Pelbagai cara manusia diberikan penghormatan
dan kemuliaan. Ada manusia yang dimuliakan kerana pangkat dan kebesaran. Ada
manusia yang dimuliakan kerana kebaikan dan kemurahan hati dan ada manusia yang
dimuliakan kerana keturunan, tetapi kemuliaan yang paling berharga dalam
kehidupan seseorang ialah kerana ilmu dan amalannya. Insan seperti ini
sebenarnya bukan sahaja dimuliakan antara sesama manusia bahkan Allah juga
turut memuliakannya. Ini jelas sebagaimana firman Allah di dalam Al-Mujadalah
ayat: 11 yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila
diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain),
maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (serba-serbinya)
untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah
meninggikan darjah orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengethauan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjah dan
(ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan."
Oleh
itu, sementara hayat dikandung badan, nadi masih berdenyut dan kesihatan masih
mengizinkan, marilah kita merebut kesempatan ini untuk menuntut ilmu sebanyak
mungkin kerana semakin banyak ilmu yang kita dapat maka semakin banyak amalan
yang boleh kita lakukan.
Kalau
kita terpaksa bersusah payah kerana mendapatkan ilmu maka hadapilah ia dengan
penuh bersemangat kerana mendapatkan ilmu itu lebih penting daripada segalanya.
Oleh itu andai wang ringgit menjadi syarat mendapatkan ilmu maka korbankanlah
barang seringgit dua kerana ilmu yang kita dapat sudah pasti tidak dapat
dinilai dengan wang ringgit. Andai masa terpaksa kita korbankan kerana
mendapatkan ilmu maka luangkanlah sedikit masa untuk tujuan yang mulia ini kerana
masa yang kita buangkan tidak sama dengan ilmu yang kita perolehi. Ingatlah
bahawa menuntut ilmu adalah permulaan jalan ke syurga. Rasulullah s.a.w
bersabda:
"Ertinya : Sesiapa sahaja yang merintis
jalan kerana menuntut ilmu maka Allah membuka kepadanya jalan ke syurga". (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya kelebihan orang yang berilmu
amat banyak sekali. Saidina Ali pernah berkata kepada seorang yang bernama
Kamil : "Wahai Kamil ilmu itu baik dari harta kerana ilmu menjaga kamu sedangkan
harta kamu yang menjaganya. Ilmu menjadi hakim sedangkan harta dihukumkan
atasnya dan harta semakin berkurangan dengan dibelanjakan sedangkan ilmu
semakin bertambah apabila diamal dan digunakan."
Saidina Ali berkata lagi : "Tiadalah
kebanggaan yang sebenar melainkan bagi orang-orang yang berilmu kerana mereka
sentiasa berada di atas jalan hidayah, mereka menunjukan jalan hidayah kepada
orang-orang yang memintanya. Memadailah ukuran bagi setiap seseorang itu
kebaikan yang dilakukan sedangkan orang yang jahil tetap memusuhi orang-orang
berilmu. Maka rebutlah kesempatan menunut ilmu supaya kamu dapat hidup
selamanya kerana hakikatnya manusia semuanya mati sedangkan ahli-ahli ilmu akan
terus hidup."
Ilmu
agama atau ilmu Fardhu Ain menduduki tempat terrtinggi dalam senarai ilmu-ilmu
yang dicari oleh manusia. Ketinggian ilmu agama tidak dapat di atasi dan
ditandingi oleh ilmu-ilmu lain kerana ia didatangkan terus daripada Allah s.w.t
yang dipindah dan disampaikan kepada kita oleh Rasulnya Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh itu tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa ilmu agama tidak penting
daripada ilmu-ilmu lain wajiblah dikikis dan diperbetulkan segera kerana ia
boleh menyebabkan umat Islam menyeleweng dan menyimpang daripada ajaran agama
semasa mereka menjalani kehidupan didunia ini.
Sesungguhnya ilmu tidak datang bergolek
sebaliknya ia perlu dicari dengan mempelajari dan menuntutnya sepanjang masa
atau dengan kata lain selagi hayat dikandung badan. Kadang-kadang semasa
menuntut ilmu maka berkemungkinann kita tidak memahami apa yang disampaikan
oleh guru. Dalam keadaan ini kita tidak boleh berdiam diri. Sebaliknya kita
wajib bertanya sesuatu yang tidak difahami supaya dapat dijelaskan oleh guru
apa yang kita tidak memahaminya. Sebenarnya bertanya itu merupakan kunci untuk
mendapatkan ilmu sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah An Nahl ayat 43
yang bermaksud:
"Dan tidaklah kami mengutus Rasul-Rasul
sebelumnya (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki yang
kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang
berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui".
Seterusnya
Rasulullah s.a.w bersabda :
Ertinya : Ilmu itu adalah perbendaharaan,
segala kunci adalah pertanyaan, oleh yang demikian maka hendaklah kamu bertanya
kerana sesungguhnya dengan bertanya itu empat golongan akan mendapat pahala
iaitu orang yang bertanya, orang alim yang ditanya, orang yang mendengar dan
orang yang menyukai mereka bertiga. (Hadis
Riwayat Abu Naim)
Oleh
kerana ilmu adalah kunci segala kebaikan maka marilah kita mengintai peluang
dan berebut kesempatan untuk mendapatkannya. Banyak cara boleh kita lakukan
untuk mendapatkan ilmu antaranya mendengar ceramah agama di radio, menghadiri
majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau serta menbaca buku-buku
agama. Sekiranya kita melakukan semua itu maka percayalah bahawa kita adalah
golongan yang akan dimuliakan darjah daripadanya manakala sesama manusia juga
kita akan dimuliakan.
Disediakan oleh:
Bahagian Dakwah, JAIS
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...