MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Friday, August 3, 2012

Formula Kerja Berpasukan

1. Jadilah manusia
Jangan berlagak hebat dan serba boleh. Anda tidak perlu menjadi "superhero" untuk mengajak mereka bekerja bersama-sama dengan anda. Jika tidak tahu, katakan tidak tahu. Bersedia untuk merendah diri dan belajar daripada orang lain, kerana hanya lembah yang rendah sahaja yang boleh menakung air. Malah, rakan-rakan anda akan lebih senang serta mempercayai anda jika anda ikhlas dan jujur. Mereka tidak mengharapkan kesempurnaan, cukup jika anda melakukan yang terbaik.

2. Jadilah Diri Anda
Bekerjalah mengikut cara anda sendiri. Berusaha untuk menjadi "diri sendiri yang hebat", tetapi bukan untuk menunjuk-nunjuk. Jangan membuang masa dengan bersusah payah melakukan perkara yang tidak serasi dengan anda kerana perbuatan hipokrit tidak boleh bertahan lama. Semua orang lain memandang dan memerhati anda. Mereka akan tahu jika ada yang tidak kena.

3. Berlaku Adil
Pastikan rakan-rakan anda sentiasa "dilayan" dengan adil, tanpa melebihkan sekelompok yang lain. Jangan pula anda menunjukkan bahawa anda lebih menyukai seseorang lebih daripada orang lain, keranaia boleh menimbulkan rasa iri hati dan tersisih. Anda perlu prihatin terhadap sebarang perasaan prejudis dan berat sebelah dalam setiap perbuatan serta keputusan anda. Elakkan daripada membuat kesimpulan segera tanpa mengambil kira pandangan semua orang. Anda juga perlu sentiasa menunjukkan sokongan, bukan herdik mengherdik dan memperlekehkan mereka.

4. Bina Ikatan Ukhuwah Yang Indah
Persaudaraan satu aqidah adalah konsep yang sungguh murni dan indah. Itulah ukhuwah yang diajar oleh Al-Quran untuk kita sama-sama hayati. Kita adalah daripada keturunan Adam yang sama dan percaya kepada pegangan yang sama. Hayatinya di tempat kerja, di kawasan kejiranan dan di mana-mana sahaja. Ia pasti akan mencetuskan kuasa kerja berpasukan yang hebat dan bertenaga.

5. Bayar Dengan Keyakinan Dan Rasa Hormat
Walau apa pun jawatan dan pangkat anda, jangan anggap orang lain akan terus menghormati dan meyakini anda. Bagaimana untuk mendapatkannya? Caranya ialah andalah yang mesti memberikannya terlebih dahulu. Berikan keyakinan dan hormatilah rakan-rakan anda, nescaya mereka pun akan melakukan perkara yang sama.

6. Bertanya Dan Minta Pertolongan
Jangan malu untuk bertanya dan meminta pertolongan orang lain, kerana semua manusia memang saling memerlukan. Sangat penting untuk anda berkongsi masalah dan pendapat dengan orang lain, kerana ia akan membantu untuk mendapatkan penyelesaian-penyelesaian yang lebih mengagumkan.

7. Jadilah Orang Yang Boleh Dipercayai
 Ini adalah sifat yang paling penting bagi Nabi Muhammad iaitu boleh dipercayai. Untuk mendapatkan sifat ini anda perlu ikhlas dan jujur. Buat dan yakin dengan apa yang anda ucapkan, Jangan sesekali menipu atau merosakkan pemikiran orang lain. Cakap apa yang anda fikirkan (tetapi anda juga mesti fikir apa yang anda akan cakapkan). Kotakan apa yang anda katakan dan jangan cakap apa yang anda tidak boleh kotakan. Jangan seskali bermulut tempayan dengan membongkar rahsia orang lain.

8. Kenali Rakan-Rakan Anda
Anda perlu faham bahawa setiap orang berbeza antara satu sama lain. Berhenti melabel orang lain sebelum mengenali mereka. Jangan tangkap pukal, layanlah mereka sebagai "individu" yang mempunyai kelebihan masing-masing. Luangkan masa untuk mengenali dan bergaul dengan mereka kerana ini akan memberikan kesan yang besar dalam hubungan sesama manusia.

9. Galakkan Penyertaan Semua
Jangan sesekali memandang rendah keupayaan orang lain. Libatkan mereka dan galakkan agar semua memberikan sumbangan masing-masing. Anda tidak akan rugi apa-apam bahkan ia akan membuahkan hasil yang amat hebat. Jangan sekat kreativiti mereka dengan menutup pintu kebebasan untuk bersuara dan menyumbang. Tetapi anda juga harus ingat, setiap kali anda meminta sumbangan mereka, jangan buat acuh tidak acuh. Ambil berat dan berikan tumpuan kepada mereka. Ini akan membuatkan diri mereka rasa dihargai.

10. Bantu Membantu Untuk Berjaya
Sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada mereka. Tunjukkan kepada mereka bahawa anda mahukan mereka berjaya dan maju dalam hidup. Ini akan memberikan mereka motivasi yang kuat, Elakkan daripada mengkritik membabi buta, kerana ini akan melemahkan mereka. Anda juga perlu membantu mereka agar tidak melakukan kesilapan, walaupun ini akan sering berlaku dan berlaku. Tumpukan agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan.

11. Istiqamah dan Konsisten
Anda perlu konsisten apabila bekerja dengan orang lain supaya mereka tahu dan "masak" dengan budaya anda. Jika anda tidak konsisten, maka orang lain akan terus hidup dalam kekeliruan dan kebingungan. Tetapkan satu budaya dan beristiqamahlah dengannya. Ini akan banyak membantu anda menguruskan hidup untuk menuju kejayaan.


Sumber rujukan : Majalah Solusi Isu No. 21/2010

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia