Namun begitu, herba ini juga turut digunakan sebagai ramuan untuk pelbagai masalah kesihatan daripada insomnia dan kegelisahan sehinggalah kepada kemurungan dan kelesuan. Malah penyelidik telah mengesahkan bahawa lavender menghasilkan kesan tenteram, menenangkan, dan sedatif apabila baunya dihidu. Lavender berasal dari zon pergunungan Mediterranean. Ia tumbuh di habitat berbatu dan panas. Kini, ia berkembang di seluruh selatan Eropah, Australia dan Amerika Syarikat. Terdapat lebih kurang 28 spesies lavender. Kesemuanya memiliki daun berbentuk lurus dan bunga berwarna ungu atau biru yang berbau harum. Pokoknya jenis berbatang pendek dan boleh tumbuh sehingga 60 sentimeter. Kelenjar minyak beraroma meliputi kesemua bahagian pokok tetapi ia lebih bertumpu pada bunganya.
Banyak kegunaan pokok lavender. Bunganya digunakan untuk memberi rasa pada jem, cuka, manisan, krim dan dijadikan halwa untuk perhiasan. Bunga kering boleh dijadikan potpuri kerana baunya tahan lama. Air dari bunga lavender boleh digunakan untuk mempercepatkan pembaharuan sel dan antiseptik untuk akne. Teh bunga lavender pula digunakan untuk merawat kegelisahan, sakit kepala, kembung, loya, pening dan halitosis. Tangkai bunga spesies Lavandula Latifolia dikatakan boleh dijadikan sebagai penghalau lalat. Minyak pati lavender amat bernilai tinggi untuk dijadikan minyak wangi dan penawar. Ia bersifat antiseptik, sedatif ringan dan penghapus kesakitan. Ia dikatakan boleh disapu pada gigitan serangga dan merawat kulit selaran matahari, sakit tekak dan sakit kepala. Ia juga dikatakan mampu merawat sakit reumatik, tekanan darah tinggi, insomnia, kemurungan, kesesakan limfatik, masalah haid dan masalah percernaan.
Kurangkan migrain dan sakit kepala
Sifat-sifat antiseptik dan anti keradangan membolehkan minyak lavender digunakan untuk merawat sakit kepala dengan menggosokkkan beberapa titis minyak itu pada pelipis. Minyak lavender juga boleh digunakan untuk menguatkan akar rambut. Terdapat juga kajian yang mencadangkan bahawa dengan menggosok dua atau tiga titis minyak lavender pada bahagian atas bibir, bau yang disedut boleh mengurangkan migrain, loya dan membantu menghentikan sakit kepala daripada merebak. Cuka lavender pula boleh digunakan untuk merawat selesema, influenza atau demam. Cuka ini dikatakan berguna sebagai minyak urut reumatisme.
Seperti juga minyak-minyak pati lain, penggunaan minyak lavender perlu dielakkan oleh wanita hamil dan menyusukan bayi. Begitu juga dengan penghidap diabetes, mereka perlu mengelakkan diri daripada menggunakan minyak lavender. Dikatakan juga minyak lavender boleh menyebabkan reaksi alahan kepada mereka yang mempunyai kulit sensitif. Oleh itu, sebelum menggunakan lavender untuk tujuan perubatan, perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...