Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah SWT
kerana kita dapat menyaksikan tertutupnya tirai tahun 2011 dan
menyinsingnya fajar baru 2012. Sesungguhnya 2011 merupakan tahun yang
amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya
“roll out” inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi
Nasional (2011-2020) dan dengan itu juga pengenalan siri keempat Rangka
Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) semenjak ia mula diperkenalkan
pada tahun 1971. DTN merupakan komponen terakhir dalam usaha
merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
DTN mempunyai permulaannya dengan
pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program
Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (NEM),
Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar
(RTP). Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong
mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan
dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah
Malaysia Baru. Sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi
dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi
juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang
membina dan membugar.
Kerajaan tetap komited dengan program
islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara
kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang
lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka. Inilah usaha demi Generasi
masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya
kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang
mahu menggagalkan matlamat mulia ini.
Di bawah PTP bagi mengimbangkan
Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin
dalam Perlembagaan Negara misalnya kita telah memansuhkan tiga
proklamasi darurat yang berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang
lalu kerana kerajaan percaya kita tidak mampu membina sebuah Malaysia
yang baru jika kita masih teperangkap dengan bebanan sejarah lampau.
Dengan semangat yang sama kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan
beberapa Akta yang berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti
Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri
dan Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan
Aman 2011 yang menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman
seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara Perlembagaan
Persekutuan. Usaha ini akan diteruskan dalam sessi Parlimen seterusnya
pada tahun 2012 bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang
baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU serta Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan.
Melalui bajet rakyat 2012 pula yang
baru diluluskan Parlimen kerajaan hari ini juga telah meneruskan tradisi
negara berkebajikan yang telah menjadi amalan kerajaan yang memerintah
semenjak merdeka lagi. Kita tidak pernah melupakan nasib warga luar
bandar mahupun warga bandar, golongan berpendapatan rendah mahupun kelas
pertengahan serta mereka yang berpendapatan tinggi, kita akan sentiasa
membela untung nasib seluruh rakyat Malaysia dan akan terus prihatin
terhadap denyut nadi dan aspirasi mereka.
Marilah kita bersama-sama kerajaan dan
rakyat merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk bumi tercinta
ini. Ia bukannya sebuah mimpi malahan ia dalam rangkulan kita jika kita
sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.
Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya
hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah
tinggal dalam lipatan sejarah. Selamat tahun Baru 2012, Dirgahayu
Malaysia.
Sumber Dari :
www.1malaysia.com.my
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...