET 2012
Tuan Yang di-Pertua,
17.
Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan
“DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA
NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN
18.
Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada
ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di
bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus
kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi
subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi
perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan
pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian;
perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan;
serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak
pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
19.
Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua
bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4 bilion
ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion ringgit
lagi bagi tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek
pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
negara. Serentak itu, untuk mempastikan setiap sen yang dibelanjakan
membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus diamalkan
bagi projek baru bernilai 50 juta ringgit ke atas.
20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
• Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru;
•
Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya
Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan
Lebuhraya Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan
• Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
21.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan peruntukan
sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara perkongsian
awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point bagi membantu
sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada
negara. Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk kegunaan projek
berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit untuk projek melibatkan
usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan memperuntukkan 2.5
bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300 juta ringgit akan
digunakan oleh usahawan Bumiputera.
22. Bagi tahun 2012, Kerajaan
akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk merancakkan pembangunan di
lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah,
pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar
Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek
agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri
berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek
bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
23.
Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran
modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan
perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia
dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan
membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau
ini. Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai
destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan
mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun;
Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan
Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.
Tuan Yang di-Pertua,
24.
Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk
membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan
menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama:
Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun
dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan
perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.
25.
Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak
sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan
berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam
menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara.
Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua
digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.
26. Pasaran sukuk
Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar di dunia mewakili
dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita juga menjadi
perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif. Pada tahun
ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di dunia
bernilai dua bilion dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5 kali
ganda. Hakikat ini menjadi bukti meningkatnya keyakinan pelabur terhadap
ekonomi negara dan penerimaan dunia terhadap produk kewangan Islam
terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi terus menggalakkan penerbitan
sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan cukai diberi bagi
tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala mulai
tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan ke atas
penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi selama
tiga tahun sehingga taksiran 2014.
27. Di sudut lain, Exchange
Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk kewangan inovatif.
Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008 telah
membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan
beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi
keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur
meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan
lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian
Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh Syariah berjumlah 200 juta
ringgit. Dana ini akan memberi pinjaman secara pemadanan dengan jumlah
maksimum 20 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
28.
InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures
Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan
dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global.
Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip
perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap
Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus
dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan
FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima “durian runtuh”
yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian
dilakukan.
Tuan Yang di-Pertua,
29. Menyedari pula
keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi menarik pelaburan
tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai konsesi 10
peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan pelabur
individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember 2011. Bagi
terus menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan mencadangkan
galakan cukai dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1 Januari 2012
hingga 31 Disember 2016.
30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan
Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56
peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah
eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada
pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah
berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam
terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan
menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.
31.
Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya
disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar
kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak
bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup.
Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang
kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation
Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah
dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk
membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME
Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
32. Kerajaan juga
bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10 juta
ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan
dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat
beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan
disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME
Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian
mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana
alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.
33. Menyentuh
perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan
dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong
pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi
francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai.
Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang
untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah
mengembangkan sayapnya ke luar negara.
34. Dalam usaha memajukan
teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan negara,
pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang
francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta
elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.
35.
Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik
seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion ringgit.
Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi
menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula. Pelan Induk
Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan
peruntukan pembangunan 420 juta ringgit. Antara inisiatif yang akan
diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan
pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan
serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.
36.
Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih banyak
kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi. Bagi
menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding dengan
hotel terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang melabur
dalam hotel baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung Malaysia
diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan
sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus bagi
tempoh lima tahun. Galakan cukai yang serupa telah diberi kepada
pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Kerajaan akan
memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council bagi membangun dan
mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan di rantau
ini.
37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT),
kadar tetap RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu
berkesan untuk membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang
mana jika tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah.
Situasi ini dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan
golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Bagi
menangani masalah ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula.
Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun,
kadar RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh
pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar
lima peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula,
RPGT tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak
menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal
aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
38.
Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke
tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah
menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan
perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada
produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan
oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa,
institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak
prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai
tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan
telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta
ringgit seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan
pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar
bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi
Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak
Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea
baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat
terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta
1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang
paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan
oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;
Keempat:
Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi
di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima:
Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan
daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan
permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian
Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi
Inovasi Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam
bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan
kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National
Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga
tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan
Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan
sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti
usahawan.
39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan
produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan
Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit
pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di
mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan
pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai
tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar
keuntungan.
40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka
bentuk yang meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada
peningkatan fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta
memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga
memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti,
kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan
teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan
mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf
Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama
lima tahun.
Tuan Yang di-Pertua,
41. Ilmu pengetahuan
adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi
mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju
berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan
sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat,
berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif. Sektor
pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi
Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion
ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada
Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah
Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
42. Sebagai
tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui Tabung
Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi
keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah,
penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah
Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit
Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan
100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Tuan Yang di-Pertua,
43.
Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar
sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan
akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi
sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran
kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah
Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi
persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita
diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah
dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma.
Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150
juta ringgit.
44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting
dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa
hadapan yang cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah swasta
yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang
ditetapkan diberi galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai
pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100
peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun;
Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan
Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.
Kerajaan
berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah
swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah
para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.
45.
Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah
sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan
sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat
dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah
tersebut. Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada
sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan
cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat
yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai
bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang
singkat.
46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk
berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Untuk ini, Kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:
Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship;
Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan
Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
47.
Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program
transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar
bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang
pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali
berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah
seperti berikut:
Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar
Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi
pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian;
perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan
kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes
Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di
Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat
lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;
Kedua:
Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional
seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan
kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan disediakan
oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di
samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi
pengecualian duti setem; dan
Ketiga: Melaksanakan Program
Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek
Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman
kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak 110 juta
ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru
getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan
140 juta ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.
48.
Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar
bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan
disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit
bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk
membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada
1.76 juta penduduk luar bandar. Di samping itu, 2.1 bilion ringgit
disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu
rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan elektrik luar bandar
kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak.
49.
Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur
Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf
infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan
memperuntukkan sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan terus
usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini
akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar
dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
Tuan Yang di-Pertua,
50.
Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada
masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke
pedalaman Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah
segera, Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah
tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk
rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan
ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk. Bagi tahun 2012,
program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri Sabah dengan peruntukan
50 juta ringgit.
51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem
bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat
beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini
telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air
yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di Pahang, Kedah,
Kelantan dan Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 400 juta
ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara
berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.
52.
Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang belum
mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan, Kerajaan
bersetuju menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah baik
kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip
utama sedia ada. Kerajaan juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa Bekalan
Air mengenakan tarif domestik kepada perumahan pekerja estet berbanding
dengan tarif industri yang dikenakan sekarang. Kementerian Sumber
Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau
pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.
Tuan Yang di-Pertua,
53.
Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk
luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di
seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga
tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di
peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi
simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan
Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit bagi membiayai pembangunan
sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
54. Selain itu,
saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah
perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang
lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan 150
juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam
di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas
mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah
empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan
ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012.
55. Dalam pada itu,
seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada mana-mana
pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham
dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke
semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda
penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli
di seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi
tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 90 juta ringgit untuk
penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air
terawat serta program penjanaan pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat
bersimpati dengan bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai
Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan
penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini
memperuntukkan 20 juta ringgit bagi pemindahan penduduk ke kawasan
perumahan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM
56.
Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam
atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM.
Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan
Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik,
responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan
prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta
pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan
penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai
elemen-elemen berikut:
Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau
exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang
memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;
Kedua: Menambah baik
struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan
mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat
kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum
bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika
di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah
6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau
akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan
siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji
maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia
akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;
Ketiga: Pada
perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan
kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu
lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun
untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut
time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred
48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32,
jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun,
namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja.
Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini
bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah
time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan
Keempat:
Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012,
Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga
320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang
menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7
hingga 13 peratus.
57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban
kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600
ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan
peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan
melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun
tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan
gaji.
58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam
teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang
secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita
turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana
negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran
berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih
kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal
sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan,
sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos
gratuiti dan pembayaran pencen.
59. Ternyata, penjawat awam yang
berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan
berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, Kerajaan
bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun
kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi
muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang
pekerjaan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
60. Kerajaan sentiasa
berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan
menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah
satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan
kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan
diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.
61.
Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian
kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih
tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama
IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi
peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak,
termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita
akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin
melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini
kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun
pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para
guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik
dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
62. Salah satu
daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti
dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor
Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan
keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu,
sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat
untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar
cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan
operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan
sistem ICT agensi pengutip hasil.
63. Kerajaan juga tentunya
menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak
dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan
Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu
golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran
khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off.
Tuan Yang di-Pertua,
64.
Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September
baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik
negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru
bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan
individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open society’.
Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan
ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu
integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi
merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan
latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan
terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan
canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan.
Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun
2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan
dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan
ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
65. Rakyat Malaysia turut
insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya
percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera
Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai
kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa
memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi
perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam
menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat
menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif di kalangan
anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit di
bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan
kuarters tentera di seluruh negara.
66. Terdapat seramai 175 ribu
anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang
daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka
menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara
hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan menyediakan
program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi
menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam
sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan
insentif ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan.
67.
Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang.
Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat,
telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas
anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga
keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota
Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary
Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout
dan Jungle Scout.
68. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan
yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati
tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah
pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya,
keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah
ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat
Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi
sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas
anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir
62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu
meringankan kos sara hidup.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT
69.
Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang
terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan
mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek,
sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan
seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah
berikut:
Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011
hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan
makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan
memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian
berpengetahuan dan terlatih;
Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion
ringgit pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama
adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan
Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan
projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga: Memperluaskan skop
pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi.
Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat
dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan; dan
Keempat:
Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk
makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil
keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai
4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar.
Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan.
Tuan Yang di-Pertua,
70.
Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara
berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar
terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada
sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah
merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan
Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara
berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini,
apabila:
Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan,
harga asal 2 ringgit 40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen.
Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;
Kedua:
Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat hanya
bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus
dari harga sebenar;
Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak,
harga asal 4 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen.
Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen atau 47 peratus dari harga
sebenar; dan
Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga
asal 1 ringgit 90 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi
Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.
Kesimpulannya,
keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja 2.3 bilion
ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya
atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin
bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?
Tuan yang di-Pertua,
71.
Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada
bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum
dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini
meliputi:
Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2
ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan
berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi
setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat hanya bayar 1
ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari
harga sebenar; dan
Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas
memasak, harga asal 48 ringgit 2 sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60
sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari
harga sebenar.
72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan
pemberian subsidi bil elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah
yang telah dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan
peruntukan 150 juta ringgit dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat
manfaat.
Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini
berjumlah 33.2 bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat
Didahulukan.
Tuan Yang di-Pertua,
73. Bagi tahun 2012,
Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk program Kebajikan
Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas
miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100
ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan
dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit
sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat
dalam membantu meringankan beban sara hidup.
74. Selanjutnya,
Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan
harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:
Pertama:
Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M
menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan
harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah.
Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang
membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta
ringgit;
Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di
seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama
1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk
1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit
(TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara;
dan
Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang
menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu
maksimum dua ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan
tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian
dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk
mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha
kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu
Rakyat 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
75. Bagi memenuhi
permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000 ringgit,
Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk
menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah
dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini
boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri
bermula Januari 2012.
76. Bagi membantu pembeli mencapai impian
mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan
Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan
untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti
khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA
akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak
pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa
bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh
untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti
kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam
sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.
