MAKLUMAN PENTING!! Kepada ahli perpustakaan, anda DIWAJIBKAN membawa Kad Pengenal Pegawai untuk membuat pinjaman buku. Sekiranya tiada, sila buat kad tersebut di Bahagian Operasi Dan Kebombaan Negeri masing-masing. Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

Tuesday, March 18, 2014

ADIK HADIR, KAKAK@ABANG TERBUANG

Sifat mencemburui saudara kandung sendiri andai tidak dikawal boleh mengundang bahaya dalam hubungan. Sering kali diperhatikan, anak sulung akan mula menjauh hati apabila hadirnya seorang adik. Barangkali si sulung ini merasakan kasih sayang ibu dan ayah yang mulai terbahagi dua. Jika sebelum ini sepenuhnya kasih dicurahkan padanya, kini tidak lagi. Andai tidak dibendung, nanar itu akan terus membengkak sehinggalah usia anak meningkat remaja. Cemburu terus merajai hati seorang kakak atau abang. Lalu apa penyelesaian terbaik untuk berhadapan konflik mencemburukan saudara sendiri ini.

Terima kehadiran adik dengan lapang dada
Untuk mendidik perasaan agar tidak mencemburui adik kandung sendiri? Memerlukan latihan hati. Ajar diri sendiri agar menerima setiap perbuatan adik dengan lapang dada. Bertolak ansur adalah cara yang paling baik. Tidak salah seorang kakak beralah dengan adik sendiri. Siapa tahu kelak, adik itu yang akan membantu menyelesaikan masalah anda.

Berfikiran terbuka
Andai orang tua melebih-lebihkan adik, jangan pula terasa dengan tindakan mereka. Barangkali mereka tidak sedar atau sudah terbiasa berbuat demikian. Mereka tidak sedar bahawa anda juga memerlukan perhatian daripada mereka. Ajarlah diri sendiri untuk lebih bersabar dan menerima tindakan dengan fikiran terbuka.

Air yang dicincang tidak akan putus
Anda sebenarnya perlu percaya dengan pepatah ini. Walau sekeras mana pun hubungan anda dengan adik, percayalah pertalian darah antara kalian tidak mungkin dipisahkan dengan hubungan renggang itu. Suatu hari nanti, ia pasti akan bercantum semula.

Belajar menjadi matang
Andai ketegangan tidak dapat dirungkaikan, sebaik-baiknya belajar untuk menjadi seorang yang matang. Anggaplah setiap tindakan adik yang menyakitkan itu hanyalah sekadar mahu meraih perhatian anda. Apabila anda mula melatih diri menjadi seorang yang matang, anda tidak akan mengambil hati dengan setiap perkara kurang enak yang berlaku antara anda dan adik. Sesungguhnya anda tidak mampu mengawal keadaan di sekeliling, namun anda berupaya mengawal diri anda sendiri.

Elakkan memberontak
Orang di sekeliling pasti akan mempunyai gambaran tersendiri mengenai diri anda. Yang pasti hanya anda yang tahu hakikatnya perasaan dan diri anda ketika ini. Andai anda membiarkan orang di sekeliling mengawal pemikiran dan perasaan anda, ia adalah kesilapan besar. Sebaik-baiknya, bertenang dan bertindaklah agar orang tua lebih senang dengan anda. Jangan sesekali memberontak.


MENGAPA WUJUD PILIH KASIH?
Tiada ibu dan ayah mahu membezakan kasih antara anak-anaknya. Namun, perasaan itu pasti akan muncul juga di kalangan anak-anak. Ketahui apa penyebabnya.

Cemburu
Sama ada ia disebabkan cemburu kerana ibu melebihkan adik, kakak atau sebaliknya. Kecemburuan yang tidak dibendung inilah akhirnya menyebabkan perselisihan faham yang berpanjangan.

Tidak berpuas hati
Setiap pembahagian daripada orang tua anda anggap tidak berlaku adil. Misalnya ibu melebihkan barangan adik disebabkan mahu anda beralah dengan adik. Ada kalanya ibu melebihkan kakak kerana mahu anda menghormati si kakak. Keadaan itu menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati di jiwa anak-anak.

Rapuhnya institusi kekeluargaan
Apabila hubungan kekeluargaan semakin renggang, setiap ketidakpuasan hati yang berlaku di kalangan anak-anak akan menjadi besar. Ibu bapa perlu memainkan peranan menjadi orang tengah untuk mendamaikan pertelagahan.

Jangan membanding
Sikap ibu bapa yang suka membandingkan antara anak-anak juga boleh menjadi penyebab emosi anak-anak terganggu dengan sikap pilih kasih. Sebaik-baiknya ibu menghargai setiap kelebihan dan menerima setiap kekurangan anak mereka.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia