PUTRAJAYA : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju supaya tarikh akhir menyerahkan borang opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilanjutkan kepada 15 Januari ini bagi memberi lebih masa kepada kakitangan yang berkaitan.
Pada masa sama, Ismail mengesahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, sendiri akan mengadakan satu taklimat khusus berkaitan SBPA dan penyelarasan gaji kepada wakil CUEPACS dan semua jabatan pada minggu depan.
“Kita akan meneruskan SBPA dan sebenarnya CUEPACS tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, tempoh opsyen (lanjutan) umur persaraan kepada 60 tahun tetap (berakhir) pada 31 Disember kerana ia membabitkan banyak isu perundangan.
“Bagi opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak (31 Disember ini), JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media bersama Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, di Ibu Pejabat JPA, di sini, semalam.
Rundingan lebih tiga jam itu diadakan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, supaya JPA dan CUEPACS segera duduk semeja bagi menyelesaikan semua isu berbangkit berhubung SBPA, sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan.
Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.
Dalam pada itu, Ismail juga mengesahkan JPA dan CUEPACS menetapkan tiga bulan untuk menyelesaikan isu pelarasan gaji anggota keselamatan Gred 17 supaya mereka dapat menikmati kadar upah sama dengan kakitangan kerajaan berkhidmat di bahagian pentadbiran bergred itu.
Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan JPA juga secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan SBPA dan akan bersama-sama menyelesaikan lima isu dibangkitkan sebelum ini termasuk dasar pemisah atau ‘exit policy’.
Katanya, JPA juga meminta penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen SBPA supaya tidak bimbang kerana seorang wakil CUEPACS akan dilantik selaku pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau pelaksanaan tindakan tatatertib.
Beliau juga berkata, ketua jabatan dan agensi tidak berkuasa memecat kakitangan bawahan sesuka hati dan hanya JPA boleh berbuat demikian.
“JPA juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan ‘exit policy’ daripada enam bulan kepada setahun bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan prestasi kerja dan tahap produktiviti mereka.
“Sekiranya produktiviti mereka tidak bagus, barulah JPA akan menasihatkan penjawat awam berkenaan supaya berhenti cara 'baik' sebelum tindakan ‘exit policy’ diambil, sekali gus memudahkan mereka mencari rezeki di tempat lain dan boleh menikmati kemudahan pencen seperti pesara kerajaan lain,”katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...