MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Friday, November 25, 2011

INFO SIHAT - KANSER PROSTAT

 Apakah itu kanser prostat?
Kanser ialah ketumbuhan sel-sel tidak normal secara tidak terkawal di dalam badan . Manakala kanser prostat merupakan ketumbuhan sel-sel tidak normal yang berlaku di dalam kelenjar prostat. Prostat ialah kelenjar yang mengelilingi uretra dan terletak di bawah pundi kencing lelaki. Ia juga dikenali sebagai karsinoma prostatik.

Bagaimana boleh diperjelaskan lagi mengenai kanser prostat ini?
Kelenjar prostat ialah sejenis kelenjar yang berbentuk kon. Ia terdapat pada sistem pembiakan lelaki dan terletak di bawah pundi kencing. Fungsi utamanya ialah menghasilkan sebahagian penting cecair seminal yang membawa air mani atau sperma. Prostat juga mengawal pengaliran keluar air kencing dari pundi kencing. Fungsi prostat dikawal atur oleh testosteron, sejenis hormon seks lelaki yang dihasilkan sepenuhnya oleh testikel. Risiko mendapat kanser prostat ini meningkat mengikut umur. Ia lebih lazim berlaku di kalangan kaum kulit hitam Afrika-Amerika berbanding dengan kaum kulit putih. Kanser ini lebih banyak dikesan di kalangan lelaki yang berumur 40 tahun ke atas. Lebih dari 75% kes-kes ini telah didiagnoskan di kalangan kaum lelaki yang berumur 65 tahun ke atas.

Bagaimanakah kanser prostat terbentuk?
Kanser prostat berlaku apabila sesetengah sel yang terdapat di kelenjar prostat melalui perubahan tertentu diluar kawalan semulajadi. Ia mula membiak, membesar dan merebak dalam keadaan yang tidak terkawal. Ia kemudiannya merebak (metastasis) ke bahagian-bahagian badan yang lain terutamanya tulang dan organ-organ tertentu. 

Apakah penyebab kanser prostat?
Penyebab kanser prostat masih tidak diketahui tetapi sesetengah para pengkaji mempercayai bahawa kanser ini mungkin disebabkan oleh hormon lelaki terutamanya hormon testosteron. Hormon ini bertindak mempercepatkan pembentukan kanser prostat. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menggalakkan kejadian kanser tersebut.

Apakah gejala kanser prostat?

Di peringkat awal, kanser prostat selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala. Ini kerana lazimnya, penyakit ini dapat dikesan di peringkat awal, ketika gejalanya masih belum timbul.
Gejala bagi kanser prostat lazimnya bermula dengan :

• Bertambah keinginan untuk membuang air kecil.
• Aliran kencing menjadi lemah.
 Mati pucuk.
• Terdapat darah dalam air kencing.
• Sakit semasa membuang air kecil (tidak selalunya berlaku).
• Nodus limfa membengkak di sekitar kawasan kelangkang
• Hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil.
• Seringkali terasa sakit di bahagian pelvis, saraf tunjang, pinggang, dan tulang dada.
Gejala di atas tidak semestinya bermakna seseorang itu menghidap kanser prostat. Mereka mungkin juga mengalami satu keadaan lain yang dinamakan hiperplasia benigna prostatik (Benign Prostatic Hyperplasia) - sejenis penyakit benigna yang terjadi di kalangan wargatua lelaki di mana kelenjar prostat mengalami pembesaran, apabila mereka meningkat tua.

Apakah faktor risiko yang boleh meningkatkan kanser prostat?
Kanser prostat hanya berlaku pada kaum lelaki. Sebagai seorang lelaki, anda telah pun mempunyai risiko untuk mendapat kanser prostat. Tetapi, terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko penyakit ini, seperti:

• Sejarah keluarga yang pernah mendapat kanser prostat.
• Pemakanan/diet.
• Ia meningkat mengikut umur.
• Pendedahan kepada bahan-bahan tertentu seperti kadmium, getah dan juga logam.
• Status perkahwinan - lelaki yang masih bujang mempunyai risiko yang lebih rendah mendapt kanser ini.
• Penduduk Amerika dan juga Eropah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser prostat berbanding penduduk Asia.

Sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser prostat
Lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat mempunyai risiko lebih tinggi mendapat penyakit ini. Risiko mereka meningkat sehingga 2 ke 3 kali ganda. Risiko mendapat penyakit ini juga meningkat di kalangan lelaki yang ibu atau adik-beradik perempuannya menghidapi kanser ovari atau kanser payudara. Ini adalah kerana faktor risiko yang diwarisi melalui kromosom X daripada ibu.
Pemakanan/diet
Lelaki yang mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak berisiko mendapat kanser prostat - terutamanya lemak dari daging merah dan sumber lemak haiwan yang lain. Mereka ini akan mengalami gejala yang lebih teruk. Penyakit ini lebih kerap terjadi di negera-negara yang banyak bergantung kepada daging dan hasil tenusu sebagai makanan utama mereka berbanding dengan penduduk di negara yang memakan nasi, produk kacang soya dan sayur-sayuran.

Peningkatan umur
Bagi seseorang lelaki apabila umurnya meningkat, risiko untuk mendapat penyakit ini juga akan meningkat. Kanser prostat berlaku secara eksklusifnya kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas. Insidens meningkat bagi setiap dekad selepas umur 50 tahun. Lelaki yang berumur 70 tahun mempunyai risiko 12 kali ganda mendapat penyakit ini berbanding dengan lelaki yang berumur 50 tahun .

Pendedahan kepada bahan-bahan tertentu.
Pendedahan kepada bahan kimia tertentu boleh meningkatkan risiko kanser prostat. Ini termasuklah pekerja-pekerja yang terdedah kepada kadmium, pekerja di bidang pembuatan tayar dan getah, petani, mekanik dan juga pekerja di sektor pembuatan logam.

Faktor-faktor di bawah ini boleh meningkatkan risiko kanser prostat:
• Aktif secara seksual. Satu kajian terbaru* telah menunjukkan risiko mendapat kanser prostat meningkat dengan bertambahnya jumlah pasangan seks wanita seseorang lelaki itu.
• Mempunyai sejarah penyakit kelamin.
• Hiperplasia benigna prostatik (Benign Prostatic Hyperplasia).
• Pernah menjalani pembedahan vasektomi.
• Sumber : American Journal of Epidemiology 2001: 152:1152 - 1158

Bagaimanakah kedudukan kejadian penyakit ini?
Di Amerika Syarikat, kanser prostat ini jarang berlaku di kalangan pemuda Amerika. Kadar insidennya hanya 1 bagi setiap 100,000 orang lelaki yang berumur 40 tahun ke bawah. Walau bagaimanapun, kadarnya, meningkat kepada 82 bagi setiap 100,000 lelaki yang berumur antara 50 - 54 tahun, 518 untuk lelaki berumur antara 60 - 64 dan 1,326 untuk lelaki berumur antara 70 - 74*.

Secara amnya, kanser prostat adalah kanser kedua yang paling biasa berlaku di kalangan kaum lelaki selepas kanser kulit. Kanser prostat lebih lazim berlaku di negara-negara barat berbanding dengan di Malaysia. Kanser prostat jarang berlaku di Malaysia walaupun ia merupakan kanser yang boleh mengancam nyawa(**)

** Sumber: Laporan Tahunan Kementerian Kesihatan, 1997
* Ries LAG, Kosary CL, hankey BF, Miller BA, et al. SEER Canser Statistics Review, 1973-1994. National Cancer Institute, NIH Publication No. (&-2789, Bethesda, MD, 1997.

Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser prostat?
Ujian yang lazimnya dijalankan untuk kanser prostat adalah:
• Pemeriksaan Rektum (dubur) Digital (Digital Rektal Examination)
Kebanyakan kes kanser prostat bermula di bahagian posterior kelenjar yang hanya boleh diperiksa melalui pemeriksaan rektum digital. Semasa pemeriksaan ini doktor akan memakai sarung tangan dan memasukkan jarinya ke dalam rektum untuk memeriksa kelenjar sama ada terdapat sebarang perubahan atau keabnormalan di kawasan tersebut yang boleh dianggap sebagai kanser.

Pengesanan antigen spesifik prostat (PSA)
Ini merupakan satu pemeriksaan yang lazimnya dijalankan untuk kanser prostat). Ujian darah PSA bertujuan untuk menyukat bahan protein yang dihasilkan oleh sel prostat. Jika keputusan menunjukkan ianya di bawah paras 4ng/mL, ini dianggap normal. Tetapi jika ianya mencapai paras melebihi 10 ng/mL ini dianggap tinggi, dan nilai antara 4 hingga 10 dianggap sebagai pinggiran. Semakin tinggi paras PSA semakin besar kemungkinan wujudnya kanser prostat. Seseorang lelaki yang mempunyai keputusan melebihi 10 ng/mL dinasihatkan melalui pemeriksaan biopsi bagi memastikan sama ada ia menghidap kanser ataupun tidak.

Kiraan sel darah sepenuhnya
Dilakukan khususnya untuk mengesan anemia (kekurangan jumlah sel darah merah dalam darah). Ini kerana anemia selalunya menentukan perkembangan penyakit tersebut.

Ujian fungsi ginjal dan hati
Kemaraan kanser akan mempengaruhi fungsi ginjal atau buah pinggang dan hati.

X-ray dada, imbasan tulang
Untuk memeriksa perebakan (metastasis) penyakit kanser prostat.

Analisis air kencing
Ini juga merupakan satu pemeriksaan yang lazim dijalankan untuk mengesan kewujudan nanah di dalam air kencing yang akan memberi satu isyarat kepada doktor untuk membuat siasatan lanjut (seperti melakukan pemeriksaan rektum (dubur) digital. Jika keputusannya positif, langkah serterusnya adalah untuk menjalankan ujian-ujian pengesahan bagi menentukan kewujudan kanser prostat. Ujian biopsy ialah salah satu daripada ujian pengesahan yang akan dilakukan. Ujian biopsi prostat merupakan ujian pengesahan bagi kanser prostat. Ia dijalankan dengan mengambil sampel sel dari kelenjar prostat. Sampel ini kemudiannya akan diperiksa di bawah mikroskop untuk mengesan kewujudan sel kanser.
 
Bagaimanakah biopsi prostat ini dilakukan?
Kaedah "trans rectal ultrasound" (TRUS) akan dijalankan dengan memasukkan alat kuar yang dibubuh pelincir ke dalam rektum. Gelombang bunyi yang dihasilkan dari kuar akan melantun ke kelenjar prostat dan tisu-tisu di sekitarnya dan kembali semula ke kuar tersebut. Semasa proses ini berlaku gambar akan diambil yang menunjukkan prostat dan bahagian-bahagiannya. Ia juga akan menunjukkan tempat di mana terletaknya kanser tersebut.
Biopsi yang berpandukan ultrasound ini merupakan satu piawaian yang perlu dilakukan. Dalam biopsi prostat ini secebis tisu akan diambil dari prostat menggunakan jarum berpegas (spring) kecil. Jarum ini diletakkan pada kuar ultrasound, kemudiannya dimasukkan ke dalam prostat melalui rektum. Biasanya, sebanyak 6 - 12 sampel akan diambil untuk diperiksa di bawah mikroskop.

Apakah rawatan yang diberikan untuk kanser prostat?

Rawatan yang lazim bagi kanser prostat termasuk:
• Pembedahan untuk membuang kelenjar prostat Pembedahan ini dikenali sebagai prostatektomi yang juga dijalankan untuk membuang sebarang sumbatan pada uretra.
• Radioterapi untuk memusnahkan sel-sel kanser Di peringkat awal kanser prostat, radioterapi boleh diberi sebelum dan juga selepas pembedahan. Komplikasi yang mungkin timbul berikutan dari pembedahan dan rawatan radioterapi termasuklah: ' Mati pucuk. ' Gangguan pembuangan air kencing. ' Penyempitan saluran uretra. 

