MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Wednesday, March 4, 2015

Bersedekah Adalah Keberkatan Yang Berpanjangan


Pengertian Bersedekah
Sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain.

Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah
 
Kepada Siapa Kita Bersedekah
Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara. 

Fadilat Bersedekah
  1. Dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya.
  2. Bersedekah akan menimbulkan rasa kasih sayang sesama masyarakat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin. Sifat dengki akan hilang. 
  3. Bersedekah akan mendatangkan keberkatan. Apabila datang keberkatan dan hilanglah kecelakaan. 
  4. Bersedekah dapat menghilangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang kesempitan. Ini ,menggambarkan wujudnya sifat saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat. 

Tangan Di Atas Lebih Baik Daripada Tangan Di Bawah

Hadith :
Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:
"Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.” (al-Bukhari)

Konsep Bersedekah
Bersedekah dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal.

Setiap orang yang berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan dikurniakan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat-Nya.

Allah juga akan mengelakkan hartanya daripada kecurian atau hilang. Dalam surah al-Lail, Allah telah menyatakan tentang sifat kedekut dan ego di mana orang yang bersifat demikian kehidupannya akan dipenuhi dengan liku yang sukar dan bermasalah.

Bahkan Seseorang yang tidak suka bersedekah adalah umpama seseorang yang mempunyai benih tanaman, tetapi tidak pula ia menanamnya. Orang yang tidak suka bersedekah ini tidak akan dapat memungut atau menuai hasil rezekinya itu.

Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan :
"Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima”.
( Riwayat muslim )

Bersedekah Menghapuskan Dosa dan Penyakit
Orang yang diuji dengan sakit, hendaklah berusaha mengubati penyakitnya itu. Salah satu dari caranya adalah dengan memberi sedekah. 

Rasulullah SAW telah bersabda :
”Ubatikanlah orang sakit di antara kamu dengan sedekah”. 

Manusia yang hidup sering melakukan kesalahan dan dosa. Allah S.W.T menyediakan berbagai laluan kepada hambanya untuk penghapusan dosa, antaranya bersedekah.

Sabda rasulullah SAW:
"Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar, sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api”.

Kelebihan Bersedekah Menurut Keterangan al-Qur'an:Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya di dalam al-Qur'an. Banyak sekali ayat-ayat suci yang menerangkan. Di antaranya seperti berikut:

Jelasnya, orang-orang yang bermurah hati membelanjakan hartanya pada jalan Allah - meliputi segala jenis kebajikan umum akan dibalas oleh Allah Taala dengan pahala tujuh ratus kali ganda, asalkan sedekah atau derma dan khairat itu diberikan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.

Sedekah itu ada 10 kepujian, lima di dunia dan lima di akhirat .

Lima di dunia
  • Mencucikan hartanya
  •  Mencucikan badannya
  • Menolak bala dan penyakit
  • Menggembirakan orang miskin dan mengembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
  • Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya .
Lima di akhirat :
  • Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari Qiamat ketika sangat panas
  • Ringan hisabnya
  • Berat timbangannya (amalan) di akhirat
  • Mudah melalui titian Siratal-Mustaqim
  • Bertambah darjatnya di dalam syurga

SEDEKAH ITU MENUTUP TUJUH PULUH PINTU KEJAHATAN

Bersedekah Dengan Mengadakan Kenduri
Dari sebuah Hadith mengisahkan : Bahawa seorang membuat jamuan (kenduri) maka Allah menyuruh datang Malaikat empat puluh hari sebelum diadakan jamuan. Malaikat itu merupakan burung putih, dua sayapnya panjang di antara masyriq dan maghrib. Dia berhenti di pintu rumah, lalu menyeru ahli rumah, lalu dijawab oleh Jibril : Apa maksudmu dengan ahli rumah itu? Maka jawab Malaikat itu : Aku diutus oleh Allah kepada ahli rumah ini untuk menggembirakan mereka bahawa jamuan (kenduri) mereka pada hari…. Inilah rezeki bersamaku dari syurga dan bersama burung itu surat termetri pada mulutnya. Bertanya Jibril : Surat apakah ini? Jawabnya : Di dalamnya tertulis mereka ahli rumah itu terlepas daripada neraka. Lalu diambil oleh Jibril surat itu dan dibukanya –tertulis di dalamnya : “ Allahul Wahidul Qahhar melepaskan ahli rumah daripada api neraka .
Bagaimana, adakah menggembirakan engkau? Jawab Jibril : Ya, menggembirakan aku-gembira Jibril dan bercahaya mukanya kerana umat Nabi Muhammad saw terlepas daripada api neraka. Kata Jibril : Allah utuskan aku, bahawa aku tulis bagi mereka beberapa kebajikan, aku gugurkan mereka beberapa kejahatan, aku angkatkan mereka beberapa darjat sehingga berhenti jamuan itu. Maka Allah ampunkan dosa-dosa mereka yang hidup dan yang mati dari ahli rumah itu dan yang hadir dalam jamuan itu.
( dari kitab Raudhul Ulama’).

Keikhlasan bersedekah
Amalan bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari). 

Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.

Bersedekah Di Bulan RamadhanSabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun. (Hadis At Tirmidzi) 

Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain.

Bersedekah Secara Senyap
Setiap sedekah atau derma hendaklah dilakukan dalam keadaan senyap atau dalam erti kata lain, tanpa pengetahuan orang ramai. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda berhubung sedekah yang bermaksud:
Sesungguhnya di bawah teduhan Arasy pada hari tidak ada teduhan, melainkan teduhan Allah ialah seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya lalu disembunyikannya sedekah itu sehingga tidak diketahui tangan kirinya.”

Begitu rapatnya hubungan tangan kanan dengan tangan kiri tetapi setiap sedekah yang diberi tangan kanan tidak seharusnya diketahui tangan kiri. Demikianlah, sedekah patut dirahsiakan malah kepada orang yang paling rapat dengan kita tidak usah diberitahu. Demikian konsep sebenar sedekah atau derma menurut Islam.

Sumber Rujukan : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Yayasan Dakwah Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia