MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Friday, November 25, 2011

Biodata Tokoh Maal Hijrah 1433H

PROF. EMERITUS TAN SRI DATO’ DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN

Pengerusi JKF Ke-5 (2005 hingga sekarang)
Latarbelakang Diri Dan Pendidikan
 
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor dilahirkan di kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.  Bapanya Haji Husin seorang guru agama kampung dan ibunya Hajah Maryam seorang surirumah tangga.  Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tebing Tinggi dan kemudian menyambung  pelajarannnya di peringkat menengah di Sekolah Al-Junid Singapura.  Dorongan ibu dan bapanya yang ingin melihat beliau menjadi seorang  berpendidikan tinggi agama disamping minat beliau sendiri, maka pada tahun 1964 beliau menyambung pengajian ke Al-Azhar Al-Shariff atas biasiswa Al-Azhar pada peringkat awalnya dan seterusnya biasiswa Kerajaan Negeri Pahang. 
 
Pada tahun 1970, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian di Fakulti Usuluddin dan pada 1971, beliau juga telah berjaya memperolehi Diploma Pendidikan dari Universiti Ain Shams, Cairo. Selepas berjaya dari Universiti Ain Shams, beliau kembali ke Al-Azhar untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dan telah berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana pada tahun 1973.
 
Semasa pengajiannya di universiti Al-Azhar dan Ain Shams, beliau bergiat aktif dalam kegiatan dan kepimpinan pelajar sehingga dipilih sebagai Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Melayu Mesir dan seterusnya Setiausaha Agung gabungan pelajar-pelajar Asia Tenggara di Timur Tengah.
 
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor telah bertemu jodoh dengan Puan Sri Ramah Abdul Manan yang berasal dari Singapura.  Hasil perkongisan hidup, beliau telah dikurniakan empat orang puteri yang telah mendapat didikan sempurna daripada kedua ibu dan bapanya.  Anak pertama, Syahirah telah mendapat Ijazah Dr. Falsafah dalam bidang Undang-Undang Perbandingan dari Universiti KLEE, United Kingdom. 
 
Anak  kedua pula, Dr. Syaimak  mendapat Ijazah Doktor  Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Komputer dari Universiti Nottingham, United Kingdom.  Manakala anak yang ketiga, Syadiyah sedang menyelesaikan tesis PhDnya dalam bidang ekonomi dan muamalat di Universiti Cardif, United Kingdom, dan anak bongsu, Dr. Syadwa telah berjaya menjadi  Doktor dalam bidang perubatan dan sekarang berkhidmat di Hospital Ampang.
 
Kerjaya  Dan Sumbangan Kepada Masyarakat
 
Dengan berbekalkan Ijazah Sarjana dan Diploma Pendidikan, pada tahun 1974 beliau diterima berkhidmat sebagai tenaga akademik di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam  Universiti Kebangsaan Malaysia.  Pada tahun 1980, beliau dinaikkan ke jawatan Profesor Madya dan pada tahun yang sama juga beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Usuluddin dan Falsafah.
 
Beliau kemudiannya telah menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Al-Azhar dan pada tahun 1984 beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam.  Beliau merupakan anak Melayu pertama lulus di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dari Al-Azhar.
 
Setelah kembali ke tanah air pada 15 Jun 1985, beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam sehingga 31 Januari 1987. Pada 1 Jun 1992, selepas beliau bercuti sabatikal, Abdul Shukor sekali lagi dilantik menjadi Dekan Fakulti Pengajian Islam sehingga 30 Mei 1998.  Beliau dinaikkan ke jawatan Profesor penuh di Fakulti Pengajian Islam pada tahun 1993,.
 
Pada 1 Disember 1999, beliau diamanahkan untuk menerajui sebuah universiti baru yang dikenali sekarang sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai Naib Canselor pertama.  Peluang ini amat berharga kerana cita-cita beliau yang sangat mendalam untuk membangun sebuah pusat pengajian tinggi moden yang berteraskan Pengajian Islam, menggabungkan antara ilmu aqli dan naqli, kemahiran teori dan amali, serta mahasiswanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris disamping bahasa kebangsaan.  Selama 10 tahun beliau menerajui USIM, hasratnya untuk melahirkan satu pusat pengajian yang berpendidikan bersepadu telah terserlah dengan penubuhan lapan fakulti, dua institut dan tiga pusat termasuk pusat tamhidi.  Di antara Fakulti-fakulti yang telah ditubuhkan ialah termasuk Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.  Kesemua Fakulti ini adalah menggunakan pendekatan bersepadu.
 
