Diet di pejabat Tidak mustahil juga ketika anda menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga yang banyak pada pekerjaan yang dilakukan menyebabkan anda cepat merasa lapar. Menurut Glassman, penulis buku The Snack Factor Diet, ketika anda merasa lapar, gula darah akan rendah menyebabkan anda tidak mampu berfikir dengan baik.
Ketika inilah, anda akan berusaha mencari makanan atau snek. Data dari National Health and Nutrition Examination Survey di Amerika (1999-2002) mengatakan: Wanita yang mengunyah lebih daripada dua kali sehari telah mengambil 192 kalori dalam setiap kali mengunyah. Ini sudah mengganggu program diet yang  dilakukan.
 

6 Penyebab Berat Badan Meningkat 

 
CareerBuilder.com telah melakukan kajian untuk mengetahui penyebab seseorang itu gemuk ketika berada di pejabat. Antaranya ialah: 
 
1. Makan Kerana Stres
  •  Kajian yang dilakukan CareerBuilder.com mendapati 37% responden mengatakan stres di tempat kerja adalah penyebab utama berat badan meningkat  sehinggakan anda ingin mengambil makanan yang enak. 
  • Ketika stres, jangan sesekali terus mengambil kerepek kentang atau biskut. Sebaliknya, cubalah untuk menarik nafas dalam-dalam dan hembus secara perlahan-lahan sebanyak 5-10 kali. Jika ingin juga mengunyah, bawalah snek sihat dari rumah seperti kacang atau buah-buahan. 
 
2. Makan Tengahari Di Luar
  • Sebanyak 20% responden mengatakan makan tengahari di luar pejabat turut menambahkan berat badan. Ini kerana, kita tidak tahu pengolah makanan dan  berapa jumlah kalori dari makanan yang disediakan. 
  • Sebaiknya, bawalah bekal dari rumah. Bukan sahaja sihat dan murah tetapi anda boleh menentukan bahan yang ingin dimasukkan dalam makanan 
 
3. Melewatkan Waktu makan
  • 19% pekerja mengaku mereka kerap melewatkan waktu makan kerana banyak kerja yang harus diselesaikan. Apabila lapar, anda lebih cenderung untuk makan berlebihan. 
  • Untuk mencegahnya atau tidak sempat makan, sediakan yogurt, buah atau snek yang berisi campuran buah kering dan kacang. Makanlah seketika untuk mengalas perut dan supaya anda tidak makan tengahari dengan terlalu banyak. 
 
4. Menyambut Perayaan
  • Ketika anda dinaikkan pangkat atau mendapat pekerjaan lain, anda lebih cenderung untuk meraikan rakan dengan makanan yang enak dan berkalori tinggi seperti kek, coklat atau pizza. 
  • Bayangkan dalam sebulan ada 5-6 sambutan yang  dilakukan, belum lagi dengan hidangan makanan yang enak. Ini boleh menambahkan kalori dalam badan. Untuk atasinya, anda boleh makan apa yang disediakan tetapi kurangkan jumlah pengambilan atau bahagikan bersama dengan kawan yang lain.
 
5. Mengunyah Gula-gula Getah
  • Sebanyak 16% responden mengatakan mereka tidak tahan dengan godaan yang ada di atas meja terutamanya kek, coklat atau jeli. Walau bagaimanapun, anda boleh gantikan dengan snek yang sihat seperti kacang almond, buah kering atau biskut bersama sebotol air. 
  • Jika keinginan datang, segeralah minum segelas air putih agar perut terasa kenyang dan menahan daripada mengunyah lagi. 
 
6. Snek Dari Kawan Sepejabat
  • Penyebab lain adalah godaan untuk menikmati snek yang dibawa oleh rakan sekerja. 10% responden mengatakan tidak mampu menahan godaan apabila kawan sekerja membawa sekotak donat atau sebekas kek yang enak. 
 