77. Di
samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta
untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu,
beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk
menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan
supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus
dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak
1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak.
78.
Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra
Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan
di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran
disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai
contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di
Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran
220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya
duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.
79.
Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana
pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat
disiapkan. Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak
pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini,
bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh
syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran
setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah
bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.
80. Masih ramai lagi
rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan
rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan
Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu unit rumah
mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di
peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000
unit PPR dimiliki.
81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat
yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan
diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah
lebih selesa. Di bawah program ini, mereka yang mempunyai tanah
persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh
mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan
peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada
tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual
dengan harga 45 ribu ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah,
Kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200
juta ringgit akan diperuntukkan untuk program ini.
82. Selain
itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya
memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang
melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan
usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk
memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan
40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah
awam dan swasta.
83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada
pembangunan ekonomi negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia
telah meningkat kepada lebih kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan
suasana kondusif bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di
Malaysia, Kerajaan akan membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman
KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang
diberi kepada warganegara.
84. Kepada para nelayan, Kerajaan
bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi mereka ini yang tiada
pendapatan tetap dan bergantung semata-mata kepada hasil tangkapan. Kita
maklum bahawa, kebanyakan nelayan memiliki rumah yang daif dan kurang
selesa. Sehubungan itu, Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan
Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan membaik
pulih rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.
Tuan Yang di-Pertua
85.
Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk
rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta
persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan
kesihatan akan diperuntukkan 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan
mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Ini
melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di
Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok
bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81
klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik
1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
86. Kerajaan amat prihatin
dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu Raya yang
digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang
dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaiktaraf dengan belanja
sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru
dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
87. Langkah yang sama
akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang
merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir
3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital
yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini
akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi
dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan 300 juta
ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta ringgit akan digunakan untuk
membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.
88.
Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka
bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini
sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh
yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau
fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula
kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu
Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi
sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar
dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call
semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang
sama.
Tuan Yang di-Pertua,
89. Untuk menambah pendapatan
boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan
berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat
1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini
dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah
yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh
memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun.
Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih
yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad
dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.
90.
Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan
perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda
Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta
memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk
ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat
Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di
bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal
kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti
serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout.
91.
Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti
ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan
yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju
usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan
akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan
dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah.
Tuan Yang di-Pertua,
92. Pada perspektif lain,
Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang ditanggung oleh
pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang meningkat.
Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi
jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik
perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet
persendirian diberi bantuan seperti berikut:
Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan;
Kedua:
Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi
yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;
Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian;
Keempat:
Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk
memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan
oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012;
dan
Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi
lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun.
Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit
akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan
tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.
93.
Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat
memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus
menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di
atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat
kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet
ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.
Tuan Yang di-Pertua,
94.
Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh
atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala ini,
dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak
mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi
membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman
Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah
akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut,
Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun
hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
95.
Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah
menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung
Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat
ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan
makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat
hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250 orang
telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan diperluaskan ke
Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
96.
Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan
dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar
Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan
Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut, antara yang
utama, Kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita yang
berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan
pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah
syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi. Bagi menarik golongan
profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, Kerajaan juga
akan menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi melaksanakan
program-program latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 10
juta ringgit.
97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan
120 juta ringgit kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan
kecil, saya mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi
kepada 300 juta ringgit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan
menyediakan 2.1 bilion ringgit untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada
usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit
disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi kepada
usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk
mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan
mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi
pengecualian duti setem.
98. Pada masa ini, barah pangkal rahim
(kanser servik) merupakan barah kedua tertinggi di kalangan wanita
Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan telah membolehkan penyakit ini
boleh dicegah melalui suntikan imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia
dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan
suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan tingkatan satu
di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa
mulai bulan April hingga Mei 2010.
99. Bagi membolehkan lebih
ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan imunisasi, Kerajaan akan
menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma
Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancang
Keluarga Negara di seluruh negara. Kos imunisasi ini adalah 150 ringgit
bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini, peruntukan 50 juta ringgit akan
disediakan pada tahun 2012.
