Monday, October 31, 2011

Sejarah Penting Negara Bulan Oktober

KERETA API BUKIT BENDERA
21 Oktober 1923 - Perkhidmatan kereta api kabel di Bukit Bendera, Pulau Pinang atau dahulu dikenali sebagai 'Penang Hill' mula beroperasi. Bukit yang ketinggian 830 meter dari paras laut itu merupakan bukit yang pertama di negara ini mempunyai stesen kereta api.

Usaha untuk membangunkan perkhidmatan kereta api kabel di Bukit Bendera dibuat oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat selepas Perang Dunia Pertama. Perkhidmatan kereta api kabel pertama di Asia Tenggara ini dirasmikan oleh Sir Lairence Nunns Gulliemard, Gabenor Negeri-Negeri Selat pada 1 Januari 1924. Kereta api kabel dengan gerabak yang diperbuat daripada kayu ini digunakan hampir 55 tahun, sebelum digantikan dengan gerabak buatan Swiss yang lebih moden dan besar ditempah daripada Swiss Enginerring Work Hubegger Limited dengan harga RM2.3 juta. Gerabak baru tersebut mampu memuatkan penumpang sebanyak 80 orang bagi satu perjalanan.

Kini, kereta api kabel rekaan Arnold R. Johnson itu menjadi bahan sejarah untuk tatapan umum. Kereta api itu sekarang dipamerkan di puncak Bukit Bendera dan di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA
1 Oktober 1963 - Mahkamah Persekutuan Tanah Melayu dirasmikan oleh Peguam Negara, Datuk C.M. Sheridan. Upacara bersejarah tersebut berlangsung di Bangunan Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur.


Mahkamah Persekutuan dianggotai Ketua Hakim Negara sebagai Ketua, dua orang Hakim Besar dan empat orang Hakim Persekutuan. Pelantikan tersebut diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri. Ketua Hakin Negara pertama adalah Datuk James B. Thomson yang berkhidmat sejak 1963 sehingga 1966.

Penubuhan Mahkamah Persekutuan memberikan impak yang sangat besar ertinya untuk sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan. Hal ini demikian kerana penubuhan Mahkamah Persekutuan disifatkan sebagai reformasi kepada sistem kehakiman di negara ini.




MENARA KUALA LUMPUR
1 Oktober 1996 - Menara Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Nanas dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Menara yang dibina bagi tujuan mempertingkatkan khidmat telekomunikasi dan sistem pemancar di negara ini terletak 515 meter dari aras laut dengan ketinggian 421 meter.


Kerja-kerja asas pembinaannya dimulakan pada Oktober 1991 dan pembinaan menara tersebut dimulakan pada 1993 dan siap sepenuhnya pada 1996. Arkitek pembinaan menara ini ialah Datuk Nik Mohammed Nik Mahmud. Keistimewaan menara ini terletak pada kubah di pintu masuk ke lobi yang dihiasi dengan kepingan cermin mozek yang dibuat oleh pekerja dari Isfahan, Iran. Reka bentuknya dipengaruhi seni bina Islam, Jerman, Perancis dan tempatan, manakala hiasan dalamannya berkonsepkan seni bina Islam.


Menara Kuala Lumpur merupakan menara telekomunikasi kelima tertinggi di dunia selepas Menara CN di Kanada, Menara Ostankino di Rusia, Menara Shanghai di China dan Borj-e Milad di Iran.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...