Pada 8 Julai 2019 yang lalu, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah menganjurkan lawatan ke Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam bersempena dengan Program Dekan Membaca Kebangsaan 2019. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan literasi membaca dalam kalangan rakyat di negara ini dan khususnya warga KPKT. Kami tiba di perkarangan lobi Perpustakaan Raja Tun Uda pada pukul 10.00 pagi dan pada pukul 10.30 pagi kami diberi taklimat mengenai PPAS oleh Encik Mohamed Fadzli Bin Mohd Fauzi dan Puan Nor Chempawan Binti Mat Abu.
Kemudian kami dibawa melawat keseluruhan tempat PPAS, antaranya Bahagian Kanak-Kanak, Bahagian Remaja, Bahagian Dewasa, Bahagian Rujukan, Gimnasium, Rumah Ngaji@PPAS, Selangor Info Hub dan Bilik Life Sketch Book. Untuk pengetahuan anda, setiap aras yang menempatkan bilik dan buku, anda perlu membuka kasut dan PPAS adalah satu-satunya perpustakaan awam yang perlu membuka kasut. Rak kasut dan beg telah disediakan oleh pihak PPAS untuk kegunaan anda, samada anda boleh tinggalkan di ruang yang telah disediakan atau membawanya masuk ke dalam ruangan membaca..
Antara yang menarik perhatian kami adalah Bilik Life Sketch Book di mana lukisan anda akan dipaparkan secara maya di dinding. Anda akan diberi peluang untuk mewarna pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan yang telah dipasang secara maya di dalam komputer, kemudian lukisan anda akan dipaparkan pada dinding.. Harga untuk perkhidmatan ini hanyalah RM10/seorang untuk jangkamasa 15 minit..
PPAS ini telah mengamalkan gaya hidup sihat dengan menyediakan dua gimnasium mini dan satu gimnasium utama dengan berkonsepkan Healthy Body, Healthy Mind. Gimnasium utama terletak di aras lower ground, manakala gimnasium mini pula ditempatkan di aras 3 (untuk wanita sahaja) dan aras 4 (untuk lelaki sahaja) dengan bayaran yang tertentu.
Jika anda ingin meluangkan masa dengan anak-anak, PPAS adalah tempat yang terbaik untuk pembelajaran anak-anak. PPAS menyediakan pelbagai kemudahan dan sudut yang menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Interaktif dan Zon Siber.
Rumah Ngaji@PPAS adalah satu initiatif yang dimulakan oleh pihak Karangkraf, Warisan Ummah Ikhlas dan Akademi Sinergi Ikhlas. Rumah Ngaji@PPAS adalah projek kerjasama antara PPAS dan Karangkraf, dimana satu sudut disediakan banyak jenis Al Quran termasuk terjemahan dan digital untuk pengguna. Sekiranya mereka ingin belajar lebih mendalam lagi maka PPAS dengan kerjasama Warisan Ummah Ikhlas dan Akademi Sinergi Ikhlas akan menyediakan kelas untuk pelbagai peringkat. Ini merupakan projek sulung bersama Karangkraf dalam membina budaya baca dan faham Al Quran dan amalkan terus. Nama program untuk faham Al-Quran ini ialah B.B.Q (Baca Bincang Quran).
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...