Monday, May 5, 2014

6 TIP ATASI NAFSU MAKAN

Bukan mudah mengawal nafsu makan. Apatah lagi melihatkan hidangan yang digemari seperti ayam golek, daging bakar, nasi beriani dan lain-lain. Boleh terseksa dibuatnya. Namun, ada yang menggunakan kaedah tidur yang cukup, minum banyak air putih dan bersenam untuk menghilangkan keinginan berkenaan. Bagaimanapun bukan semuanya berjaya, lebih-lebih lagi apabila anda memang seorang yang 'pemakan'. Ramai pakar pemakanan berpendapat, adalah perlu mengawal pengambilan makanan yang mungkin nampak lazat tetapi mendatangkan bahaya kepada tubuh badan dalam satu jangka masa panjang. Mungkin ada yang menggunakan kaedah mencatat apa sahaja makanan yang diambil dalam jurnal harian tetapi lihat kembali sejauh mana keberkesanannya untuk mengurangkan nafsu makan. Sebenarnya, masih ada beberapa cara mudah yang boleh dipraktikkan untuk mengatasi masalah tersebut. Antaranya ialah :

Makan epal sebelum ambil makanan berat
Umum mengetahui bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran sangat baik untuk mengekalkan tahap kesihatan. Seperti epal, di samping rasa sedap ia juga membantu mengawal keinginan makan dalam jumlah yang banyak. Amalkannya setiap kali sebelum makan kerana epal kaya dengan serat sekali gus membuatkan anda cepat kenyang.

Minum teh
Makan dengan jumlah banyak sering dikaitkan dengan gangguan emosi, tekanan atau kebosanan. Lazimnya, kebanyakan individu yang berhadapan masalah ini merasa ingin makan walaupun bukan disebabkan lapar. Cubalah minum teh hitam dan lihat 30 minit kemudian. Dikatakan, rasa lapar itu akan hilang sebanyak 47 peratus malah anda juga tidak lagi berkeinginan untuk makan atau membuka peti sejuk tanpa sebab.

Ambil sarapan sihat
Melambatkan waktu sarapan adalah alasan yang kerap diberikan oleh individu yang 'kuat' makan. Boleh dikatakan waktu siangnya, ada sahaja kudap-kudapan yang masuk ke mulut. Di sinilah pentingnya pengambilan sarapan yang sihat. Anda akan berasa kenyang sekali gus mengawal keinginan untuk makan sepanjang hari. Sebaiknya, ambillah makanan yang mengandungi unsur protein yang tinggi tanpa lemak tersembunyi kerana ia membuatkan anda berasa kenyang.

Bijak pilih makanan
Setiap makanan mengandungi nutrisi yang berbeza. Sebagai contoh, 100 kalori dalam hidangan oat lebih mengenyangkan berbanding 100 kalori snek kentang. Antara makanan yang dicadangkan ialah kekacang, bijirin jagung dan buah-buahan.

Praktik berjalan santai
Ketika perut berasa lapar, makanan yang paling mudah diambil ialah kudap-kudapan. Sebolehnya elakkan makanan sebegitu kerana ia kurang baik untuk kesihatan. Atasi keinginan itu dengan berjalan-jalan mungkin di sekitar kawasan rumah atau di tempat-tempat rekreasi. Peruntukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit. Terdapat satu kajian mengatakan, individu yang melakukan aktiviti berjalan kaki sebelum makan coklat hanya mengambil setengah kalori berbanding mereka yang tidak berjalan-jalan sebelum makan.


Menghidu bau makanan
Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan nafsu makan adalah dengan mencium aroma makanan. Bau vanila atau buah citrus diketahui berupaya menurunkan keinginan mengambil makanan ringan. Sementara bau bunga melati pula dikatakan mampu mengurangkan rasa untuk makan coklat. Jadi, bagi meredakan rasa lapar, anda disarankan menghidu bau pudina.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...