 

Hidup Sihat Di Pejabat

Berada di pejabat adalah perkara yang sukar untuk menjalani hidup yang sihat. Aktiviti yang padat membuatkan wanita yang berkerjaya lebih senang mengambil makanan segera. Ini belum lagi termasuk, godaan snek yang dihidangkan oleh kawan sekerja. Ingat! Masih belum terlambat untuk anda mengubah pola hidup yang  lebih sihat. 
 
Beberapa tip untuk mengatasi masalah ini:
 
a) Kekerapan Mengunyah Snek
 
Siapa yang tidak suka mengunyah snek? Biskut, kerepek atau makanan ringan adalah kebiasaan yang ada di tempat kerja. Walaupun snek ini memberi tenaga tetapi ia turut menyimpan lemak yang tidak diperlukan. Kadar garam yang terkandung dalam makanan ringan juga dapat menyebabkan hipertensi. 
CARA PERBAIKI:
Jangan letakkan pelbagai jenis snek di dalam laci kerja anda. Anda boleh bawa snek sihat dari rumah seperti buah, yogurt atau kacang. Cara ini juga membuatkan anda mampu menolak saat kawan mempelawa snek lain. 
 
 
b) Jangan Terlalu Banyak Minum Teh atau Kopi
 
Minum teh atau kopi sebanyak dua jam sekali atau berlebihan adalah tidak elok. Ini kerana, ia akan membuatkan anda merasa gelisah, mudah marah, dehidrasi dan menganggu pola tidur. 
CARA PERBAIKI:
Kurangkan hidangan teh atau kopi setiap hari. Gantikan minuman ini dengan pilihan minuman lain yang lebih sihat seperti teh hijau, air limau nipis atau jus buah. Pilih minuman yang tidak mengandungi banyak gula atau susu.
 
 
c) Banyakkan Minum Air Mineral 
 
Berusahalah untuk minum air dengan lebih banyak, walaupun anda tahu akan sentiasa keluar masuk ke dalam bilik air. Namun, jika anda kurang minum dalam jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan sembelit, gangguan pencernaan, dehidrasi, meningkatkan rasa lapar dan kulit kelihatan kusam. 
CARA PERBAIKI:
Letakkan satu liter botol air mineral di atas meja dan pastikan anda minum habis sebelum pulang dari tempat kerja. Cara ini akan membuatkan anda tidak lupa untuk minum.
 
d) Elak Makan Malam
 
Apabila tamat waktu kerja, kawan anda mengajak untuk makan di restoran. Ini membuatkan anda tidak makan lagi di rumah. Walau bagaimanapun, rasa lapar akan datang pada waktu malam. Jangan terus mengalah, sebenarnya anda penat dan perlu berehat, bukannya mencari makanan. 
CARA PERBAIKI:
Jika anda betul-betul lapar, makanlah sayuran atau beberapa jenis makanan yang kaya dengan protein. Sayuran berserat tinggi dan daging tanpa lemak kaya  dengan protein. Elakkan makan nasi atau roti sebelum tidur.
 
 
e) Elakkan Makan Banyak Pada Hujung Minggu 
 
Mungkin anda terfikir untuk memberi  ganjaran kepada diri selepas sukses menjalani diet selama hampir seminggu. Makan sepuasnya pada hujung minggu bukanlah cara yang betul untuk diterapkan dalam program diet anda. 
CARA PERBAIKI:
Cari cara lain untuk memberikan penghargaan pada diri sendiri. Lakukan rawatan di spa, membeli novel atau menonton wayang yang lebih menyenangkan  sekaligus menjaga berat  badan anda.
 