100. Di samping itu, untuk menjamin
kesihatan para ibu dan anak, maka sebuah hospital khusus untuk kaum
wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian
awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
101.
Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan
negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran
bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. Untuk ini,
Kerajaan akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai
aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan
keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada
Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.
102.
Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan tetapi,
demi masa depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini mestilah
digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti
mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. Pujangga
berpesan agar mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita
dahulu ingin dilayan sesuai kehendak kita sebagai orang muda, begitu
juga anak-anak zaman sekarang.
103. Selaras dengan itu, Kerajaan
juga sedar kekangan institusi yang ada kini dalam mengeluarkan bantuan
kepada idea-idea kreatif. Kita perlu bertanya, jika dengan struktur
pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar, adakah idea orang-orang
seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs, Michael Dell, adik-beradik
Wrights, Thomas Edison boleh berjaya? Lantaran, berapa banyak idea dan
karya telah dibakul sampahkan yang berkemungkinan bernilai
berbilion-bilion ringgit. Bertolak dari situ, Kerajaan prihatin terhadap
suara dan nurani orang muda. Sebagai projek perintis, kita bersetuju
untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik Kerajaan yang
bernama MyCreative Venture Capital dengan dana permulaan 200 juta
ringgit.
104. Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan
disediakan untuk latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan
pengajian persekolahan melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia
atau Strategic Action for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan
menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh
institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara,
Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih
akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka
mudah mendapat pekerjaan.
105. Pada masa ini, futsal semakin
popular di kalangan belia dan peminat sukan. Bagi menggalakkan aktiviti
sukan ini, Kerajaan telah siap membina 1,100 gelanggang futsal di
seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan. Memandangkan
populariti sukan tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 15 juta
ringgit bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu
Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah
terutama sukan bola sepak, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit
bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang
dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
106.
Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton,
skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga
diberi tumpuan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
tambahan 30 juta ringgit menjadikan keseluruhan peruntukan 84 juta
ringgit bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat
bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.
107.
Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya untuk
mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan
pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua
warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj
pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk
klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan. Mereka juga akan
diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.
108. Dalam
Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja
sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah
mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada
KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana
Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus
menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi
skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan
pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru
sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan
anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada
ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan;
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.
109.
Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan
hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan
kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi
meningkatkan simpanan untuk hari tua, Kerajaan mencadangkan supaya
caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi
pencarum yang menerima gaji bulanan 5,000 ringgit dan ke bawah. Langkah
ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.
Tuan Yang di-Pertua,
110.
Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan hanya
berminat dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion. Sesungguhnya
tuduhan ini amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam lipatan
sejarah bahawa Kerajaan Perikatanlah yang bertanggungjawab menubuhkan
Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar lebih 50 tahun yang lalu
dan mempelopori pembangunan secara sistematik? Sebagai kesinambungan
tradisi mulia ini, Kerajaan akan memberi nafas baru kepada kawasan
pedalaman luar bandar termasuk kampung tradisional, rumah panjang dan
kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP,
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit untuk membina
dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit, jambatan
kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif ini
akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.
Tuan Yang di-Pertua,
111.
Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun
Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian
dalam pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk
yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal,
Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis,
Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek
RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta
mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di
Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah. Manakala bagi Johor,
projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
Tuan Yang di-Pertua,
112.
Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah
dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian
tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama:
Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan
3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini
membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah
akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53
peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat
daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8
bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak
hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi
pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
Kedua:
Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah
rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh
negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang
berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban
sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang
berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini
dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini
dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan
melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan
dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga:
Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar
warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta
tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.
Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar
dan melibatkan peruntukan 260 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
113.
Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai Rukun
Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hambaNya untuk
menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini, Kerajaan
menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk
mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan
minima sebanyak 1,300 ringgit. Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah
mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, Kerajaan dengan ini membenarkan
pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan atau
ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak 1,300 ringgit. Melalui kaedah
ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi
pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.
Tuan Yang di-Pertua,
114.
Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti
perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi
kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan
Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji
dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran
bantuan 500 ringgit kepada pesara.
115. Berdasarkan sokongan dan
komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat
pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah
bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500
ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan
gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun
2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi
penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran
ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu pesara
Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan
belanja sebanyak 4 bilion ringgit.
116. Menyedari tanggungjawab,
tugas serta beban kerja Ahli-ahli Parlimen yang semakin bertambah dari
hari ke hari dan perlunya kita memupuk budaya politik baru bersesuaian
dengan Program Transformasi Politik yang saya umumkan baru-baru ini,
maka, Kerajaan dengan ini bercadang untuk mengkaji semula elaun dan
kemudahan Ahli-ahli Parlimen sekalian. Dengan syarat.....kedua-dua belah
pihak, parti Kerajaan dan parti pembangkang mestilah seiya sekata
bersetuju. Termasuklah yang bebas-bebas itu. Setelah dipersetujui nanti,
elaun baru ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
117.
Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti
Barisan Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui
Bajet 2012 pada petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi
akan meneruskan tradisi para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan
rakyat dan kesejahteraan negara di tempat yang teratas.
118. Apa
yang menjadi keutamaan kepada kami bukannya nostalgia lampau apatah lagi
populariti murahan. Yang terjunjung di atas jemala kami sebagai
Kerajaan yang bertanggungjawab adalah menyediakan masa depan
gilang-gemilang buat semua anak-anak Malaysia. Sebuah masa depan
bergemerlapan dengan harapan dan kemakmuran bukannya masa depan suram
dicengkam ketakutan.
119. Sesungguhnya, bersesuaian dengan surah
al-Hasyr ayat 7 yang menyeru “agar harta tidak hanya berlingkar
dikalangan orang-orang berada antara kamu”, maka tidak syak lagi, Bajet
yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi
rakyat. Ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah, sekalipun
menengah atau tinggi, dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar
waima di desa.
120. Pucuk pangkalnya, perjalanan yang telah saya
dan rakan-rakan mulakan semenjak April 2009, kini telah menempuh satu
puncak penanda. Pastinya, sepanjang tempoh 30 bulan yang lalu, saya dan
rakan-rakan telah melakar hala tuju jelas negara dalam pusingan akhir
bagi menempa wawasan kebangsaan.
121. Ia tidak hanya membabitkan
pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip meraikan kepelbagaian,
menambahbaik penyampaian sektor awam dengan merundingi rakyat, proses
penstrukturan ekonomi melalui Model Baru Ekonomi dan Program
Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau Program Transformasi
Politik yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia.
122.
Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi
punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu
yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana,
anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi
Malaysia ini, demi kemajuan negara.
123. Seyogia diperingatkan
bahawa, perjalanan ini tidak mungkin berjaya tanpa laluan yang telah
diredah denaikan oleh pendahulu-pendahulu saya sebermula Almarhum Tunku
Abdul Rahman diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun
Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Ia tidak mungkin jua
terjelma tanpa kestabilan politik yang dihidupkan oleh perkongsian kuasa
melalui konsep Barisan Nasional yang bitara. Yang lebih utama, ia tidak
mungkin dizahirkan tanpa sokongan padu rakyat.
124.
Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk mempastikan
perjalanan kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura
Malaysia yang maju, makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam
lautan dunia yang tidak menentu.
125. Sememangnya lagi, Kerajaan
Barisan Nasional tidak tunduk kepada tekanan atau apa-apa paksaan untuk
mengambil jalan yang benar dan betul demi warga Malaysia. Kami yakin
dengan perjuangan yang kami gandar ini bukannya dibuat-buat atau sebuah
ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan
syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak.
Perjuangan kami warisan mulia zaman berzaman meniti generasi.
126.
Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun
setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di
bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat.
Kepada Allah jua kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...