NEW YORK : Pakar menyatakan menggunakan minyak masak tertentu lebih baik daripada yang lain dan kajian terbaru mendapati minyak yang digunakan berulang kali meningkatkan risiko kesihatan.
Penyelidik Sepanyol mendapati orang yang sering menggunakan semula minyak masak yang sudah terpakai lebih berisiko menghidap penyakit darah tinggi berbanding mereka yang sering menggunakan minyak masak baru bagi setiap masakan. Kajian juga mendapati orang yang sering menggunakan minyak masak bunga matahari lebih tinggi berisiko menghidap darah tinggi tetapi penggunaan lebih banyak minyak zaitun kelihatan dapat melindungi seseorang daripada penyakit itu.
Berdasarkan kejadian itu, penyelidik Dr. Federico Soriguer dari Hospital Civil Plaza di Malaga mencadangkan supaya tukang masak menggunakan minyak zaitun sekerap mungkin dan membuang minyak itu selepas dua atau tiga kali digunakan.
Meskipun minyak zaitun sering dianggap sebagai bahan perisa yang sihat untuk makanan, kajian itu mendapati penggunaan minyak masak yang terpakai akan mengakibatkan kesan baik pada minyak zaitun akan hilang.
Ramai daripada peserta kajian itu mengikuti diet Mediterranean yang banyak menggunakan minyak zaitun dalam masakan dan dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan, lapor Jurnal Zat Pemakanan Klinikal Amerika.
Soriguer menjelaskan mereka yang mengamalkan diet itu sering memakan masakan yang digoreng menggunakan minyak yang banyak. Bagaimanapun apabila minyak yang sama digunakan berulang kali atau dipanaskan beberapa kali, minyak itu sudah kehilangan manfaatnya mengeluarkan sejenis polimer dan sebatian terkutub yang diserap dalam makanan.
Untuk meyukat kesan penggunaan minyak masak berulang kali, Soriguer dan pasukannya mengkaji paras polimer dan sebatian terkutub itu daripada sampel minyak yang diambil terus dari dapur 583 penduduk. - Agensi
Info : 1 Suara Sabah
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...