MAKLUMAN PENTING!! Kepada ahli perpustakaan, anda DIWAJIBKAN membawa Kad Pengenal Pegawai untuk membuat pinjaman buku. Sekiranya tiada, sila buat kad tersebut di Bahagian Operasi Dan Kebombaan Negeri masing-masing. Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

Friday, February 22, 2013

Anakku, Jagalah Aurat Mu

pix
Setiap kali melihat kanak-kanak kecil bertudung, tentunya anda rasa sungguh kagum. Walaupun masih samar tentang kenapa perlu bertudung, mereka tetap memenuhi tuntutan agama Islam yang satu ini. Mereka memang hebat. Mudah-mudahan mereka bukan sekadar bertudung malah menutup aurat mengikut kehendak agama yang dianuti.

Diakui ada segelintir ibu bapa tidak menggalakkan anak kecilnya bertudung kerana ingin memberikan peluang padanya berpakaian seperti ‘minah salleh’ atau ‘minah Korea’. Katanya, biar anaknya puas menggayakan pelbagai fesyen terkini. Nanti, bila tiba waktunya, barulah bertudung.

Pada masa yang sama, ibu tersebut juga bimbang jika anaknya bertudung terlalu awal, usia tudung lekat di kepala mereka tidak lama. Apabila sudah menginjak remaja, mereka pasti akan membuang tudung dan mula menyarungkan busana-busana yang menjadi trend remaja ketika itu kerana semasa kecil tidak merasa.   

Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-kata tersebut. Lagi pun, anak kecil tidak wajib menutup aurat. Nanti apabila sudah bergelar anak dara barulah ditutup apa yang dimestikan. Tapi, bukankah pepatah Melayu ada menyebut, jika ingin melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Sekiranya anak telah dibiasakan menutup aurat sejak kecil, tentu tidak akan ada masalah untuk mereka meneruskannya setelah baligh nanti. Cuba bayangkan jika anak yang sejak kecil sudah dibiasakan hanya memakai singlet atau baju T tanpa lengan dan berseluar pendek atau berskirt mini disuruh berbaju lengan panjang, berseluar panjang dan bertudung. Saya pasti mereka akan merengek kepanasan. Jadi, saya berpendapat tidak salah malah patut kita sebagai ibu bapa mendidik anak menutup auratnya sejak kecil agar mereka dapat membiasakan diri dengan amalan wajib itu.

Ini tidaklah bermakna kita kena memaksa anak kecik bertudung sepanjang masa. Kita sediakan tudung dan galakkan mereka memakainya tetapi jika dia rasa tidak selesa memakainya dalam tempoh yang lama, biarkan mereka membukanya. Pada masa yang sama, beritahu anak mengapa Islam menyuruh hambanya menutup aurat. Hasilnya, anak akan lebih faham dan bukan hanya mengikut sahaja tanpa sebab yang nyata. Jika cara ini kita amalkan, insya-Allah, anak kecil kita akan kekal bertudung hingga ke hujung nyawa.

Sebenarnya, penekanan tentang bab menutup aurat ini bukan hanya kepada anak-anak perempuan tetapi juga anak-anak lelaki. Orang lelaki pun ada batasan auratnya. Batasan aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Ini bermaksud mereka mesti menutup keseluruhan kawasan tersebut setiap masa kecuali pada waktu-waktu tertentu. Walaupun begitu, tidak salah jika kita biasa-biasakan mereka berseluar panjang agar lebih sopan dan sedap mata memandang.

Semoga usaha kita yang sedikit ini mampu membentuk generasi Islam masa hadapan yang lebih mantap dan berada di landasan yang benar.

INFO 
Dalil Al-Quran tentang kepentingan menutup aurat.
1. “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)” Surah Al-A’raaf : Ayat 26)
2. “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isteri mu dan anak-anak perempuan mu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab : Ayat 59 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia