Peningkatan beban hutang isi rumah di negara ini adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan. Keperluan hidup yang semakin mendesak di samping kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa masyarakat memilih untuk berhutang. Hutang isi rumah merupakan hutang yang dibuat oleh isi rumah melalui pinjaman daripada institusi kewangan bagi tujuan tertentu. Hutang ini merupakan satu liabiliti atau tanggungan yang perlu dibayar balik pada masa akan datang.
Hutang isi rumah negara pada tahun 2013 mencatatkan nisbah hutang isirumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras tertinggi berbanding negara-negara membangun di Asia iaitu sebanyak 83%. Bagi komposisi hutang isi rumah untuk empat tahun berturut-turut (2010-2013) mengikut pengelasan peratusannya menunjukkan bahawa pinjaman perumahan merupakan kategori pinjaman yang paling tinggi diikuti dengan pinjaman kenderaan, peribadi dan kad kredit. Persoalannyaa apakah punca utama kepada tren peningkatan hutang isi rumah hari ini?
Selain daripada berhutang untuk memenuhi keperluan dan kehendak, tidak dapat dinafikan peningkatan hutang isi rumah ini juga timbul natijah daripada sistem ekonomi semasa yang turut menggalakkan perkembangan industri hutang. Sistem ekonomi yang bersandarkan industri hutang dilihat turut merancakkan masyarakat terus berhutang. Ini bermakna selagi sistem ini terus diamalkan, maka tren peningkatan hutang sama ada di sektor isi rumah, sektor kerajaan mahupun di sektor swasta akan terus meningkat dengan implikasinya yang akan memporak-perandakan kehidupan kita dan generasi akan datang. Malah dengan kemunculan produk-produk perbankan pengguna yang semakin inovatif dan mudah diakses seperti pinjaman peribadi, “over draf” dan kad kredit, turut dilihat bertambahnya peningkatan kes-kes muflis dalam kalangan umat Islam. Rentetan daripada isu itu mampukah masyarakat menolak sistem ekonomi yang ada sekarang? Dan apakah dengan menolak sistem tersebut dapat mengubah tren peningkatan statistik hutang isi rumah di negara ini?
Pun begitu, kegagalan mengurus dan merancang kewangan turut dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah berhutang dalam kehidupan. Statistik daripada Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati sebab utama kegagalan membayar hutang ini adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah. Maka di sinilah amalan pengurusan kewangan berhemat perlu diterapkan sebagai budaya hidup. Ilmu pengurusan kewangan merupakan aset dan satu keperluan yang amat penting bagi setiap individu dan perlu dipupuk sedari kecil lagi.
Pengurusan kewangan adalah satu kemahiran yang amat penting bagi setiap individu kerana ia turut membantu menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik), untuk membebaskan diri daripada belenggu hutang. Ia memerlukan satu kemahiran bersama semua pihak termasuk ibu bapa dan penerangan daripada agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu masyarakat sedar terhadap kepentingan pengurusan kewangan dan juga menabung. Tujuan menyimpan dan menabung secaranya amnya adalah untuk perbelanjaan di masa hadapan atau sekiranya berlaku kecemasan.
Dengan adanya simpanan, kita tidak perlu mencari sumber-sumber lain, contohnya dari sumber hutang atau terpaksa menjual harta-harta lain yang kita perlukan, semata-mata untuk memenuhi keperluan perbelanjaan yang mendesak atau kecemasan. Amalan menabung juga boleh membantu kita untuk membina kekayaan, yang mana, hasil tabungan boleh kita laburkan untuk memperoleh pendapatan pasif.
Dalam hal ini, Allah SWT telah menurunkan dua ayat yang cukup indah dan secocok dengan kehidupan manusia pada hari ini. Firman Allah SWT dalam ayat 47-48 Surah Yusuf: “Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”
Menurut riwayat, kedatangan musim kemarau selama tujuh tahun, menjadikan bumi kering, tanaman tidak menjadi dan melanda beberapa buah Negara. Penduduk Mesir amat beruntung kerana Nabi Yusuf telah meramalkan tentang musim kemarau dan telah bersedia melengkapkan gudang-gudang makanan yang banyak sebagai persediaan musim kemarau. Berkat simpanan atau tabungan ini dapat juga dikongsi dan dinikmati oleh rakyat yang tinggal bersempadan dengan negeri Mesir. Ayat-ayat ini tersusun indah untuk menyeru manusia agar sentiasa mengamalkan tabiat menabung yang bukan sahaja untuk memenuhi keperluan di kala berlaku kecemasan, bahkan dapat membina kekayaan untuk masa hadapan.
Oleh yang demikian, masyarakat juga perlu mendisiplinkan diri dengan menabung. Sekurang-kurangnya menabung antara 5 hingga 10 peratus daripada pendapatan dan perlu dilakukan secara disiplin. Untuk memudahkan tujuan ini, potongan gaji bulanan boleh dilakukan seperti potongan ke Tabung Haji atau ke akaun simpanan tetap. Perlu diingat menabung bukan hak keistimewaan orang yang bergaji besar sahaja. Tidak salah untuk memulakan tabungan dengan jumlah yang kecil kerana usaha itu adalah lebih baik dan mulia daripada tidak memikirkan langsung tentang perlunya menabung.
Dari segi pelaburan, masyarakat yang ingin melabur dinasihatkan supaya memastikan kewangan mereka kukuh terlebih dahulu. Hal demikian kerana pelaburan adalah satu risiko yang perlu diambil oleh penghutang. Masyarakat harus tahu bahawa terdapat risiko dalam pelaburan ini kerana kadar dividen mungkin lebih rendah daripada kadar keuntungan pada masa hadapan. Ini kerana pulangan pada masa hadapan adalah tidak menentu. Justeru, dalam mengurus kewangan secara berhemat masyarakat perlu memikirkan jika terdapat lebihan dalam pendapatan baru mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk melabur atau sebaliknya.
Selain itu, sebagai umat Islam panduan Maqasid Syariah amat berguna khususnya untuk membuat keputusan kewangan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Contohnya, jika seseorang ingin membeli sebuah kereta, ciri-ciri kereta tersebut perlu dipadankan dengan bertanyakan soalan adakah ia untuk keperluan asas, kemudahan atau kemewahan? Maka dengan itu, keputusan akan dibuat berdasarkan kedudukan kemampuan kewangan kita dan apakah keperluan kita pada masa ini dan masa depan. Hasilnya kita akan membeli sesuatu yang terbaik untuk kita dan keluarga, mengikut kemampuan kewangan yang ada. Justeru, panduan Maqasid ini perlu kita terapkan dalam minda kita agar ia dapat menjadi satu panduan pada bila-bila masa sahaja apabila kita berdepan dengan cabaran untuk berbelanja atau membuat sebarang keputusan yang melibatkan soal kewangan.
Amalan pengurusan secara berhemat bukan sahaja dapat memupuk amalan berjimat cermat dan tidak membazir, bahkan kita dapat mengukur kewangan diri sebelum membuat keputusan untuk berbelanja. Berbelanjalah mengikut kedudukan kemampuan kewangan diri bukan mengikut rentak perbelanjaan orang lain. Ingatlah pepatah kita “ukur baju di badan sendiri”.
Sumber artikel : http://www.ikim.gov.my/index.php/en/berita-harian/9063-pengurusan-kewangan-berhemat-sebagai-budaya-hidup
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...