Sebenarnya
membuatkan anak merasa disayangi tidak memerlukan wang ringgit atau
perbelanjaan yang banyak. Tidak perlulah anda membelikan hadiah yang
mahal atau percutian yang menelan perbelanjaan yang besar. Malah,
sekiranya kita membuat anak kita berasa tidak istimewa sepanjang tahun,
barang mainan yang mahal atau jamuan hari jadi yang dibuat di hotel lima
bintang tidak akan dapat mengubah perasaan yang dirasai anak kita itu.
Apa yang penting dalam jangka masa panjang adalah perkara-perkara kecil yang anda lakukan setiap hari.
Anak
yang enggan solat, keras kepala, tidak mendengar kata dan gemar bergaul
bebas – ini hanya sekadar beberapa masalah yang dihadapi ibu bapa.
Tahukah anda, salah satu cara paling efektif untuk membuatkan anak
lembut hati dan mudah mendengar kata ialah dengan membuatkan dia merasa
disayangi?
Ada enam cara mudah yang boleh anda lakukan untuk membuatkan anak merasa disayangi:
1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih
Anak-anak
perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya
mereka sedang mengalami masalah atau kemurungan. Contohnya, apabila
berlaku sesuatu kejadian di sekolah yang menyusahkan hatinya. Pada
saat-saat duka seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya
untuk memberi sokongan kepadanya.
2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya
Serlahkan
wajah riang ketika menyambut anak anda pulang dari sekolah, umpamanya.
Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari bercuti ataupun dari pejabat.
Katakan yang anda merinduinya.
3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya
Ibubapa
selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang
dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan
mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan
anak-anak apabila ibubapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara
baik yang mereka lakukan.
Anak-anak
akan berasa kurang bersemangat dan mungkin akan cenderung melakukan
perkara-perkara yang buruk hanya untuk menarik perhatian ibubapa.
Apabila memuji anak anda, berikanlah kata-kata pujian yang khusus dan
jelas serta ikhlas kepada mereka. Sebagai contoh, "Mama gembira sebab
Lan mahu berkongsi biskut coklat cip ini dengan nenek" atau "Rajin anak
Papa menyimpan semula buku-buku itu setelah dibaca" atau "Papa seronok
tengok Liza melukis dan bermain dengan adik."
4. Dengarkan kata-katanya
Apabila
anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah
perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya
dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap.
Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.
Satu
cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda betul-betul mendengar apa
yang dikatakannya adalah dengan bertanya soalan seperti "Jadi Faris
ambil pen kamu tanpa kebenaran kamu?" Mendengar tidak bermakna anda
mesti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan
mendengar, anda boleh membantu anak anda meluahkan isi hatinya serta
membuatkannya berasa lega dan tenteram kerana anda mengambil berat di
atas kesejahteraannya.
Anak
anda akan berfikir, "Mama/Papa mengambil berat terhadap diri saya, jadi
saya tak perlu bimbang." Anak anda perlukan keselesaan emosi seperti
ini. Kadangkala anak anda perlukan anda mendengar pengakuannya. Ini
berlaku kerana mungkin dia merasakan yang dia telah melakukan satu
kesalahan dan kesalahan ini membuatkan dia berasa resah gelisah.
Sekiranya ini terjadi, kawal diri daripada memarahinya. Sebaliknya,
pujilah dia kerana bersikap jujur dan berani berbincang dengan anda. Dia
perlu tahu yang anda tidak memandang rendah kepadanya hanya kerana dia
telah melakukan kesalahan. Ini bermakna, walaupun dia telah melakukan
kesilapan, anda masih menganggapnya istimewa.
5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya
Kanak-kanak
mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak
kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi
mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah
apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh
orang lain.
Apa
yang anak anda mahu lakukan bersama anda? Menanam pokok bawang untuk
projek Sainsnya ataupun membaca sebuah buku cerita bersama-sama atau
membaca satu kisah lucu dan ketawa bersama-sama? Mungkin juga membuat
dinosaur kertas mengikut model yang terdapat dalam buku origami yang
anda baru belikan untuknya atau membuat kentang putar untuk makan malam
nanti.
Apa
pun yang anda lakukan bersamanya, biarlah dia yang memilih aktivitinya
dan jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta, tetapkanlah tarikh
dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya.
Aktiviti-aktiviti ini boleh dirancang terlebih dahulu tetapi boleh juga
dilakukan secara spontan. Perkara-perkara kecil yang anda lakukan
bersama akan meninggalkan kesan mendalam di hati dan perasaan anda
berdua.
6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya
Kanak-kanak
gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan. Sebagai
contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun sedang menyiapkan
dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana
satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua
lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, "Yang
ini lagi cantik sebab Ana melukis pokok dan daunnya dengan jelas.
Warnanya pun lebih terang."
Elakkan
daripada menjawab secara acuh tak acuh, "Papa tengok sama saja
kedua-dua lukisan tu." Ataupun sekiranya anda sedang melihat anak
belasan tahun anda bermain badminton, anda boleh memujinya dengan
berkata, "Pukulan Ina sekarang semakin baik dan lebih bertenaga."
Ataupun
sekiranya dia meminta pendapat anda mengenai karangan yang sedang
ditulisnya, anda boleh berkata, "Bahagian pengenalan karangan yang Zul
tulis tu memang bagus." Anda mungkin berfikir yang kata-kata pujian akan
membuatkan diri anak terlampau berpuas hati dengan dirinya sendiri dan
tidak lagi mahu berusaha. Tetapi tiada apa yang lebih memotivasikan
seorang anak selain daripada kata-kata perangsang daripada
ibubapanya. Tidak kira dalam keadaan apa pun atau apa pun yang
sedang dilakukan oleh anak anda, carilah perkara yang elok dan betul dan
berikanlah puji-pujian. Anak anda akan menghargai kata-kata pujian itu
dan akan berasa gembira.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...