MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Tuesday, September 25, 2012

Mencari Erti Sebuah Perkahwinan


Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan. Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa. Ketika Nabi Adam tinggal di Syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.

Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."

Berkahwin Kerana Ibadah

Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.
Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahwat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Kerana itulah, setiap Muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.

Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah. Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.

Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah S.A.W. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dan al-Baihaqi, Rasulullah S.A.W bersabda:

"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku."

Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas. Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.

Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.

Cinta Dan Kasih Sayang

Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam. Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti.

Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap Baitul Muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.

Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerana fitrah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah ar-Rum:30 : "Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan Tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."

Tarbiyah Dan Pendidikan

Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali. Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa. Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.

Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.

Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.

Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan Iman dan akhlak anak-anak mereka. Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.

Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud:
"Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)."

Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.

Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang. Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.

Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak

Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri.

Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.

Ibu Bapa Mithali

Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali. Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan. Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan al-Quran yang betul. Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah S.A.W.

Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam. Keindahan perkahwinan baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.

Kehadiran putera dan puteri serta cucu baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah. Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.

Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri. Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahagiaan. Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya. Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan. Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan Iman.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia