Apa perasaan anda apabila anda diberhentikan kerja bukan atas faktor disiplin atau prestasi kerja anda, tapi sebaliknya syarikat di tempat anda bekerja tidak dapat untuk bertahan dan perlu mengurangkan pekerja demi kelangsungan hayatnya.
Anda adalah merupakan salah seorang insan yang terpilih dan suka ataupun tidak, anda perlu mengemas barang peribadi dan menyerahkan semua dokumen tertentu kepada pihak syarikat.
Bukan mudah untuk bertenang dan berfikiran waras terutamanya jika anda adalah merupakan satu-satunya tunggak kewangan keluarga. Jika silap percaturan, mungkin ada yang mengalami kemurungan lantas mungkin akan berlakunya perkara yang tidak diingini berlaku seperti membunuh diri.
Mungkin anda boleh cuba teknik ini bagi meredakan kekusutan di jiwa. Masalah tidak akan semudah itu untuk diselesaikan tapi dengan adanya teknik ini, sekurang-kurangnya mampu membantu anda untuk mengharungi saat getir ini dengan sewarasnya.
Perbaiki hubungan kerohanian
"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya."
(Al-Baqarah : 286)
Allah SWT telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa Dia tidak akan sesekali menguji hamba-Nya. Allah juga mengetahui keupayaan kita dalam mendepani ujian-Nya. Jika sebelum ini urusan solat lima waktu pun boleh dibilang jumlah pelaksanaannya dalam satu hari. Apa kata mulakan kembali rutin wajib seorang Muslim itu. Jadikan momen ini sebagai ruang untuk muhasabah diri dan perbaiki hubungan kerohanian seorang hamba kepada Allah SWT.
Hubungan ibu bapa
Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, apa kata hubungi mereka dan luahkan segala yang terbuku di dada. Jadikan momen istimewa ini sebagai sesi luahan rasa yang istimewa. Nasihat dan titipan doa sarat kasih sayang amat diperlukan tanpa mengira berapa usia anda sekalipun. Selagi anda mempunyai kedua orang tua, hubungilah mereka. Kajian melaporkan hanya dengan satu panggilan dan nasihat serta doa yang baik daripada kedua orang tua akan dapat mengurangkan sebahagian kekusutan di dalam jiwa anda.
Usap cuping telinga
Mungkin kedengaran agak lucu, tapi tahukah anda dengan mengusap telinga anda sebenarnya membantu diri anda meredakan tekanan. Usapan lembut di cuping telinga membebaskan endorfin dalam otak dan membuatkan ada berasa lebih tenang. Caranya? Gosok kawasan luar telinga dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit kawasan tersebut ke atas dan kemudian kawasan pada belakang telinga.
Hidu buah
Bersifat seperti aromaterapi natural, jadikan buah-buahan sitrus dan epal hijau terutamanya sebagai buah terbaik untuk dihidu. Tahukah anda aroma alami yang terdapat pada buah epal dan limau dapat membantu meredakan sakit kepala dan tekanan. Kajian juga merekodkan pesakit migrain boleh mengurangkan masalah yang dihadapi dengan bauan epal dan limau.
Penghargaan diri
Mungkin sebelum ini, anda terlupa diri anda juga perlu mendapat penghargaan. Jangan lupa hargai diri sendiri, jika orang di sekeliling anda tidak meletakkan anda di tempat selayaknya. Jika aiskrim pelangi membahagiakan anda, apa kata beli dan nikmatinya. Walaupun kedengaran seperti remeh dan merepek, anda berhak untuk menghargai diri sendiri.
Sayangi diri sendiri
Elakkan dari mengurung diri, murung, menjauhkan diri serta memencilkan diri. Gali kelebihan diri yang mungkin selama ini ada, tetapi belum digilap sempurna. Manfaatkan kemahiran bertukang, memasak, fotografi dan pelbagai kemahiran lain untuk memajukan diri. Mungkin dengan usaha yang berterusan, anda dapat menjana pendapatan sendiri.
Lihat pemandangan hijau
Kajian menunjukkan dengan melihat alam, dapat menenangkan minda. Anda boleh melihat lautan ombak, titisan hujan atau apa saja yang akan menyumbangkan kepada ketenangan minda. Lihatlah alam lebih kurang 20 minit setiap hari dan anda akan mula merasa perbezaannya. Jika berada di hutan konkrit, lihatlah kawasan hijau di luar pejabat. Keluar sebentar untuk melihat alam semula jadi. Jika berkemampuan, pergilah bercuti. Cas semula semua ion tenaga aura positif sebanyaknya.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...