Golongan peniaga yang tinggal di pedalaman atau jauh dari pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini lebih mudah memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan mereka kerana tidak lama lagi urusan itu boleh dilakukan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berdekatan.Inisiatif ini adalah hasil kerjasama SSM dan BSN bertujuan memudahkan komuniti peniaga yang mungkin sukar mengunjungi pejabat SSM kerana terletak jauh dari tempat tinggal mereka.
Usaha sama SSM dan BSN ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan “Program Outreach SSM Bersama Masyarakat FELDA” di Dewan Orang Ramai, FELDA Mayam, Bera, Pahang, pada 23 April lalu.
Program Outreach SSM Bersama Masyarakat FELDA ini adalah satu program kolaborasi yang julung kalinya diadakan antara SSM dengan pihak FELDA Wilayah Mempaga, Bera.
Sejak dilaksanakan pada 2006, Program Outreach SSM memberi peluang SSM mendekatkan diri kepada masyarakat awam bagi memastikan orang ramai memahami peranan dan fungsi SSM secara mendalam.
Program ini dilaksanakan secara meluas bukan hanya setakat di kawasan sekitar Lembah Klang saja malahan diperluaskan ke seluruh negara melalui Pejabat Negeri SSM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam serta Swasta.
Di samping itu, program outreach ini diperluaskan dengan menjemput Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan agensi di bawahnya seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad dan Maktab Kerjasama Malaysia (MKM). Turut serta agensi lain seperti BSN, CELCOM, TEKUN dan MARA untuk mengadakan pameran dan memberi taklimat berkaitan operasi mereka.
Dalam program yang sama orang ramai yang ingin menjalankan perniagaan atau mempunyai perniagaan tetapi masih belum berdaftar dengan SSM diingatkan supaya mendaftarkan perniagaan mereka dengan segera. Setiap bentuk perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesyen atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud mendapatkan keuntungan wajib berdaftar dengan SSM terlebih dulu.
Kegagalan untuk berbuat demikian adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(1) (a) Akta Pendaftaran Perniagaan (APP) 1956 yang membawa denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengunjung yang hadir pada program ini boleh mendaftarkan perniagaan baru ataupun memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan dan melakukan perubahan butir-butir perniagaan secara serta merta melalui kaunter bergerak SSM yang disediakan.
Bagaimanapun, bagi yang tidak berkesempatan hadir ke program ini ataupun mengunjungi pejabat SSM yang berdekatan; orang ramai masih boleh mendaftarkan perniagaan mereka di kaunter bergerak pendaftaran perniagaan SSM. Jadual perkhidmatan kaunter bergerak ini boleh didapati dengan melayari laman web SSM di www.ssm.com.my
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin, berkata ini adalah pertama kali SSM berganding bahu dengan masyarakat FELDA menganjurkan program sebegini.
“Ini adalah satu titik permulaan yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam melahirkan usahawan di kalangan masyarakat FELDA,” katanya.
Beliau berkata, pada setiap program Outreach SSM, lazimnya aktiviti yang dilakukan adalah seperti taklimat berkaitan keperluan mendaftarkan perniagaan dan memperbadankan syarikat. Namun kali ini, terdapat sedikit kelainan di mana SSM menambah satu lagi taklimat yang menyentuh tentang skim kepentingan.
“Inisiatif ini diambil bagi mendedahkan kepada orang ramai tentang apa itu skim kepentingan dan kaitannya dengan skim cepat kaya atau skim pelaburan yang tidak sah di sisi undang-undang. Dengan adanya pendedahan sebegini ia akan memberi gambaran jelas kepada masyarakat pengguna untuk menilai skim yang boleh dijadikan sebagai perniagaan ataupun diceburi mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Azmi berkata, program kali ini juga lebih menarik kerana SSM menjemput beberapa peniaga tempatan yang juga anak peneroka FELDA untuk menjual hasil produk mereka di sini.
“Dengan sokongan mereka ini diharapkan dapat dijadikan contoh kepada masyarakat FELDA yang lain untuk menceburi bidang keusahawanan. Sebenarnya pihak kami berhasrat untuk menjemput dan membuka kepada lebih banyak penyertaan kepada peniaga lain tetapi ruangan agak terhad,” katanya yang berhasrat mengadakan program secara lebih besar pada masa hadapan.
Sumber: Berita Harian, 14 Mei 2011
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...