Selepas beliau menamatkan khidmat sebagai Naib Canselor USIM, khidmatnya terus diperlukan. Pada masa ini, beliau mengetuai Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) disamping tugasnya sebagai  Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Majlis Raja-Raja.  Di samping dua tugas yang besar ini, beliau terus menabur khidmat di dalam beberapa jawatankuasa penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di peringkat kebangsaan, beliau dilantik sebagai
 
-           Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
-           Ahli Majlis Perundingan Islam JAKIM
-           Ahli Majlis Agama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
-           Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji
-           Ahli Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
-           Pengerusi Panel Syariah Kumpulan Silver Bird Berhad
-           Pengerusi Panel Syariah Tabung Haji
-           Ahli Lembaga Penasihat Pensijilan Halal, JAKIM
-           Ahli Lembaga Saham Wakaf Negeri Pahang
-           Pengerusi Lajnah Tashih (Lembaga Semakan Pakar Tafsir Terbitan JAKIM)
 
Dalam bidang akademik pula,beliau sering dilantik sebagai Profesor Pelawat bagi kenaikan pangkat profesor dan profesor madya di beberapa universiti tempatan dan luar Negara dan juga menjadi penilai luar kepada tesis Master dan Ph.D di beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam.  Di peringkat antarabangsa beliau dipilih sebagai Timbalan Pengerusi Akademik Fiqh Sedunia yang beribu pejabat di Saudi Arabia dan sekaligus merupakan wakil Malaysia di badan tersebut.  Dan sejak tahun 2004 sehingga sekarang, beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga International Syariah Research for Islamic Finance (ISRA) di bawah Bank Negara. 
 
Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat Pengajian Islam Sedunia dari tahun 1993 hingga 1995 dan Timbalan Pengerusi Persatuan Intelek Islam Asian pada tahun 1998 sehingga 2001.  Di samping itu, beliau juga pernah menganggotai beberapa jawatankuasa seperti Pengerusi Jawatankuasa Istilah Islam dan Panel Penilai Tamadun Islam dan Falsafah Dewan Bahasa dan Pustaka.  Ahli lembaga Pendidikan Islam (LEPAI) , Jabatan Perdana Menteri.  Ahli Lembaga Syariah KFC Holdings, Pengerusi Jawatankuasa Terjemahan Hadis Sahih Al-Bukhari, JAKIM dan juga Ahli Lembaga Pengurus Kolej Islam Pahang (KIPSAS).
 
Walaupun beliau sibuk dengan pelbagai jawatankuasa dan organisasi di peringkat antarabangsa dan kebangsaan, bidang tujahan utamanya tidak pernah dilupakan iaitu beliau sehingga sekarang ini berjaya menghasilkan lebih dari sepuluh buah buku dan beberapa artikel dalam jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.  Penulisan terakhir beliau dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam setebal 513 halaman yang diterbitkan oleh USIM. 
 
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor tidak jemu-jemu menabur jasa dan budi untuk meningkatkan pendidikan Islam dan memartabatkan agama  serta berbudi pada bangsa dan Negara.  Sumbangan beliau yang bernilai dalam bidang akademik  dan bukan akademik telah mendapat pengiktirafan  negara di mana pada tahun 1993, beliau dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota  Pahang  (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.  Pada tahun 1995, beliau dianugerahkan pingat Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Yang di-Pertuan Agong. 
 
Pada Tahun 2006, beliau di kurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelaran Dato’ dan pada bulan Jun 2010 baru-baru ini sempena hari keputeraan DYM Yang di-Pertuan Agong, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri.  Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan negara amat bernilai dan telah mendapat pengiktirafan tertinggi dari UKM dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam semasa Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti tersebut pada 4 Ogos 2010. Khidmat beliau yang tidak pernah mengenal erti penat serta komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan USIM juga telah mendapat pengikrafan dengan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen ke-8 USIM pada 25 September 2010.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia