Masalah berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius di dalam masyarakat Malaysia. Ramai yang mengambil pendekatan dengan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada berlaku kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
1) Menurunkan berat badan hanya dengan bersenam
Senaman amat penting untuk menurunkan berat badan, tetapi dengan hanya bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan, ia satu usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan akan menyebabkan berat badan sukar untuk diturunkan malah berat badan akan bertambah. Ini kerana ramai orang mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka bahawa dengan kalori yang telah dibakar itu maka dia tidak perlu lagi mengawal jumlah makanan yang diambil.
2) Makan produk yang 'rendah lemak'
Kita sering memilih makanan atau produk yang dilabelkan sebagai 'rendah lemak' dan merasakan produk-produk ini baik untuk kesihatan selain membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya produk-produk ini sebenarnya mempunyai nilai kalori yang tinggi kerana kandungan gulanya juga tinggi. Pengeluar produk-produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka tetapi mereka menambah kandungan gula untuk menjadikan produk-produk itu lebih sedap. Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu seperti kekacang, avokado, minyak zaitun dan lemak omega-3 daripada ikan amat baik untuk menurunkan berat badan. Malah kajian terkini juga menunjukkan bahawa makan minyak kelapa membantu untuk menurunkan berat badan.
3) Minum minuman 'diet'
Kajian mendapati pengambilan minuman 'diet' akan menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman 'diet' akan menghadapi sehingga 70% peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Dalam kajian yang sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti akan bertambah sehingga 41% untuk penggemar minuman 'diet'. Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan yang rendah kalori dalam minuman 'diet' ini akan meningkatkan selera makan dan menghalang otak daripada mendapat 'isyarat kenyang' apabila perut telah penuh. Jadi minum air mineral adalah lebih baik untuk menurunkan berat badan.
4) Terlalu kerap menimbang berat badan
Seseorang yang ingin menurunkan berat badan kadangkala terlalu obsesi dengan nombor pada alat penimbang. Ia sebenarnya boleh menjadi 'penghalang' kepada seseorang yang ingin menurunkan berat badan. Berat badan bukanlah kayu ukuran kepada kesihatan anda. Berat badan yang ditimbang dengan alat penimbang tidak membezakan berat otot, air, lemak dan makanan dalam perut anda. Jika anda terlalu kerap menimbang berat badan, anda akan menjadi lebih cepat kecewa jika anda mendapati berat badan anda tidak turun atau turun dengan kadar jumlah yang amat sedikit atau lebih buruk lagi berat badan anda bertambah pula.
5) Terlalu yakin dengan kemampuan diri
Sikap terlalu yakin dengan kemampuan diri untuk berdiet dan mengikut 100% pemakanan sihat sepanjang masa akan menyebabkan anda menjadi cepat kecewa apabila anda 'terlanjur' makan makanan yang tidak sihat. Peruntukkan 20% dalam jumlah makanan anda untuk sesekali 'termakan' makanan yang kurang sihat dan pastikan dalam 80% corak pemakanan anda ialah pemakanan yang sihat. Bersikap sederhana seperti ini akan memastikan berat badan yang sihat kekal lebih lama dan lebih praktikal dalam kehidupan seharian.
6) Terlalu berpantang atau diet melampau
Walaupun terlebih makan adalah di antara punca berat badan berlebihan, tetapi janganlah anda makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan akan mendapat masalah kekurangan zat makanan pula. Jika anda berlapar terlalu kerap, badan akan berubah menjadi 'mode kebuluran' (starvation mode). Metablisme badan akan turun dan segala yang anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai 'lemak' dan 'otot' serta menjadi kecut. Apabila anda tidak mampu untuk meneruskan seperti ini, maka anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera anda bertambah-tambah dan semuanya akan menjadi lemak.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...