“PENING kepala nak cari idea deko yang sesuai dengan rumah saya, ni.
Ruang sempit, tak banyak yang boleh saya lakukan tetapi geram apabila
tengok barang perhiasan yang cantik dengan warna kegemaran. Huh,
mencabar betul!”
Ya, menatahias rumah memang mencabar, apatah lagi jika ruang kediaman terhad. Panduan berikut ini mungkin boleh membantu anda memiliki dekorasi idaman.
• Seimbang dan harmoni
Keseimbangan dan keharmonian penting dalam menghias pangsapuri. Perabot,
kemasan, dan aksesori harus seiring dengan skema dekorasi anda. Tidak
semestinya perlu sama nanti hilanglah kreativiti dalam tata hias rumah
anda.
• Deko rumah bukan bilik
Memandangkan keluasan terhad, berikan penekanan pada hiasan rumah anda,
bukan hanya bilik. Daripada pening memikirkan konsep hiasan bagi setiap
bilik atau ruang, anda hanya perlu menghias keseluruhan dalaman rumah
dengan tema, gaya atau warna yang digemari untuk mendapatkan flow
dekorasi yang diidamkan. Anda boleh memilih warna dinding terang untuk
satu bilik. Gunakan warna sama pada bedding set di dalam bilik lain.
Kemudian, hias ruang tamu dengan bantal kecil pada sofa atau hamparan
(menggunakan skim warna sama).
• Kualiti dan jenama
Tidak perlulah menghias setiap sudut dengan perabot dan aksesori
berjenama. Elakkan daripada menggandingkan barang murah bersama yang
mahal kerana ini hanya hanya menampakkan lagi ‘murahnya’ barang itu.
• Minimalis
Pemilihan dan susun atur perabot serta aksesori hiasan yang kemas, ringkas juga selesa akan kelihatan lebih bergaya dan mahal. Gaya hiasan ini menepati ciri dekorasi moden yang elegan.
• Suai padan
Ruang tamu anda yang dipenuhi dengan produk daripada satu jenis sahaja
membuat dekorasi rumah anda kelihatan ‘keterlaluan’. Suai dan padankan
barang sedia ada atau daripada pelbagai jenama. Begitulah pakar hiasan
dalaman melakukannya agar dekorasi tampil lebih berkesan.
• Kurangkan ukuran untuk lebih luas
Sesuaikan ukuran perabot dengan bilik. Jika bilik kecil dan sempit, anda
hanya memerlukan perabot bersaiz kecil. Bagi menambah seri, anda boleh
menggantung lukisan bersaiz besar untuk mencipta ilusi bilik yang luas.
• Masa dan pilihan
Sebaik sahaja melangkah ke kediaman baru, anda mungkin terus berfikir
untuk membeli perabot dan aksesori bagi memenuhi ruang ada. Kemungkinan
pencarian kali pertama
anda akan gagal menemui barang yang diingini. Akhirnya, anda memilih
sesuatu yang kurang sesuai untuk keperluan rumah anda atau berbelanja
lebih daripada bajet. Justeru, ambil masa hingga anda barang benar
sesuai dengan cita rasa dan kediaman anda.
• Jangan berlebihan
Tiada salahnya jika anda mahu menampilkan warna terang dan bentuk unik
untuk menarik pandangan. Ini memang akan menjadi lambang cita rasa anda
dan mempunyai mesej tersendiri. Bagaimanapun, jangan berlebihan.
Tonjolkan gaya dekorasi impian anda secara sederhana dan seimbang. Ini
kerana, jika terlalu banyak, ruang menjadi berserabut atau semak.
Misalnya, anda hanya perlu meletakkan satu koleksi pasu di ruang tamu,
pasti lebih unik.
• Fokus ruang
Selain menjadi tempat berehat, ruang tamu sering menjadi simbol cita
rasa peribadi pemilik rumah. Ruang tamu diberi perhatian dalam hal
dekorasi kerana kepelbagaian fungsinya. Bagi memenuhi kegunaan ruang
yang menjadi tumpuan seisi keluarga dan tetamu ini, pelbagai jenis
aksesori (perabot dan peralatan) digunakan untuk menampilkan ruang lebih
bergaya dan menarik.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...