Wednesday, May 7, 2014

AWAS! PEMEGANG KAD DEBIT ATAU KAD KREDIT

Seorang pakar pengurusan kewangan, Sunthara Segar telah berkongsi cara bagaimana sindiket menggunakan butir peribadi kad bank anda. Kad boleh jadi kad debit atau kad kredit. Kita lihat dahulu dialog bagaimana perangkap dipasang melalui temu bual telefon, diikuti dengan ringkasan maklumat penting apa yang mereka cuba dapat dan apa yang perlu dibuat jika anda menerima panggilan telefon sedemikian.

Babak bermula dengan panggilan dari 'private number' dari seorang wanita berbudi bahasa yang menyamar sebagai wakil atau pekerja 'telemarketing' institusi kewangan. Pihak satu lagi kita gelar “mangsa” walaupun sebenarnya dia tidak mengalami kerugian.

Wanita : Selamat pagi boleh bercakap dengan Encik XXX?
Mangsa : Saya bercakap.
Wanita : Saya daripada pihak bank ingin membuat pengesahan berkenaan kad bank Encik.
Mangsa : Awak dari mana?
Wanita : Saya daripada pusat panggilan 1Malaysia, ingin membuat pengesahan mengenai kad bank Encik. (Mangsa pernah mendapat corak panggilan sebegini dari bank beliau jadi belum timbul syak wasangka)
Mangsa : Oh baik!
Wanita : Saya cuma nak buat pengesahan mengenai kad bank yang encik gunakan sekarang. Boleh saya tahu alamat penuh?
Mangsa : Alamat saya ….
Wanita : Boleh dapatkan nombor IC?
Mangsa : xxxxxxxxxxx
Wanita : Encik masih lagi menggunakan kad ini ya?
Mangsa : Ya saya …
Wanita : Sudah berapa lama?
Mangsa : Hampir tiga tahun.
Wanita : Ok saya ini membuat pengesahan, kad debit Encik bermula dengan 1234 5678
Mangsa : Ya betul.
Wanita : Boleh lengkapkan nombor 8 terakhir
Mangsa : 8765 4321
Wanita : Terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Sekarang, encik ada tanda tangan di belakang kad debit ke?
Mangsa : Ya, ada.
Wanita : Di sebelah tanda tangan ada nombor ahli. Boleh bacakan saya nombor ahli kad Encik?
Mangsa : 000
(Sekarang pengenalan produk atau perkhidmatan akan dimulakan oleh wanita tadi)

Wanita : Sekarang saya ingin memberitahu Encik maklumat mengikut laporan kami. Pihak kerajaan ada menyediakan kad i-klinik di mana semua rakyat Malaysia berhak mendapatkan kad ini. Ia boleh digunakan ketika encik, minta maaf, andai kata kemalangan atau ditimpa musibah, pemegang kad diberi potongan 30-70% di panel klinik. Encik juga boleh membawa ibu dan ayah ke klinik dengan percuma, juga boleh diberikan diskaun pelancongan dengan kad ini. Saya akan menghantar kad ke alamat yang Encik berikan. Yuran keahlian adalah sebanyak RMxxx. Saya telah pun membuat penolakan dari kad bank encik.
(Mangsa mula sedar ada yang tidak kena)

Mangsa : Eh! Awak cakap tadi hendak buat pengesahan kad saya, kenapa tiba-tiba awak hendak ambil duit saya? Ada saya cakap mahu beli kad ini?
Wanita : Encik telah berikan saya butiran Encik bermakna Encik setuju.
(Pada tahap ini sudah ada pergeseran, wanita ini memilih untuk meneruskan ugutan halus walaupun alasan yang diberikan tentang asas persetujuan memang tidak munasabah)

Mangsa : Awak jangan ingat saya hendak sangat dengan i-kad itu.
Wanita : Ok, tidak apa. Kalau encik tidak hendak saya tidak akan hantar. Tetapi duit sudah ditolak, bila-bila masa hendak kad tersebut, boleh hubungi kami dan kami akan hantarkan. Encik bekerja di mana?
Mangsa : Saya tidak perlu kad awak. Saya dapat semua kemudahan perubatan termasuk keluarga, saya tidak mahu, tolong batalkan.
(Akibat kedegilan mangsa tidak mahu menyerah kalah, wanita naik angin dan mula mengundur diri.)

Wanita : Encik tidak boleh buat apa-apa lagi. Mahu tak mahu saya sudah tolak duit Encik.
Mangsa : Awak kerja di mana, dengan siapa?
Wanita : Saya kerja di xxxx dan ini adalah dari kerajaan. Ok Encik ada apa-apa lagi, kalau tiada terima kasih kerana berikan kerjasama (terus letak telefon)

Mangsa lekas-lekas menyemak baki akaun bank secara online. Nasib baik duit masih ada, beliau kemudian bergegas ke bank untuk meminta nasihat. Pegawai bank mencadangkan agar mangsa batalkan kad sekarang dan buat kad lain bagi memastikan keselamatan akaun.

Pengajaran teknikal : 8 digit pertama disebutkan adalah nombor yang sama untuk pemegang kad. 8 digit terakhir pula unik dan terpaksa diminta/korek daripada mangsa. Nombor ahli kad sebelah tanda tangan adalah nombor yang paling penting untuk pengesahan kad.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...