Oleh : Bahagian Penerbitan, JAKIM
Pendahuluan
Manusia
unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang
sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek
kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah
memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang
meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang
merupakan cermin keimanan dan amal salih.
1. Keimanan Yang Utuh
Keimanan
kepada Allah swt adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan
keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang
berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan
akhirat. Allah swt berfirman dalam surah al-Asr:
' Demi masa
sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang
beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan
dengan kesabaran'.
( Surah al-Asr : 1-3 )
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal salih. Beriman
kepada Allah adalah proses peralihan jiwa manuisa daripada menganggap
dirinya bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab
kepada ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada ýTuhan melainkan
Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi tiga unsur utama,
pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang
teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi
tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina jiwa dan
jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada
melakukan kejahatan dan maksiat.
2. Pelaksanaan Amal Ibadat
Keimanan
tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang
berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal
perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah
menjadikan manusia itu sendiri ialah supaya beribadat kepada-Nya. Firman
Allah swt :
' Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat'.
( Surah az-Zariat : 56 )
Ibadat
adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada
Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khususiah
yang menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah yang merangkumi
hubungan manusia sesama manusia.
Justeru itu, bagi individu yang
berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta
ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat. Allah swt berfirman:
'
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang
khusyu’ dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari
perbuatan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang
yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba
yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada
tercela'.
( Surah al-Mukminun : 1-6 )
3. Akhlak Mulia
Akhlak
mulia bagi peribadi unggul adalah hasil keimanan yang kental. Ini
disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan
masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan
oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu
positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni
dan diselubungi roh Islam. Rasulullah saw adalah contoh utama
pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadith, baginda saw bersabda,
'Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.
( Riwayat Ahmad )
Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:
a) AmanahAmanah
adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah
asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh
kepada keadilan. Firman Allah swt:
' Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertaqwalah kepada Allah, Tuhannya'.
( Surah al-Baqarah : 283 )
b) IkhlasIkhlas adalah inti setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah swt:
' Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya '.
( Surah al-Bayyinah : 5 )Ikhlas
akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan
sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada
sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan
kesejahteraan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
' Bahagialah
dengan limpahan kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada
dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula
kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka
segala fitnah dan angkara orang yang zalim'.
( Riwayat Imam al-Baihaqi )
c) TekunIslam
menggalakkkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan
sehingga selesai dan berjaya. Sabda Rasulullah saw,
' Sesungguhnya Allah swt menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun'.
( Riwayat Abu daud )
Sifat
tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja
yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.
d) BerdisiplinBerdisiplin
dalam menjalankan sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu kerja yang
cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai
denga lebih cepat lagi.
Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat
menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja
yang cemerlang.
e) BersyukurBersyukur
dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: pertama;
sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh
Pencipta sama ada sedikit atau banyak, kedua; bersyukur sesama makhluk
sebagai ketetapan daripada Allah swt supaya kebajikan sentiasa dibalas
dengan kebajikan. Allah swt berfirman:
' Demi sesungguhnya
jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan
sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras'.
( Surah Ibrahim : 7 )
(f) sabar
Di
dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk
peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah swt. Firman Allah swt :
'
Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala
kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah
kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan
bersedialah (dengan kekiuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan)
serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya'.
(Surah Ali Imran : 200)
g) AdilAdil
bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan
adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang
bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah saw
yang bermaksud,'Tiga
perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian
dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan
berjimat cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang
membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum
seseorang dengan dirinya sendiri'.
(Riwayat Abu Syeikh)
Kesan Manusia Beruntung Dalam Kehidupan
Seorang
manusia yang memiliki sifat-sifat unggul adalah sangat beruntung kerana
ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Kondisi ini membuatkan ia
dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.
Kesan Kepada Diri SendiriManusia
unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan
sebaik-baiknya dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan-tuntutan rohani dan
jasmaninya dengan terkawal. Aspek-aspek rohani dan jasmani manuisa yang
terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan
syahwat akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah sebenar
berdasarkan fungsi kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk istimewa
dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.Akal
fikiran yang diciptakan Allah swt merupakan mahkota berharga yang
menampilkan imej manusia. Ia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir,
membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh
menyampaikannya kepada orang lain. Melalui akal, seseorang itu mendapat
hidayah dan petunjuk Allah swt menerusi pemerhatian dan penghayatan
terhadap kejadian-kejadian alam dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh
orang lain.Al-Quran
menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran, memerhati dan
mengkaji kejadian-kejadian alam ini. Pemerhatian dan pengkajian ini
mempunyai faedah yang sangat besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan
kemajuan hidup yang kemudiannnya akan menemui hakikat kebesaran Allah
swt sebagai Pencipta yang Maha Agung. Dengan itu ia selaku makhluk yang
mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan
Allah swt dengan penuh kesedaran dan akan melaksanakan kehidupan ini
dalam situasi yang betul dan menuju keredhaan Allah swt.Roh
dan nyawa adalah komponen utama manusia. Adalah terlalu sulit untuk
diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah swt. Walaupun demikian ia
amat mustahak kerana dengannya mausia boleh hidup, bernafas,
mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.Satu
lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot,
urat, darah, tulang, anggota pancaindera dan lain-lain. Masing-masing
mempunyai fungsi tersendiri dan meyempurnakan antara satu sama lain
iaitu sesuai dengan kejadian manusia yang dijadikan Allah swt sebagai
sebaik-baik kejadian. Seseorang yang terdidik dengan nilai-nilai unggul,
jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan
kudratnya melakukan kerja-kerja yang baik, rehat dan tidur dengan
seimbangnya, memakan makanan yang bersih dan halal, menjaga kesihatan
diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudharatan,
dosa dan sebagainya. Ini sesuai dengan firman Allah swt:
' … dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan'.
