MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Friday, July 6, 2012

Strategi Menangani Bebanan Hutang


 

Setiap orang mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka berhutang. Ada golongan yang berhutang untuk tujuan peribadi. Ada pula yang berhutang untuk tujuan perniagaan. Sesetengah golongan pula berhutang kerana keadaan yang memaksa. Pengurusan hutang adalah satu aktiviti yang agak rumit dan memerlukan individu untuk mempunyai ilmu yang agak mendalam terutamanya dari segi pengurusan kewangan peribadi. Malangnya, tidak ramai orang yang mendalami dan menjadi pakar tentang ilmu pengurusan peribadi di negara ini. Pada waktu ini, tidak ada satu institusi pendidikan tinggi di Malaysia yang menawarkan subjek khas tentang ilmu kewangan peribadi. Sebenarnya ramai orang di Malaysia mula berjinak dan menguasai ilmu atas dasar minat sendiri. Mereka selalunya membuat kajian dan bacaan daripada buku-buku yang ditulis oleh kebanyakan rakyat asing. Oleh sebab itu, walaupun mempunyai ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi, mereka masih tidak mampu mengaplikasi secara efektif untuk menguruskan kewangan peribadi mereka sendiri. 

Walaubagaimanapun, situasi ini nampaknya menjadi lebih baik kerana terdapat segelintir rakyat tempatan yang sudah berani mengambil inisitaif dan berjaya menulis serta menerbitkan buku-buku berkenaan pengurusan kewangan peribadi yang lebih sesuai diaplikasi oleh rakyat Malaysia.

Ramai sedia maklum tujuan mereka berhutang. Walaubagaimanapaun, tidak ramai yang boleh membuat penilaian samada hutang yang mereka ambil itu jenis hutang yang perlu atau sebaliknya. Amat penting untuk seseorang untuk mengetahui tentang jenis-jenis hutang dan sebab mereka berhutang kerana mereka akan menjadi lebih fokus apabila menangani bebanan hutang kelak. Berikut adalah antara sebab utama kenapa seseorang berhutang dan jenis hutang tersebut:

Berhutang untuk mendapatkan barang-barang keperluan
Secara lazimnya, individu berhutang untuk membeli rumah kediaman, membina rumah kediaman, membeli kenderaan sebagai pengangkutan yang menjadi satu benda tuntutan di zaman sekarang. Hutang jenis ini selalunya berlaku sekali dalam hidup seseorang. Hutang ini tergolong dalam jenis hutang yang bersandarkan aset. Tempoh pembayaran yang panjang dan kadar faedah agak berpatutan bergantung keadaan ekonomi tempatan dan dunia.

Berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan
Terdapat pula golongan yang berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan mereka. Mereka berbelanja di luar kemampuan dari segi kewangan. Perkara ini terjadi pada dasarnya kerana mereka tidak dapat menguasai keinginan diri dan bertindak secara tidak rasional sehingga mereka tidak sedar bahawa kebiasaan berhutang untuk menjaga reputasi seperti mesti memakai pakaian berjenama mahal dan sebagainya akan membeban mereka dengan masalah hutang. Selalunya mereka berhutang dengan menggunakan kad kredit kerana barang-barang yang dibeli bukanlah aset yang diterima oleh bank sebagai cagaran. Hutang yang tidak bersandarkan aset selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi oleh pihak bank kerana ianya dianggap sebabagi jenis hutang berisiko tinggi. Tempoh bayaran bergantung kepada jumlah wang yang dibayar. Jika bayaran yang dibuat adalah jumlah yang minima, individu tersebut akan mengambil masa yang lama untuk menjelaskan hutang kad kreditnya.

Berhutang untuk membuat pelaburan
Golongan yang berhutang untuk membuat pelaburan biasanya mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang pengurusan kewangan peribadi atau mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan secara persendirian.

Perkara yang paling asas apabila berhutang untuk membuat pelaburan ialah kadar faedah yang dikenakan oleh pemberi hutang. Kadar faedah ynag dikenakan keatas hutang tersebut mestilah lebih rendah daripada untung yang akan diperolehi daripada pelaburan. Jika sebaliknya, pada akhir pelaburan anda bukan mendapat untung tetapi akan pula dibebani dengan hutang.

Berhutang kerana tuntutan semasa kecemasan
Bukan semua orang suka untuk berhutang. Terdapat juga segelintir golongan yang pandai menguruskan kewangan peribadi mereka. Mereka mempunyai satu sikap disiplin yang tinggi dan mengamalkan berbelanja dalam kemampuan sendiri. Jika mereka perlukan sesuatu barang, wang akan dikumpul dan golongan ini mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk menunggu sehingga wang yang dikumpul cukup untuk membeli barang yang mereka perlukan. Walaubagaimanapun, seperti pepatah melayu “malang tidak berbau” dalam keadaan kecemasan seperti ditimpa kemalangan dan sebagainya, seseorang individu mungkin terpaksa berhutang untuk mendapat wang sebagai jalan penyelsaian untuk keluar daripada musibah tersebut. Mungkin wang diperlukan untuk membaiki kereta dan sebagainya.
Dalam keadaan ini, anda mungking bernasib baik dan dapat meminjam wang daripada kawan jika jumlahnya tidak besar. Akan tetapi sesetengah orang terpaksa meminjam daripada pihak bank dan sebagainya. Pada kebiasaanya, hutang kad kredit menjadi pilihan utama untuk menyelesaikan masalah perbelanjaan ynag tidak dibajetkan seperti apabila berlaku kemalangan atau kecemasan yang lain.

Langkah untuk menangani beban hutang
Hutang selalunya dianggap sebagai beban. Namun kepada segelintir orang, hutang juga boleh digunakan sebagai peluang dan memberi kemudahan serta langkah untuk memberi keuntungan. Walau apa pandangan anda terhadap hutang, ianya perlu diuruskan dengan cara yang teratur dan fokus.

Perkara pertama dan yang utama perlu anda ambil ialah berhenti daripada membuat hutang yang baru terutamanya hutang yang melibatkan kad kredit. Seterusnya, anda perlu mendalami ilmu dan selok belok tentang jenis-jenis hutang anda. Anda perlu membuat analisa dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan anda bayar untuk menjelaskan hutang tersebut. Pada lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi seperti hutang kad kredit adalah hutang yang paling membebankan anda.

Oleh itu anda perlu mengambil langkah untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah sebanyak yang mungkin dan dalam tempoh yang paling cepat. Jangan sekali-kali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj kelewatan yang akan membebankan lagi keadaan anda. Atas arahan Bank Negara Malaysia, hampir semua bank di Malaysia pada waktu ini telah memberi insentif kepada individu dari segi mengenakan kadar faedah yang lebih rendah iaitu diskaun kepada mereka yang mempunyai disiplin dan membayar hutang kad kredit mengikut jumlah minimum selama 12 bulan berturut-turut. Anda perlu ambil peluang diskaun ini dan membuat bayaran pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan setiap bulan. Perkara yang paling mudah untuk anda lakukan ialah membuat jadual dengan menggunakan Microsoft Excel untuk setiap hutang kad kredit yang anda perlu lunaskan. Jalankan simulasi bagaimana hutang anda sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minima. Jika anda tidak pasti, anda boleh merujuk kepada rakan yang lebih pakar. Awas! Jangan pula anda terpedaya dengan pihak yang cuba membuat duit untuk memberi khidmat nasihat kewangan dengan mengenakan caj yang tidak munasabah. Anda perlu menguasai langkah-langkah ini sendiri supaya ianya boleh diaplikasi sebagai satu penyelesaian yang kekal dan bukan berbentuk sementara.

Bayar hutang mengikut tarikh yang ditetapkan. Langkah ini adalah perlu kerana anda akan dikenakan denda lewat jika bayaran dilakukan selepas tarikh yang ditetapkan tidak kira jenis hutang. Bukan sahaja anda akan dibebani dengan denda lewat, rekod pembayaran hutang yang akan dihantar oleh bank dan institusi kewangan ke Bank Negara Malaysia akan menunjukkan rekod yang tidak bagus. Sekaligus, perkara ini mungkin boleh memberi kemudaratan yang lain. Jika jumlah hutang anda melebihi RM30,000 dan anda tidak dapat melunaskannya mengikut ketetapan oleh pihak bank, anda mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang dan berakhir dengan kebankrapan. Jika hal ini berlaku, rekod peribadi anda juga akan terjejas dan peluang anda untuk kekal dalam jawatan atau mendapat pekerjaan baru adalah sukar.

Jika ada wang lebih, bayar hutang! Gunakan wang bonus anda untuk melangsaikan hutang. Dengan cara ini, anda akan dapat mengurangkan jumlah baki pinjaman. Apabila jumlah baki pinjaman rendah, jumlah bayaran untuk faedah juga turut berkurangan. Oleh itu akan dapat melunaskan hutang dalam masa yang lebih pendek daripada tempoh asal. Jika anda mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk langsaikan hutang, gunakan cara ini. Buat kiraan samada simpanan anda akan memberi pulangan yang lebih lumayan atau sebaliknya. Jika kadar keuntungan daripada wang yang anda simpan lebih kecil daripada faedah yang dikenakan keatas hutang anda, inilah masanya untuk anda perlu berbuat sesuatu dan langsaikan hutang anda.

Anda juga perlu rajin mencari maklumat yang boleh menguntungkan anda dari segi mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang anda. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, akibat persaingan perniagaan yang amat sengit, kebanyakan bank menawarkan produk yang membolehkan anda memindah baki hutang kad kredit anda dengan sebuah bank kepada mereka tanpa sebarang faedah dikenakan. Ini akan menjimatkan anda dan anda bolehlah menggunakan sejumlah wang yang sepatutnya anda bayar faedah pinjaman untuk mengurangkan baki pokok hutang anda.

Anda mesti berbelanja dengan sebaiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan diminta untuk tidak berbelanja melebihi kemampuan diri. Contohnya membeli kasut yang berjenama. Memadai jika kita mempunyai kasut yang selesa untuk bergerak ke tempat kerja.
Di samping itu, setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah dengan perancangan. Anda digalakkan untuk membeli barang yang diperlukan sahaja. Bukan membeli semua barang yang kita suka. Pembaziran seperti ini akan menyebabkan anda berhutang dengan pihak lain untuk memenuhi nafsu berbelanja yang tinggi. Tambahan lagi, apabila musim gaji. Contohnya, perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik mendapat gaji bulanan adalah membayar hutang dan bil-bil bulanan. Seperti hutang kereta, hutang rumah, bil air, bil api dan sebagainya. Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Jangan pula belanjakan semua wang gaji yang diterima. Anda perlu membuat simpanan wang untuk kegunaan pada masa hadapan atau di waktu kecemasan. Kerana kita tidak tahu bila masa kita akan diduga dengan ujian yang hebat ini. Setidak-tidaknya, kita boleh mengeluarkan simpanan untuk kegunaan masa kecemasan dan bukan berhutang dengan pihak lain pula.
Tahukah anda bahawa anda boleh mendapat wang lebihan akibat daripada kenaikan harga rumah? Caranya ialah dengan membuat hutang baru tetapi bersandarkan aset iaitu rumah anda. Ya, memang anda sebenarnya tidak dinasihatkan untuk menambah hutang, tetapi dalam situasi ini, anda sebenarnya menggunakan peluang yang ada supaya anda dapat memindah jenis hutang daripada hutang kad kredit yang merupakan hutang yang paling mahal kepada jenis hutang yang lebih rendah caj faedahnya.

Apabila segala usaha untuk menangani bebanan hutang tidak membuahkan hasil dan anda menemui jalan buntu, masih ada lagi satu cara yang anda boleh ambil. Agensi Kemudahan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan anak syarikat Bank Negara Malaysia yang telah ditubuhkan bertujuan untuk menolong ramai rakyat menguruskan hutang mereka dengan lebih berdidsiplin dan teratur.

Tindakan diambil untuk penubuhan AKPK berdasarkan ramai rakyat Malaysia dibebani hutang kerana mereka tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menguruskan kewangan peribadi mereka serta disiplin diri yang kurang dalam hal-hal pengurusan kewangan peribadi. Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila kebanyakan institusi kewangan mengenakan caj faedah yang tinggi ke atas hutang kad kredit. AKPK akan menjadi pihak ketiga atau orang tengah untuk berunding dengan pihak institusi kewangan untuk menyatukan segala hutnag anda dan juga berunding supaya kadar faedah yang dikenakan ke atas hutang anda dapat dikurangkan. Dengan cara rundingan bersama ini, selalunya pihak bank akan lebih mengalah dan berstuju dengan cadangan ynag dibentangkan oleh AKPK. Apabila seseorang mendapat khidmat nasihat AKPK, bukan sahaja mereka akan mendapat tunjuk ajar bagaimana untuk melangsaikan hutang yang ada tetapi mereka juga diberi kaunseling dan ilmu pengetahuan untuk lebih arif tentang pengurusan kewangan peribadi mereka pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia