Mendidik anak supaya dapat berdikari sememangnya memerlukan komitmen
dan jangka waktu lama. Ibu bapa perlu mematangkan mereka dengan suasana
yang baik, di samping memainkan peranan sendiri.
Kepentingan anak-anak berdikari memang diketahui ramai ibu bapa.
Anak-anak matang bertindak dan menimbang baik buruk sesuatu perkara.
Tahan lasak apabila diuji dengan dugaan hidup. Tentu sekali ibu bapa tidak mengingini anak malas, lemah jiwa dan pendek akal walaupun sudah dewasa.
Renungkan petua berikut bagi membentuk anak supaya bijak merancang, ringan tulang dan kuat jiwa:
Galakkan anak membantu
Anak sewajarnya digalak membantu ibu bapa dalam meringankan tugas di
rumah. Apapun, menyuruh mereka bukanlah dengan nada memaksa sebaliknya
dengan suara lembut dan meminta bantuan. Waktunya pula hendaklah
bersesuaian. Sekiranya anak sedang mengulangkaji pelajaran, tidak wajar menyuruh
mereka menguruskan kerja rumah. Anak perempuan boleh diminta mengemas
rumah, mencuci pinggan mangkuk atau menghidang makanan.
Anak lelaki pula boleh diminta membersihkan halaman ataupun membasuh
kereta. Sebagai panduan, jangan membebankan anak dengan tugas berat yang
tidak mampu dilakukan. Jangan lupa ucapkan terima kasih atas
pertolongan mereka.
Biasakan anak urus diri sendiri
Anak yang mula memasuki alam persekolahan sewajarnya diajar cara
terbaik untuk mengurus diri. Mereka wajar diasuh agar pandai mengemas
bilik tidur, berpakaian kemas dan sentiasa kelihatan bersih. Jangan
sesekali biarkan mereka comot, kotor dan selekeh semasa di rumah mahupun
di sekolah.
Biasakan cara hidup sederhana
Biasakan anak dengan cara hidup sederhana walaupun kita mampu
memberikan kemewahan. Kemewahan akan menyebabkan mereka sentiasa
mengharap, malas berusaha dan lemah jiwa. Sebagai contoh, galakkan
mereka agar sentiasa berjimat cermat dan menabung wang lebihan belanja
harian.
Asuh anak suka membantu orang
Anak perlu diasuh menolong orang yang memerlukan. Secara tidak
langsung, mereka dapat memahami sedikit sebanyak hakikat kehidupan yang
tidak selamanya menjanjikan bahagia dan kesenangan. Dengan itu, anak
sentiasa berwaspada dalam hidupnya serta matang menilai dan
menyelesaikan masalah.
Ajar kemahiran hidup
Anak juga boleh diajar menjahit, berkebun atau memperbaiki sebarang
kerosakan kecil. Sememangnya, pendidikan sebegini sudah diperkenalkan di
semua sekolah. Namun, menjadi peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak
mengamalkan ilmu yang mereka miliki.
Setiap kerja itu pula, perlu diawasi untuk mengelakkan sebarang bahaya.
Kanak-kanak yang dilatih berdikari akan menjadi orang yang kuat
jiwanya dan dapat menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan suasana dan
tempat. Dia juga yakin dengan kebolehannya. Inilah cara membantu anak
berakhlak mulia. Jika latihan itu disertai dengan nasihat secara hikmah, insya-Allah anak akan memiliki pekerti dan hati yang baik.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...