Bagaimanakah kita boleh memantau diri kita dalam masalah ini?
Menjalani pemeriksaan dan saringan setiap tahun adalah disyor bagi setiap orang lelaki yang berumur 40 atau 50 tahun ke atas. Amalan ini membolehkan kanser prostat dikesan lebih awal .
Ujian saringan yang yang utama untuk kanser prostat ialah:
• Pemeriksaan rektum digital
• Pengesanan penanda tumor serum yang merupakan antigen spesifik prostat (PSA). Ujian paling penting untuk memantau tahap perkembangan kanser prostat ialah ujian darah PSA. Ujian PSA ini akan menyukat jumlah protein dan antigen spesifik prostat yang beredar di dalam darah. Walaupun wujud hanya sedikit sahaja di kalangan lelaki yang tidak menghidapi kanser tetapi pada umumnya, kuantitinya meningkat apabila seseorang itu mendapat kanser prostat. Seseorang lelaki yang memiliki prostat yang sihat mempunyai paras PSA sebanyak 4.0 atau kurang. 

Walau bagaimanapun peningkatan nilai PSA yang tinggi tidak bermakna seseorang itu mendapat kanser. Doktor anda akan membuat beberapa ujian lanjutan untuk mengesahkan diagnosis sebenar. Jika kanser dikesan, paras PSA merupakan sesuatu yang penting untuk memantau tindak balas terhadap rawatan dan perebakan kanser. Apabila paras PSA dalam darah meningkat, ia menandakan prostat telah menjadi besar yang kemungkinannya disebabkan oleh kanser.

Apakah prognosis bagi kanser prostat?
Kesan yang mungkin berlaku bagi kes kanser prostat adalah pelbagai dan juga banyak bergantung pada tahap keterukan penyakit ini. Kebanyakan lelaki tidak mendapat rawatan yang terbaik untuk kanser yang dihidapinya kerana penyakit itu dikesan lewat. Jika kanser itu berlaku pada pesakit yang lebih tua, faktor lain seperti tahap kesihatan dan juga kehadiran penyakit lain boleh mempengaruhi kesan penyakit tersebut. Kemungkinan untuk pulih adalah baik jika kanser itu dikesan diperingkat awal dan diberi rawatan yang sewajarnya. Jika kanser prostat dikesan lebih awal, peluang untuk sembuh meningkat sehingga 98%.

Bagaimana kita boleh mencegah kanser prostat?
Pengesanan awal adalah sangat penting. Ini memerlukan pemeriksaan kelenjar prostat yang teliti. Faktor risiko seperti umur dan juga sejarah penyakit dalam keluarga adalah di luar kawalan. Cara yang terbaik untuk mengelakkan faktor risiko lain yang boleh dikawal adalah seperti mengambil makanan berzat dan seimbang.

Maklumat terkini yang diperolehi menunjukkan bahawa sesetengah kes kanser prostat boleh dicegah melalui:
• Mengurangkan pengambilan makanan dari sumber haiwan yang tinggi kandungan lemaknya. Gantikan dengan makanan dari hasil tumbuh-tumbuhan. Pengambilan sayur-sayuran dan bijirin juga adalah digalakkan. Ambil lebih banyak ikan dan ayam. Pada umumnya, kurangkan pengambilan daging merah. Buangkan kulit daging ayam sebelum dimasak. Kurangkan pengambilan mentega, margerin dan minyak. Ini kerana makanan yang berlemak menggalakkan kanser prostat. Mengurangkan lemak boleh membantu memperlahankan kemaraan penyakit ini.
• Tomato, limau dan juga tembikai boleh membantu menghalang kerosakan pada DNA. Dengan yang demikian ia boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser termasuklah kanser prostat.
• Pengambilan vitamin E juga boleh mengurangkan risiko mendapat kanser prostat. Walau bagaimanapun kajian terkini menunjukkan bahawa pengambilan vitamin A tambahan boleh meningkatkan risiko mendapat kanser ini. Hormon lelaki, seperti androgen telah dikenali boleh menggalakkan pertumbuhan sel-sel kanser termasuk kanser prostat. Walau bagaimanapun, keadaan ini masih dalam peringkat kajian.

1 comment:

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia