MAKLUMAN PENTING!! Kepada ahli perpustakaan, anda DIWAJIBKAN membawa Kad Pengenal Pegawai untuk membuat pinjaman buku. Sekiranya tiada, sila buat kad tersebut di Bahagian Operasi Dan Kebombaan Negeri masing-masing. Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

Monday, February 4, 2013

7 Tips Jadi Ahli Sedekah

1. Niatkan dalam hati setiap pagi ketika bangun dari tidur, 'saya mahu bersedekah'. Ini sesuai dengan ajaran agama, kerana Nabi Muhammad SAW ada menyatakan : "Setiap amalan atau pekerjaan itu adalah berdasarkan niat." (Hadis sahih Muttafaqun 'Alaih). 
Apabila sudah ada niat, akan mudahlah kita melaksanakannya. Tanpa niat sedari awal, minda dan hati kita akan menjadi leka untuk bersedekah.

2. Lakukan sedekah walaupun hanya bermula dengan jumlah wang yang kecil. Ada orang merasakan jumlah sepuluh sen kecil ataupun RM1 itu kecil? Tetapi yakin dan percayalah, bagi mereka yang tiada atau miskin, jumlah itu besar nilainya. Maka, mulailah bersedekah walaupun dengan jumlah yang bagi kita tidak masuk akal itu. 
Pesan Junjungan Mulia SAW : "Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara : Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi kafir yang melalaikan diri kamu semua, ataupun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, ataupun kedatangan pengaruh dajjal yang ia adalah seburuk-buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari kiamat padahal hari kiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya." (Riwayat Imam Tarmizi)

3. Letakkan tabung sedekah di rumah kita di tempat terbuka dan namakannya dengan nama yang istimewa, misalnya 'Tabungan Syurga'. Kita ini memang manusia yang bersifat pelupa (juga sering buat-buat lupa), maka usahakanlah agar pintu-pintu untuk bersedeka itu sentiasa wujud di depan mata. 
Kemudian, letakkan 'Tabungan Syurga' itu di pintu atau di laluan utama. Apabila sudah di depan mata, maka masukkanlah walau RM1 sehari, kemudian setelah genap sebulan atau setahun, keluarkanlah dan berikanlah ia kepada pihak yang memerlukan. Percayalah, kita akan merasai 'keberkatannya'.

4. Sentiasa menyediakan wang kecil RM1 di dalam saku baju atau seluar. Selalunya, apabila kita bermusafir dan singgah di mana-mana masjid untuk mendirikan solat, maka sudah tersedia sebuah peti derma. Masukkanlah wang berkenaan dengan segera tanpa perlu lagi susah-susah mencarinya. Ingat, wang yang berada di saku paling atas itulah selalunya paling mudah dikeluarkan oleh kita. 
Ataupun kala singgah makan di mana-mana restoran, sering disediakan kotak derma di kaunter pembayaran. Apalah salahnya, jika ada lebihan wang kecil dimasukkan seringgit dua ke dalamnya.

5. Melazimi mendengar dan membaca sejarah dan kisah para ahli sedekah zaman silam. Kita ini memang cepat kendur semangatnya, maka kenalah kita sering memotivasikan diri sendiri. Jika kita kaki ceramah, kita mungkin akan mendengar kisah ini daripada para penceramah. Namun, jika kita kaki buku, maka belilah buku atau majalah yang memuatkan kisah-kisah kelebihan ahli sedekah ini. Kita pasti akan terinspirasi dengan kisah-kisah kehebatan mereka dan dari situlah akan terbitnya kesukaan untuk turut menjadi ahli sedekah.

6. Istiqamah dalam bersedekah. Ini juga perkara penting, kerana hanya orang yang istiqamah atau konsisten dalam sesuatu amalan, bisa dianggap orang yang terbaik dalam amalannya. Maka, jangan bebankan diri dengan sedekah yang besar (RM100 misalnya), tetapi diberi enam bulan sekali; sebaliknya biarpun RM1, tetapi hari-hari. Nabi Muhammad SAW mengingatkan : "Amalan yang paling disukai Allah ialah pekerjaan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit." (Hadis sahih Muttafaqun 'Alaih)

7. Berazam untuk memberi lebih lagi pada tahun hadapan. Bagi kita orang Islam, sudah pun disediakan penanda arasnya, iaitu zakat (yang wajib dikeluarkan 2.5 peratus setahun). Maka pastikan tahun ini jika bersedekah RM1,000, harus ada peningkatan minimum 2.5 peratus pada tahun hadapan dalam perolehan harta kita agar kita mampu meningkatkan sedekah dan juga zakat.
Jika RM1,000 disedekah atau dizakat, maknanya kekayaan kita baharu berjumlah RM40,000; maka gandakan 2.5 peratus supaya menjadi RM41,000 dan jadilah zakatnya RM1,025. Ini hanyalah jumlah minimum, kerana yakinlah, Allah SWT pasti akan menambahkan rezeki dan kesuburan bagi pemilik harta yang suka berzakat dan ringan bersedekah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia