Tuesday, March 25, 2014

TIP JADI RAKAN SEKERJA DISUKAI RAMAI

Selain bersikap profesional, hubungan baik dengan rakan sekerja juga amat penting untuk mewujudkan suasana kerja harmoni. Bahkan, untuk menjadi seorang pekerja berjaya, hubungan seperti ini boleh dikatakan salah satu penyumbang utama ke arah kecemerlangan. Memandangkan kerjasama yang dijalinkan mampu melahirkan kehidupan positif untuk masa depan, kikis sikap cemburu, iri hati dan pilih bulu ketika di pejabat. Semak tip mudah ini jadilah rakan sekerja yang disukai ramai.

Ucap selamat pagi
Ucapan ini berperanan dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan mesra. Biarpun pada mula ada di antara mereka mula tersenyum dan mentertawakan tindakan awal anda ini, namun lambat laun mereka akan menerima dan menyenanginya. Jangan batasi ucapan salam tersebut, ia haruslah diteruskan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira pangkat dan jabatan mereka. Jika anda melakukan sebarang kesalahan ucaplah kata maaf dan terima kasih kepada mereka. Pasti mereka akan merasa diri dihargai.

Selesaikan tugas sepenuh hati
Tugas yang diberikan oleh ketua tanggungjawab perlu diselesaikan dengan sepenuh hati. Seandainya berlaku kesalahan yang tidak dapat dielakkan, janganlah mudah menuding jari kepada orang lain. Sebaliknya, selidiknya terlebih dahulu agar rakan sekerja tidak terasa hati dengan sikap anda.

Jangan sombong
Sesiapapun tidak mampu untuk hidup sendiri tanpa bantuan orang lain. Justeru, janganlah bersikap sombong dan hulurkanlah bantuan sekiranya teman sekerja memerlukan bantuan daripada anda. Sikap terlalu mementingkan diri hinggakan tidak peduli rakan sekerja yang dilanda masalah bukanlah satu sikap yang baik dan menguntungkan. Sebaliknya, anda dianggap seorang rakan yang sombong, ego dan tidak layak dijadikan kawan. Bantuan yang diberikan akan membuatkan mereka dihargai dan hubungan antara anda akan bertambah baik.

Elak hutang dengan kawan
Sebaiknya elak daripada berhutang dengan kawan-kawan. Sekalipun anda memang benar-benar kesempitan wang, carilah kawan yang benar-benar boleh dipercayai. Agar kepercayaan ini disimpan dalam hati dan tidak disebarkan kepada orang lain. Jangan liat melunaskan hutang, sebaliknya jujur dan maniskan mulut dengan ucapan terima kasih dan maaf saat anda membayar segala hutang anda ini.

Hargai privasi
Biarpun hubungan anda dengan rakan sekerja sudah terlalu akrab, namun hargailah privasi rakan. Jangan sampai anda bersikap kurang manis dengan terus melulu masuk ke biliknya tanpa mengira waktu dan masa yang sesuai. Selain itu, jangan baca e-mel orang lain dan surat dikirimkan tanpa keizinan serta minta izin terlebih dahulu sebelum mengambil dan meminjam sebarang peralatan di atas mejanya walaupun sebatang pen.

Murah hati
Jangan lupa membawa buah tangan buat teman sekerja sekiranya anda pulang ke kampung atau ditugaskan bekerja di luar kawasan. Biarpun harganya murah, namun mereka akan terasa dihargai dengan ingatan anda.

Tunjukkan simpati
Adakah anda sedar bahawa sebahagian besar masa anda dihabiskan bersama teman sekerja di pejabat? Oleh itu wujudkanlah suasana kekeluargaan bersama teman-teman sepejabat. Janganlah anggap mereka ini sekadar rakan sekerja, sebaliknya anggaplah mereka ini sebagai sahabat baik dan ahli keluarga sendiri.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...