Pilihan Snek Sihat Di Pejabat

a) Aprikot Kering
PILIHAN:
  • Buah ini kaya dengan nutrisi dan penuh vitamin, mineral dan enzim penting. Snek ini kaya dengan serat, beta karoten, vitamin A dan C, magnesium, zat besi, kalsium dan kaya dengan antioksidan dalam melindungi diri daripada melawan kanser prostat serta paru-paru. 
  • Gula semulajadi yang terdapat dalam aprikot dapat meningkatkan kadar gula darah. Demikian  menurut Susan Kleiner, penulis buku The Good Mood Diet.
HARUS DIPERHATIKAN:
  • Kalori banyak terdapat dalam buah kering. Jadi perhatikan hidangannya. 
  • Setiap ½ cawan (65g) aprikot kering mengandungi 156kcal dan 0.3g lemak. 
 
b) Epal
 PILIHAN:
  • Ia mengandungi vitamin dan mineral penting untuk tubuh, otak dan kesihatan jantung. Kandungan serat dapat membantu anda merasa  lebih kenyang dan menahan daripada makan secara berlebihan. 
 
HARUS PERHATIKAN:
  • Pilih epal yang bersaiz kecil atau sederhana untuk snek. Anda juga boleh gabungkan epal dengan sekeping keju rendah lemak atau satu sudu makan kacang untuk tenaga yang tahan  lama dan badan yang sihat.
  • Setiap 1 biji epal ukuran sederhana (180g) mengandungi 77kcal dan 0.3g lemak. 
 
c) Yogurt 
PILIHAN: 
  • Snek ini rendah lemak dan kolesterol. Ia juga sumber vitamin B12, protein, potassium, zat besi dan sumber riboflavin, kalsium dan fosfor yang sangat baik. 
HARUS DIPERHATIKAN: 
  • Banyak yogurt yang dikatakan sihat tetapi mengandungi banyak pemanis, sirap atau gula. Pilihlah yogurt rendah lemak dan rendah gula. Untuk lebih elok,  taburlah yogurt dengan blueberry atau potongan buah-buahan untuk mendapatkan serat. 
  • Setiap 100g yogurt rasa buah dan rendah lemak mengandungi 102kcal dan 1.1g lemak.  
 
d) Dark Chocolate
PILIHAN: 
  • Peneliti di Jerman dalam The Journal of the American Medical Association mengatakan dark chocolate kaya dengan flavonoid, menjaga tekanan darah tetap stabil ketika stress. 
  • Dengan mengunyah coklat, ia dapat mengurangkan mood negatif sehingga anda boleh santai bersama rakan sekerja. 
 
HARUS PERHATIKAN:
  • Pilih dark chocolate yang mengandungi kurang 70% koko untuk mendapatkan manfaat flavonoid yang maksimum. Ia juga mengandungi lemak tepu, jadi pastikan anda makan sepotong kecil sahaja ketika ingin mengunyah. 
  •  Setiap potongan kecil (28g) dark chocolate, 70-85% koko mengandungi 168kcal dan 12g lemak. 
 
e) Kraker
PILIHAN: 
  • Sangat praktis dan baik untuk perut. Banyak kraker diberi vitamin tambahan dan kalsium yang baik untuk tulang. Kandungan karbohidrat yang tinggi sangat sesuai untuk anda yang memerlukan banyak tenaga ketika bekerja. 
 
HARUS PERHATIKAN:
  • Sesetengah kraker mengandungi sodium dan gula yang tinggi. Jadi, pilihlah plain cracker yang diperbuat dari gandum, mengandungi serat dan vitamin B. Sapukan kraker dengan mentega kacang, celupkan dengan susu atau yogurt rendah lemak. 
  • Setiap 4 keping kraker masin (23g)  mengandungi 103kcal dan 3g lemak. 
 
f) Almond
PILIHAN:
  • Snek ini sangat rendah kolesterol dan sodium. Beberapa jenis kacang lain seperti walnut mengandungi sumber magnesium dan vitamin E, asid lemak omega 6 serta omega 3 (walnut). 
HARUS PERHATIKAN: 
  • Makan kacang boleh membuatkan anda ketagih. Walaupun almond rendah kolesterol, anda juga perlu perhatikan jumlah kalorinya. Cukup dengan mengambil 11 biji almond atau satu sudu makan walnut antara waktu sarapan dan makan tengahari. 
  • Setiap 11 biji almond tanpa garam mengandungi 85kcal dan 7g lemak.