Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat? Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian. Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain. |
Capaiannya menerusi Internet juga
tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai
sambungan talian tetap. Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi
mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer
tablet, komputer riba, netbook dan telefon pintar berupaya mencapai
laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar. Masa, alat dan
tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya. Oleh itu,
laman sosial Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila
masa sahaja. Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang
menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma
menerusi teknologi Wifi.
Capaian Internet tanpa wayar ini
sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerobohan ke atas
akaun-akaun di laman web Facebook. Ini kerana data-data atau maklumat
‘berterbangan’ di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya
termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan.
Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohan ini
agak mudah diperoleh di Internet dan mudah digunakan. Dengan itu,
berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi
capaian tanpa wayar ini.
Antara langkah-langkah awal yang boleh
di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat
ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun
Facebook tersebut. Apabila kita mencapai laman web sosial Facebook
menerusi Internet sama ada menerusi teknologi berwayar atau pun tidak
berwayar, sambungan terhadap laman web tersebut tidak dienkrip. Ini
bermaksud, sesiapa sahaja yang berupaya berada di kawasan sambungan
tersebut akan boleh memperolehi apa sahaja maklumat atau data yang
melalui sambungan itu secara jelas termasuk login dan kata laluan. Bagi
mengatasi masalah sambungan yang tidak dienkrip ini, pihak Facebook
telah menyediakan fungsi keselamatan untuk kita mengenkrip sambungan
capaian ke laman web Facebook menerusi Internet.
Dengan ini, sesiapa boleh atau
berupaya mendapatkan data-data atau maklumat yang melalui sambungan
tersebut tetapi data-data dan maklumat tersebut tidak dalam bentuk yang
nyata. Data atau maklumat tersebut akan disembunyikan dalam bentuk yang
rahsia. Penceroboh atau penggodam perlu meemecahkan kod terhadap proses
enkripsi yang dibuat terhadap data atau maklumat itu untuk
mendapatkannya. Dalam Facebook, anda perlu pergi ke ruangan
konfigurasinya. Seterusnya memilih fungsi Account Security dan tandakan
pada ruangan Secure Browsing (https). Seterusnya, jangan lupa untuk
menyimpan konfigurasi yang telah anda buat dengan mengklik pada butang
Save.
Fungsi Secure Browsing ini baru sahaja
diperkenalkan oleh pihak Facebook. Jadi, pastikan dikemas kini terlebih
dahulu akaun Facebook tersebut dengan kemas kini yang dianjurkan oleh
pihak Facebook. Sekiranya fungsi tersebut masih belum ada dalam akaun
kita, sila maklum atau mohon kepada pihak Facebook atau nantikan sahaja
kemas kininya oleh pihak Facebook. Hasil daripada konfigurasi tersebut,
melayari laman web Facebook menerusi Internet akan dienkrip seperti mana
melayari laman-laman perbankan Internet yang menggunakan protokol
keselamatan rangkaian https. Selain daripada itu, pastikan juga
konfigurasi untuk fungsi Privacy bagi akaun Facebook adalah baik.
Pastikan dan tentukan mana maklumat yang perlu dikongsi oleh siapa
sahaja dalam akaun Facebook anda. Pihak Facebook ada menyediakan
cadangan konfigurasi Privacy dalam perkongsian maklumat seperti maklumat
peribadi, maklumat rakan, gambar dan lain-lain.
Anda boleh tentukan sama ada anda mahu
berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja, rakan sahaja, rakan kepada
rakan sahaja atau menerima cadangan pihak Facebook. Sekiranya anda masih
tidak berpuas hati dengan konfigurasi tersebut, boleh memilih pilihan
Custom. Di sini, anda boleh membuat konfigurasi sendiri untuk
perkongsian maklumat dan boleh menetapkan hanya untuk tatapan atau
capaian diri sendiri. Konfigurasi pada bahagian Privacy ini penting bagi
mengelakkan pihak yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan maklumat
yang dikongsikan atau dijadikan panduan untuk melakukan penggodaman
atau pencerobohan terhadap akaun Facebook seseorang. Sekiranya ada
mana-mana akaun rakan Facebook yang disangsikan tujuannya, bolehlah kita
blok akaun tersebut dalam fungsi Block Users.
Kadangkala kita melihat remeh-temeh
berkenaan dengan fungsi Security dan Privacy dalam akaun Facebook ini.
Namun begitu, sekiranya akaun Facebook mendapat masalah seperti digodam
dan sebagainya, barulah kelam kabut untuk mencari jalan penyelesaian.
Jadi, sebelum perkara yang lebih parah berlaku, marilah kita ambil
langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan konfigurasi yang betul dan
selamat pada akaun Facebook.
Selain daripada itu, berhati-hatilah dengan e-mel palsu yang meminta maklumat dan kata laluan bagi akaun Facebook anda.
Ia merupakan satu penipuan yang
sepatutnya kita sedar akan perkara tersebut dengan menyemak kembali
sambungan URL yang disediakan, e-mel tersebut dihantar secara tiba-tiba
tanpa ada keperluan atau anda memintanya, semak penghantar e-mel
tersebut dan lain-lain. Ia merupakan satu teknik penggodaman yang sangat
mudah tanpa perlu melakukan perkara-perkara teknikal kerana pemilik
akaun Facebook sendiri yang memberi maklumat-maklumat penting tersebut.
Layari Internet dan laman web Facebook anda dengan selamat dan
berhati-hati.
Sumber: Utusan Malaysia, 30 Mac 2011
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...