Kami dari Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada muslimin dan muslimat sekalian.. Semoga di tahun baru ini kita akan dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT...
Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Sambutan Maal Hijrah 1434H / 2012
Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim
Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Saudara dan saudari sekalian
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan
kurniaNya maka dapatlah kita menyambut Maal Hijrah 1434H bersamaan
2012M pada tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat. Ia
bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada kali ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.
Syariat Islam secara fitrahnya
jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat dari kesatuan dan
kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna
kulit. Kita telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan
perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah. Ia telah digarapkan dalam
segenap perkara di dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal
secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam
kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara
keseluruhannya.
Sesungguhnya melalui pendekatan
wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama
dapat ditingkatkan.Kita juga telah mengamalkan konsep kesederhanaan ini
dan telah mengenengahkannya dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam
dan luar negara. Baru-baru ini Kerajaan Malaysia bertindak sebagai
pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya
menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Moro dan
Kerajaan Filipina. Kita juga telah mengambil pendekatan serupa dalam isu
keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, Barat Myanmar dengan
menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa
keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka.
Berpegang dengan definisi hijrah
yang memberi maksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaan
kepada keadaan yang lebih baik, kita telah mengislah dan menterjemahkan pendekatan hijrah dalam program transformasi negara.
Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat
pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang
dinamik dan progresif. Baru-baru ini ulama terkemuka dunia iaitu Dr.
Yusuf Al-Qaradawi telah memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia
di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat
Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Ghaza.
Berhijrah adalah sebahagian
daripada melaksanakan misi ketakwaan. Ianya adalah satu perintah yang
perlu dilakukan sepanjang masa. Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap
masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat. Kita
mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat
Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut
dalam Surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud : “Sesungguhnya
orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah
(fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat
dari-Nya.”
Mengakhiri perutusan, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434
kepada semua seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada dan
raikanlah sambutan ini bersama rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa
demi menjayakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.
Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...