( Surah al-Baqarah : 195 )
Jelasnya
jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit
dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu
keunggulan hidup seseorang.Unsur
seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam
al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia
sesuatu yang sukar dikawal. Sekiranya nafsu dapat dididk dan dikawal,
ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan diri manusia.
Tetapi sekiranya ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi
raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa sahaja kemahuan yang
lebih cenderung kepada keburukan. Firman Allah swt ;
'
Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan
kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka
terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu)'.
( Surah Yusuf : 53 )
Bagi
menenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Dengan
demikian umat manuisa akan membiak dan berkembang dengan cara yang betul
di samping sebagai salah satu pengecapan kurniaan nikmat Allah swt
dalam hidup berkeluarga.Jelasnya,
kejayaan atau kegagalan seseorang itu melaksanakan tanggungjawab,
khususnya kepada diri sendiri adalah bergantung kepada berjaya atau
gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara tersebut.
Aspek-aspek ini adalah asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Kesan Kepada KeluargaSeseorang insan
yang unggul akan mudah mengatur urusan hidup keluarganya. Ia dapat
merencanakan soal-soal penddikan, saraan, pergaulan dan pembangunan
keluarganya dengan tarbiah Islamiah. Ia dapat menjalankan tugasnya
sebagai ra’i atau ketua keluarga dan dalam masa yang sama sebagai abid
atau hamba Allah yang sentiasa menjaga hubungannnya dengan Allah swt.Dalam
sesebuah keluarga, aspek-aspek kesihatan fizikal adalah sangat perlu.
Ini kerana kesejahteraan pemikiran dan kerohanian seseorang bergantung
rapat kepada kesejahteraan fizikal. Seseorang mukmin yang kuat adalah
lebih baik daripada yang lemah. Minda yang sihat akan lahir dari tubuh
badan yang sihat. Oleh itu, tarbiah jasmaniah seperti yang dituntut oleh
syarak perlulah dilaksanakan dalam keadaan yang teratur. Umpamanya
dalam pemilihan makanan mestilah yang bersih, baik dan dari sumber yang
halal. Amalan buruk yang boleh memudaratkan badan seperti merokok,
meminum minuman keras, menyalahgunakan dadah dan sebagainya, hendaklah
dijauhi. Sekiranya ketentuan ini tidak dipatuhi, kesihatan jasmani akan
terjejas dan boleh memberi kesan buruk kepada mental, fizikal dan
spiritual.Pendidikan
rohani pula adalah aspek yang penting. Ia merangkumi keimanan,
pengamalan syariat, pelaksanaan tanggungjawab sebagai seorang muslim
serta pembangunan mental dan spiritual. Seorang ketua keluarga
bertanggungjawab membentuk dan mendidik keluarganya mengamalkan
tuntutan-tuntutan yang dikehendaki oleh Islam. Dalam masa yang sama
menjauhi perkara-perkara yang haram dan makruh. Ia juga mestilah
memastikan ketulenan akidah keluarganya dan membersihkannya dari
sebarang bentuk kekufuran dan kesyirikan serta mengikis jiwa dari
kekotoran dan penyakit melalui amalan dan latihan yang mantap serta
berterusan. Firman Allah swt:
'Sesungguhnya berjayalah orang
yang ( setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya
(dengan taat dan amal soleh) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan
hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang ( dengan
khusyuk)'.
( Surah al-A’la : 14-15 )
Seperti
yang telah dinyatakan akal fikiran sangat berharga bagi manuisa. Islam
juga menuntut umatnya supaya menggunakan akal fikiran dengan betul.
Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu yang bermanfaat dan ilmu itu
pula hendaklah disebarkan melalui proses pengajaran dan pengembangan.Seiring
dengan kekuatan pemikiran, pendidikan akhlak adalah amat mustahak.
Seseorang ketua yang unggul adalah model yang berkesan dalam pendidikan
akhlak keluarganya. Ia perlu membimbing ahli keluarganya dengan akhlak
Islamiah berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada padanya. Kegagalan
sesetengah keluarga untuk mengamalkan akhlak Islamiah kebanyakannya
berpunca daripada kegagalan ketua keluarga atau ibu bapa masing-masing
yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti yang ditetapkan oleh
Islam. Sebab itulah ibu bapa perlu membentuk keunggulan diri mereka
terlebih dahulu sebelum amalan itu dapat diperturunkan kepada anak-anak
mereka.Seorang
ketua keluarga juga dapat mengatur soal kehidupan ekonomi dan sosial
keluarganya berpandukan nilai-nilai yang baik. Ia akan mempunyai rasa
tanggungjawab untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarganya dengan
mengamalkan sikap bersungguh-sungguh dalam kerjaya. Ia berkeyakinan
bahawa kesungguhan bekerja adalah suruhan agama yang perlu ditunaikan.
Dengan demikian ia akan membawa keluarganya keluar dari ruang lingkup
kemiskinan yang menjadi salah satu musuh Islam yang boleh membawa kepada
kekufuran seperti sabda Rasulullah saw :
' Hampir-hampr kefakiran itu membawa kepada kekufuran'.
( Riwayat Abu Naim )
Kesan Kepada Masyarakat, Negara Dan UmmahSeseorang
insan yang unggul akan memastikan hubungan kemasyarakatan dan
keluarganya berada dalam satu ikatan yang jitu. Prinsip-prinsip hubungan
kejiranan dan masyarakat di sekitarnya akan diasaskan kepada
panduan-panduan yang digariskan oleh Islam. Firman Allah swt:
' Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai ..'.
( Surah Ali Imran : 103 )
'
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat
baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim,
orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh,
rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang
kamu miliki'.
( Surah an-Nisa’ : 36 )
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
' Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain'.
( Riwayat at-Tabarani )
Setiap
kelompok masyarakat perlu memberi perhatian berat kepada bidang
penddikan. Insan yang beruntung dalam sesebuah masyarakat akan
memudahkan usaha dan perancangan untuk meningkatkan kualiti masyarakat
melalui aktiviti pendididkan, pengajian dan muamalat.Penghayatan
agama juga sangat mustahak. Merekalah yang akan mengembangkan
penghayatan ajaran Islam melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah
melalui cara-cara yang formal atau tidak formal. Susasana ini bukan
sahaja dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan berdisiplin, tetapi
juga akan menampakkan masyarakat yang mempunyai imej yang tinggi serta
mendapat keberkatan daripada Allah swt.Seperti
yang diketahui, ketrampilan seseorang individu atau masyarakat dengan
ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak
sempurna. Dalam ertikata lain, seseorang muslim perlu mendapatkan
pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi dalam ilmu selain ilmu
agama yang menjadi keperluan asasi. Ia meliputi ilmu ekonomi, politik
dan sosial yang perlu diketahui sebagai alat untuk meletakkan diri
masing-masing dalam arus perdana kehidupan bermasyarakat dan beragama.
Dengan sebab itu bidang ekonomi, politik dan sosial mesti diketahui dan
dicenburi secara bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya pada tahap yang
paling asas. Bidang-bidang ini merupakan urusan hidup yang menjadi
sebahagian penting yang dikehendaki oleh ajaran Islam seperti yang
dijelaskan dalam firman Allah swt.
'Dan tuntutlah dengan harta
kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu (pahala dan
kebahagiaan) hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (
keperluan dan bekalanmu ) dari dunia'.
( Surah al-Qasas : 77 )
Selain
bidang sosial dan ekonomi, bidang poltik juga menjadi perkara yang
penting dalam sesebuah masyarakat. Kestabilan politik sesebuah negara
adalah berpunca daripada keunggulan dan kekuatan yang ada pada diri
setiap individu, yang kemudiannya membentuk satu ikatan warganegara yang
kukuh.Apabila
sesebuah masyarakat itu kukuh, akan lahir pula tokoh-tokoh berwibawa
yang boleh diharap menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat.
Pemimpin ini pula perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan sifat-sifat unggul
sebagai pemimpin. Dia perlu diberi kepercayaan dan sokongan supaya
masyarakat dan negara dapat dibawa kepada pencapaian matlamat kemakmuran
hidup dan keredhaan Allah swt seperti yang dapat difahami daripada
kisah negeri Saba’ ( Yaman Tua ) yang diceritakan di dalam al-Quran :
'
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka,
iaitu dua kumpulan kebun ( yang luas lagi subur) yang terletak di
sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan
kepada mereka) : 'Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan
bersyukurlah kepada-Nya , (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik
(aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Amat Pengampun'.
( Surah saba’ : 15 ).
Dalam
konteks kepentingan sejagat pula seseorang insan yang unggul akan mampu
memimpin ummah di peringkat yang lebih luas. Kejayaan memimpin negara
akan diikuti oleh negara lain sebagai model. Pemimpin yang berwibawa di
arena antarabangsa ini diperintahkaan oleh Islam supaya memberikan
sumbangan untuk kesejahteraan ummah. Dengan itu tercapailah fungsi
manusia sebagai khalifah Allah swt di atas muka bumi ini.
Penutup
Demikianlah
antara kesan-kesan yang dapat dilahirkan oleh insan yang umggul dalam
kehidupannya sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan
ummah hasil daripada pegangan dan amalan terhadap nilai-nilai unggul
seperti yang telah dinyatakan.